Tembakan yang membunuh jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor dan mencederakan seorang lagi jurukamera TV3 telah dilepaskan oleh tentera pengaman Kesatuan Afrika, lapor beberapa media Barat dan Afrika.”Fakta sekarang agak kabur, saya telah bercakap secara peribadi dengan presiden Somalia mengenai kejadian itu dan saya secara ikhlas memberi jaminan bahawa siasatan penuh akan dijalankan. Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana askar yang didapati telah bertindak secara melulu, ” lapor akhbar New York Times yang komander tentera pengaman Australia Mejar Jeneral Fred Mugisha.
Maklumat ini, bagaimanapun belum disampaikan dalam kenyataan kepada kerajaan Malaysia yang masih berusaha menentukan punca serangan dan dalang yang harus dipertanggungjawabkan di sebalik kejadian yang berlaku Jumaat lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah menghubungi kerajaan Somalia mengenai isu itu dan telah dijanjikan laporan penuh insiden berkenaan oleh Presiden Somalia Sheikh Sharif Sheikh Ahmed, sebaik sahaja sisatan selesai.
Pihak pembangkang, ahli keluarga dan badan-badan bukan kerajaan, sebelum ini mengecam penganjur misi bantuan kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia ke Somalia, yang mana Najib adalah penaungnya.
Ini kerana mereka didakwa gagal memberi perlindungan dan latihan yang mencukupi kepada kumpulan waratwan yang dibawa ke Somalia bagi membuat liputan berkenaan.
Wartawan yang membuat liputan itu telah memaklumkan bahawa mereka tidak dibekalkan dengan jaket kalis peluru, mahupun diberi latihan khusus tentang apa yang perlu dilakukan bagi menghadapi bahaya zon pertempuran.
Najib pula pada sidang akhbarnya, semalam berkata bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematian jurukamera BernamaTV yang terkena tembakan peluru sesat Jumaat lalu.
“Ini merupakan sebahagian (daripada bidang kewartawanan). Kamu boleh mengambil langkah keselamatan tapi tiada jaminan sepenuhnya (mengenai keselamatan) sebaik anda berada di kawasan konflik,” katanya.
Pemakaian jaket kalis peluru tidak dapat menjamin keselamatan jurukamera BernamaTV itu kerana saiz peluru yang digunakan adalah besar dan mampu menembusi jaket tersebut, kata ketua pasukan perubatan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia Datuk Dr Alwi Abdul Rahman.
Beliau berkata peluru yang mengenai Allahyarham adalah besar, dan menjejaskan dua organ penting mangsa iaitu jantung dan paru-paru.
“Walaupun pakai vest tapi masih boleh tembus. Peluru itu memasuki grey area… masuk dari armpit dan tembus ke bahu. Selepas terkena tembakan itu dia langsung tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini Ahad.
Dr Alwi merupakan salah seorang daripada 55 anggota misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia termasuk Allahyarham Noramfaizul yang maut Jumaat lepas akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan di Mogadishu.
Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan jurukamera tersebut termasuk bantuan awal oleh pasukan paramedik Australia yang berada di hotel penginapan Allahyarham.
Dr Alwi berkata beliau tiba dari tempat penginapannya kira-kira tiga minit sebaik dimaklumkan, dan mengambil alih tugas merawat mangsa yang kritikal dari pasukan paramedik tersebut.
“Kita beri bantuan pernafasan dan lakukan apa saja untuk menyelamatkan Allahyarham sedaya-upaya, tetapi peluru itu telah menembusi paru-paru dan jantung. Kita juga menerima kerjasama yang baik daripada paramedik Australia,” katanya.
Semasa rawatan, Allahyarham langsung tidak memberi sebarang respons dan tidak bergerak, katanya.
“Dia tidak sedarkan diri dan hilang banyak darah. Kita dah sedia nak derma darah jika perlu sebab kita dah kenal pasti jenis darah anggota misi. Peralatan kecemasan yang kita ada di situ pun mencukupi tapi kita memang tidak dapat buat apa-apa,” katanya dalam nada sebak.
Katanya usaha menyelamatkan Allahyarham berlangsung dalam suasana pilu memandangkan arwah adalah sahabatnya dan mereka pernah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sebelum ini.
http://www.kl-today.com/2011/09/sah-peluru-tentera-pengaman-afrika/
No comments:
Post a Comment