Wednesday, November 23, 2011

Politik haji dan hijrah

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Para jamaah haji yang baru pulang, masih tersemat dalam ingatan mereka laungan talbiyah yang berkumandang di tanah suci, bermaksud: ”Ya Tuhanku!, ya Tuhanku!, tiada sekutu bagimu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan menjadi milikmu“.

Diajar oleh Rasulullah S.A.W kepada sesiapa yang memakai pakaian ihram untuk haji dan umrah, menggantikan ucapan syirik oleh kaum jahiliyyah yang menunaikan haji sebelum menganut Islam.

Lafaz bagi menyahut seruan nabi Ibrahim A.S, sebutan bahasa al-Quran Ibrahim atau Abraham mengikut sebutan penganut agama lain. Ibrahim diberi penghormatan kerana perjuangannya mengajak maharaja Namrud dan rakyat kepada ajaran yang benar daripada Allah iaitu Islam sehinggalah beliau dihalau. Perjuangan ini di sambung oleh para Rasul di kalangan Bani Israil dan Rasul akhir zaman Muhammad S.A.W. Menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang sempurna tidak memisahkan politik daripada agama. Sabda Rasulullah S.A.W: “Pemimpin politik Bani Israil ialah para Anbiya.” (Riwayat al-Bukhari). Menunjukkan juga bahawa amalan syirik bukan sahaja berlaku dalam perkara ibadat, bahkan berlaku dalam cara hidup yang melibatkan amalan politik.

Musim haji menjadi salah satu medan perjuangan Rasulullah S.A.W untuk berdakwah. Setelah para pemimpin musyrikin Makkah menolak Islam dan tawaran menegakkan negara yang adil untuk semua dan Rasulullah S.A.W juga menolak tawaran mereka untuk melantiknya menjadi raja atau pemimpin serta tawaran harta kekayaan yang melimpah ruah. Diikuti dengan penentangan secara kekerasan terhadap Rasulullah S.A.W dan orang-orang yang mengikutnya di Makkah. Para sahabat yang beriman diperintah bersabar menghadapi kezaliman, walaupun ada yang mati dibunuh.

Akhirnya Rasulullah S.A.W berkempen kepada pemimpin kabilah Arab yang berpengaruh supaya menerima Islam dan mengizinkan Islam ditegakkan dalam masyarakat dan negara. Allah berjanji bahawa kemenangan pada akhirnya kepada Islam.

Firman Allah, maksudnya: Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu dan hendak menjadikan mereka para pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (memerintah bumi). (al-Qasas: 5)

Kedatangan pemimpin kabilah Arab di musim haji dijadikan kesempatan mengajak mereka kepada Islam dan tawaran kemenangan daripada Allah. Rasulullah S.A.W ditemani oleh sahabatnya yang setia, Abu Bakar R.A memulakan pertemuan dengan pemimpin Bani ‘Amir yang ramai pengikut. Rasulullah S.A.W mengajak mereka kepada Islam dan menerima supaya negeri mereka menjadi tempat berlindung bagi menegakkan Islam dan Allah menjanjikan kemenangan.

Apabila mereka mendengar janji kemenangan daripada Allah, mereka bertanya: ”Apakah janji habuan harta dan kedudukan yang hendak diberi kepada kami apabila kemenangan dicapai, adakah kami akan menjadi ketua selepas kamu?“. Rasulullah S.A.W menjawab: “Akan diberi kepada kamu mengikut kehendak Allah, kerana Allah yang memiliki kerajaan, diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya“. Pemimpin Bani ‘Amir berkata “Kalau itulah jawapannya, maka kami tidak bersedia, kerana janji begini hanya menempah kesusahan sahaja“.

Rasulullah S.A.W meninggalkan khemah Bani ‘Amir dengan rasa sedih, kemudian mengunjungi khemah pemimpin Bani Syaiban. Apabila mengajak kepada Islam dan tawaran janji kemenangan daripada Allah, pemimpin Bani Syaiban bertanya: “Terangkan kepada kami, apa dia Islam?“. Apabila Rasulullah S.A.W menerangkan makna Islam dan membaca beberapa ayat-ayat al-Quran, pemimpin Bani Syaiban berkata: ”Ini bukan ucapan penduduk bumi, apa yang dinyatakan ini benar, tetapi cabarannya besar kerana ditentang oleh musuh dari seluruh pelosok dunia. Kalau berdepan dengan kabilah-kabilah Arab kami bersedia, tetapi menghadapi Parsi (kuasa besar dunia) yang bersempadan dengan kami sangat berat, kami tidak mampu“. Seterusnya mereka berjanji untuk berfikir dahulu. Rasulullah S.A.W memberitahu bahawa untuk bersama dengan Islam sekarang mestilah bersedia menghadapi cabaran daripada segenap penjuru dan mempersilakan mereka datang apabila mendengar kemenangan Islam.

Akhirnya Rasulullah S.A.W menemui rombongan kabilah Aus dan Khazraj, penduduk Yathrib (nama asal Madinah) yang bermasyarakat majmuk dengan kaum Yahudi (Ahli Kitab) yang menceritakan berita kelahiran nabi akhir zaman yang di nanti-nanti. Apabila pemimpin Aus dan Khazraj ditemui oleh Rasulullah S.A.W, mereka terus menganut Islam dan mengadakan Bai’ah (perjanjian setia) menyerahkan diri, harta dan tanah air mereka menjadi tempat hijrah. Maka berlakulah peristiwa hijrah yang terkenal.

Ketika bersedia untuk berhijrah Rasulullah S.A.W meminta menantunya Ali bin Abi Talib R.A menyerahkan barang-barang simpanan yang diamanahkan kepadanya oleh kalangan penduduk Makkah, (ahli sejarah ekonomi Islam menyatakan bahawa inilah muamalah Bank yang pertama dalam sejarah manusia). Rasulullah S.A.W selamat keluar daripada Makkah dengan menembusi kepungan musuh yang lengkap bersenjata untuk membunuhnya dengan pertolongan Allah secara mukjizat (luar biasa).

Dalam perjalanan hijrah itu Rasulullah S.A.W menggunakan pemandu, seorang bukan Islam yang tidak bermusuh dengannya bagi melalui jalan pintas yang tidak diketahui umum. Peristiwa ini menunjukkan ada kerjasama dengan bukan Islam yang bencikan kezaliman. Setelah berlakunya hijrah dengan sepenuhnya maka Rasulullah S.A.W telah mempersaudarakan kalangan penganut Islam yang berhijrah, mereka yang dikenali dengan Muhajirin dengan penduduk tempatan yang menganut Islam yang dikenali dengan Ansor.

Seterusnya menerima kehadiran masyarakat majmuk bersama kalangan bukan Islam daripada kaum Yahudi, kaum Arab musyrikin dan diikuti oleh penganut kristian yang tinggal di Najran. Satu perjanjian dimaterai, dikenali dengan Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Yathrib ditukar nama kepada Madinah (Bandar).

Projek pertama ialah mendirikan sebuah masjid, tempat berhimpun untuk beribadat, mendengar khutbah sekurang-kurangnya sekali seminggu, majlis ilmu, pusat arahan pentadbiran, mahkamah dan menerima rombongan daripada luar, termasuk daripada kalangan bukan Islam. Projek kedua ialah pasar Madinah yang menjadi pusat perdagangan bagi seluruh rakyat semua kaum. Maka lahirlah sebuah negara dan masyarakat madani, mengambil sempena perkataan Madinah yang bererti bandar atau perkataan Tamadun yang bermaksud keadaan masyarakat manusia yang berkembang kemajuan pemikiran dan kebendaan melalui ilmu, politik, ekonomi dan Islam pula menambahnya dengan akhlak yang berteraskan iman.

Islam telah memperkasakan manusia dengan iman dan ilmu, bukan sahaja menerima manusia yang menganut Islam tanpa paksaan, dalam masa yang sama menerima ilmu akal dan pengalaman daripada pelbagai kaum dengan membawa konsep tiada pemisahan di antara perkara dunia dan akhirat, kerana dunia adalah tempat manusia beramal untuk akhirat, samada beribadat atau memakmurkan dunia berpandukan syariat Allah.

Haji dan Hijrah mencipta titik tolaknya amalan mengislamkan manusia dan negara yang menjadi mesej Rasulullah S.A.W, nabi akhir zaman yang menjadi Rasul ketika manusia seluruh dunia ditemukan dengan kemajuan perhubungan dan maklumat yang menemukan manusia seluruhnya dengan berbagai alat ciptaan yang canggih dengan meletakkan batas baik dan buruk, manfaat dan mudarat, adil dan zalim .

Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.(Al Nisa’: 58)

Di antara amanah yang paling besar dalam ajaran Islam ialah memilih pemimpin, sehingga para sahabat R.A bermesyuarat ketika wafatnya Rasulullah S.A.W dan menjadikannya lebih penting daripada menghadiri upacara mengkebumikan jasad Rasulullah S.A.W. Sebahagian besar para sahabat menghadiri mesyuarat dan hanya sedikit sahaja yang berada di tempat pengebumiannya.

Imam al-Ghazali menegaskan: ”Agama Islam adalah asas, pemerintahan (politik) adalah pengawas, tanpa asas menjadi runtuh dan tanpa pengawas menjadi sia-sia. Umat Islam menjadi lemah kerana lemah pegangan agamanya dan hukum Islam banyak yang menjadi sia-sia kerana politik dipisahkan daripada agama Islam atau Islam menjadi slogan tanpa kuasa politik yang beramal dengan seluruh syariatnya.

Di zaman kelemahan umat Islam pula, sehingga tanah air dijajah, umat Islam dipecah dan diperintah, para ulama yang berkumpul di Makkah mengambil kesempatan musim haji mengajak jamaah haji yang datang daripada seluruh pelosok dunia supaya menentang penjajah di negeri masing-masing dan mendidik anak-anak mereka dengan ilmu Islam yang sempurna supaya Islam ditegakkan semula bagi meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W.

Beginilah hubungan haji dengan urusan umat, sehingga seorang pemikir orentalis menegaskan bahawa Islam tidak boleh dihapuskan selagi masih ada al-Quran dan Makkah.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/6657-politik-haji-dan-hijrah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...