Zaidel Baharudin
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca yang budiman, usahlah anda risau sekiranya anda takut penulisan saya kali ini mungkin berbaur perkauman. Jangan risau, di Malaysia ini sekiranya saya menyindir atau mengkritik golongan majoriti, ianya tidaklah dipandang begitu malah dilihat sebagai menjalankan suatu tanggungjawab sebagai seorang “Malaysian” yang berani dan cintakan negara, jadi ayuh teruskan membaca.
Hari ini kita akan membincangkan tentang budaya yang saya perhatikan sejak zaman universiti lagi iaitu apabila golongan usahawan Bumiputera melibatkan diri dalam industri yang sering memaparkan orang mengambil gambar dengan bergaya di hadapan kereta buatan Jerman sambil memegang wang kertas RM50 yang berkepul-kepul.
Kemudian diikuti dengan perkataan-perkataan dan slogan dalam Bahasa Inggeris seperti “Success” “Unstoppable” atau “Retire rich retire young”.
Maka seperti yang ada boleh jangka, tajuk penulisan pada kali ini diambil dari takrifan pemasaran berbilang tingkat atau lebih dikenali sebagai “Multi Level Marketing”.
Pelan perniagaan
Untuk menjual sesuatu produk atau pelan perniagaan kepada orang-orang Melayu, modus operandi yang biasa digunakan sangatlah mudah.
Cara pertama ialah dengan menjanjikan pulangan besar tanpa melakukan apa-apa kerja. Untuk meyakinkan bakal pelabur anda hanya perlu memandu sebuah kereta buatan Jerman sewaktu berjumpa dengannya sambil memakai jam mahal tiruan bersaiz besar yang dibeli dari Danau Kota.
Cara kedua yang agak efektif juga ialah dengan mengislamkan produk atau pelan perniagaan, contohnya seperti Epal Doa, Jus Kedondong Tok Guru atau Makanan Kesihatan Habbatul Sauda Formula Nabi.
Jangan risau, biasanya orang Melayu ini memang malas membuat kerja rumah, mereka akan lebih percaya kepada anda sekiranya anda menyelitkan satu dua ayat Quran atau perkataan Arab dalam pelan pemasaran anda, sebagai contoh anda boleh mengubah perkataan “Skim Piramid” kepada “Sistem Hibah Kebawah” dengan menerapkan konsep “Akad” dalam setiap transaksi perniagaan.
Dari penjualan ubat-ubatan yang harganya jauh tinggi dari pasaran, kepada pembelaan lintah hinggalah ke skim matawang asing kita lihat ramai yang rata-ratanya orang Melayu melibatkan diri hanya untuk rugi kerana tergilakan pulangan yang banyak dan mudah.
Untuk menyatakan bahawa mereka yang melibatkan diri dalam perkara seperti ini adalah golongan tidak berpelajaran adalah tidak tepat sama sekali, seringkali saya melihat sewaktu di zaman universiti para pelajar yang mendapat 10A dalam SPM dan mempunyai CGPA yang hebat-hebat dengan mudahnya melibatkan diri dengan skim perniagaan yang memerlukan anda hanya mencari tujuh pasang pelabur bertingkat yang diakhiri dengan bonus sebiji Mercedes.
Hukum perniagaan
Pelan pemasaran bertingkat atau Multi Level Marketing (MLM) bukanlah suatu skim cepat kaya, ianya ialah suatu kaedah perniagaan yang betul dan halal.
Malah sekiranya anda betul-betul mengkaji pelan perniagaan MLM, ianya sebenarnya bukanlah sesuatu yang mudah. Memang anda boleh jadi kaya dan berjaya melalui MLM dan ramai yang telah melakukanya namun bukan dengan hanya anda duduk dan goyang kaki sahaja, sesungguhnya pelan perniagaan atau “business plan” semata-mata bukan faktor yang menjanjikan kejayaan.
Sebelum anda terpengaruh dengan perkataan-perkataan yang canggih yang sering diselitkan dalam “business plan”, apa kata kita kembali kepada asas perniagaan.
Tak kisahlah apa perniagaan yang anda mahu lakukan, samaada ianya dalam bentuk perlaburan, pedagangan, pemasaran bertingkat atau apa-apa nama sekalipun, ianya pada akhirnya mesti jatuh kepada hukum asas perniagaan iaitu “Anda membuat duit dengan menawarkan samaada produk atau perkhidmatan”.
Sekiranya pelan perniagaan itu tidak pada akhirnya menawarkan keuntungan dengan penawaran produk atau perkhidmatan, maka ianya bukanlah perniagaan, ianya adalah suatu penipuan, tak kisahlah secanggih mana atau seArab mana sekalipun namanya, ianya mesti jatuh kepada asas yang telah dinyatakan di atas.
Sebagai contoh anda mahu melibatkan diri dengan melaburkan wang KWSP anda kedalam jongkong timah, tak kisahlah apa pelan perlaburan yang dinamakan pada akhirnya anda perlu nampak dengan jelas bagaiamana anda membuat untung.
Duit tidak akan datang begitu saja hanya kerana anda memegang jongkong timah dalam tangan, ianya perlu bertukar tangan, ianya perlu dijual untuk anda buat duit.
Sebagaiamana anda membeli sebuah rumah, walaupun nilainya naik tinggi mana sekali pun, anda tidak akan mendapat apa-apa pulangan selagi anda tidak menjual rumah berkenaan (produk) atau anda menyewakan kediaman itu (perkhidmatan).
Tanya sama hati
Kadang-kadang ada pelan perniagaan MLM yang menawarkan produk dan perkhidmatan tertentu dan sebelum anda terpengaruh dengan sesi motivasi atau kehebatan pelan perniagaan anda perlu tanya suatu soalan yang penting pada diri anda dahulu: adakah anda mahu beli barang yang anda bakal jual nanti?
Sering kita selalu lupa tentang produk itu sendiri kerana terlalu terkesima dengan kehebatan persembahan “Power Point” yang disertakan graf-graf dan gambar orang di hadapan kereta Mercedes tapi itu soalan pokok yang sangat penting.
Tanya pada diri anda, adakah benar-benar gelang magnetik ini akan membuat saya tahan lebih lama? Adakah betul pil kesihatan ini akan membuatkan saya lebih pandai? Adakah serbuk pencuci ini akan betul membuatkan kehidupan saya lebih mudah?
Soalan ini penting kerana, sekiranya produk yang anda jual itu anda sendiri tidak yakin untuk pakai atau beli maka ianya tidak akan berjaya dalam jangkamasa panjang.
Mungkin anda boleh buat duit dengan menawarkan “pelan perniagaan” ini kepada 20 orang lagi kerana mereka mahu terlibat dalam sistem perniagaan anda, akan tetapi sampai bila?
Malaysia bukan besar dan untuk pendapatan jangkamasa panjang, orang perlu mahu membeli produk anda berulang kali barulah ianya menjadi sebuah perniagaan yang mempunyai kesinambungan.
Ini kerana ada sesetengah MLM ianya hanyalah suatu skim yang membuatkan orang membeli suatu produk yang biasa dengan harga yang jauh lebih mahal dari pasaran dengan menyamarkan ia sebagai suatu pelan perniagaan yang hebat.
Kesimpulan
Sesungguhnya dengan hanya mencari tujuh pasang ahli atau menyimpan sesuatu komoditi tidak menjanjikan sebuah Mercedes di hujung hari.
Sesuatu yang berbaloi untuk dapat bukanlah semudah itu, janganlah kita mudah terpengaruh dengan sesuatu itu hanya kerana ianya dipakejkan sebagai sesuatu yang Islamik.
Saya bukan menentang atau memperkecilkan agama cuma saya ingin mengingatkan kepada anda semua bahawa ramai orang hari ini yang suka mempergunakan agama untuk memperdaya, tidak kira dalam perniagaan, politik atau kehidupan seharian.
Tak semestinya kalau ada sepotong ayat Quran atau ada menggunakan nama Arab maka ianya benar-benar mengikut Syariah.
Jangan takut untuk personal dan menyelidik dan jangan sesekali anda terpedaya dengan usul berhenti menggunakan akal atas alasan anda bukan golongan ulamak atau tuan guru. Sesungguhnya Allah (s.w.t) bagi kita akal untuk dipakai, bukan untuk dibuat pekasam.
Zaidel Baharuddin, seorang jurutera elektronik, boleh diikuti di WirawanWeb.com, lipassepi.blogspot.com atau @Sinatra_Z.
No comments:
Post a Comment