2010/10/01
SUBANG JAYA: Seorang lelaki berusia awal 20-an sanggup membelasah dan menetak bekas teman wanitanya berusia 18 tahun dengan parang hingga parah hanya kerana cemburu, semalam.
Difahamkan, suspek berang apabila mengetahui bekas kekasihnya itu mula menjalinkan hubungan percintaan dengan lelaki lain walaupun baru beberapa hari menamatkan hubungan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di sebuah asrama sebuah kolej swasta, di sini, suspek pergi ke kawasan berkenaan kononnya mahu menunjukkan seorang wanita yang baru menjadi pasangannya dipercayai bertujuan membuatkan mangsa cemburu.
Menurut sumber, sebaik tiba di asrama itu, suspek dengan bersahaja meminta keizinan daripada pengawal keselamatan untuk bertemu mangsa.
“Pengawal keselamatan yang tidak curiga dengan kehadiran suspek memanggil mangsa yang tidur di biliknya,” katanya.
Sumber berkata, sebaik mangsa bertemu bekas teman lelakinya itu, suspek mula mempersoalkan perbuatan mangsa meninggalkannya kerana lelaki lain.
“Suspek mula memarahi mangsa dengan kata-kata kesat menyebabkan berlaku pertengkaran. “Keadaan mula menjadi tegang apabila suspek mula bertindak agresif dengan memukul mangsa menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.
Difahamkan, wanita berusia 20-an yang dibawa suspek untuk ditunjukkan kepada mangsa pula hanya mendiamkan diri.
Katanya, akibat tidak berpuas hati kerana mangsa melawannya, suspek pergi ke keretanya mengambil sebilah parang.
“Tersentak dengan itu, mangsa cuba melarikan diri, namun gagal menyebabkan dia cedera di bahagian belakang dan kepala.
“Mangsa bernasib baik apabila kejadian itu disedari pengawal keselamatan yang kemudian menenangkan suspek sebelum merampas parang dipegangnya,” katanya.
Suspek yang bimbang dicekup melarikan diri.
Sumber berkata, mangsa yang mengalami pendarahan teruk akibat tetakan itu dihantar ke sebuah hospital swasta berhampiran dan keadaannya kini dilaporkan masih kritikal.
“Doktor merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, di sini, mengenai kejadian itu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, sehingga jam 4 petang semalam, suspek yang menyerang mangsa belum ditangkap polis dan usaha memburunya giat dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tetakbekasbuahhatiadalelakilain/Article
No comments:
Post a Comment