Friday, October 1, 2010

'Kamu sangat liar'

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
2010/10/01

SHAH ALAM: “Sekiranya kes berjalan penuh dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan fakta kes, mana-mana hakim tidak akan teragak-agak menjatuhkan hukuman mati.

“Ini kerana fakta kes menunjukkan kamu sangat liar dan betapa seksanya mangsa sebelum menemui ajal,” kata Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki ketika menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap juruelektrik, G Selvaraaj, 26, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian teman wanitanya, di Klang, dekat sini, dua tahun lalu.

Sebelum ini, dia berdepan dengan hukuman mati mandatori apabila dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh wanita itu. Mohtarudin dalam penghakimannya berkata, tertuduh adalah orang amat berbahaya dan perlu diasingkan daripada masyarakat untuk tempoh lama.

“Daripada kecederaan, jelas kamu mempunyai niat untuk membunuh,” katanya. Mengikut pertuduhan, Selvaraaj didakwa menyebabkan kematian M Indra Devi di Taman Kapar Indah, di Klang, dekat sini, antara jam 3.30 pagi dan 4.30 pagi, 6 Januari 2008 di rumah nombor 47, Jalan Sungai Kapar Indah 9, Taman Sungai Kapar Indah, Kapar, Klang.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela K Renuka Devi ketika mengemukakan rayuan memohon hukuman ringan kerana anak guamnya melakukan perbuatan itu dalam keadaan mabuk selepas mengambil minuman keras. Katanya, anak guamnya pergi ke rumah gadis itu untuk berbincang, tetapi tercetus pertengkaran selepas mangsa menyatakan mahu memutuskan hubungan cinta mereka.

Berdasarkan fakta kes, Selvaraaj yang baru mengambil minuman keras pergi ke rumah teman wanitanya itu berkeseorangan. Dia kemudian cuba memasuki rumah Indra Devi dengan memecahkan tingkap menyebabkan mangsa ketakutan lalu menghubungi talian kecemasan.

Pada masa sama, jiran yang terdengar bunyi tingkap pecah keluar dan menasihati lelaki itu, tetapi tindakannya hanya mengundang kata-kata cacian daripada tertuduh. Lelaki itu bertindak memecahkan tingkap depan rumah dan memasukkan tangannya untuk membuka pintu dari dalam. Dia berjaya memasuki kediaman itu dengan mengumpil dan mengangkat pintu jeriji sebelum meloloskan badannya.

Teman wanitanya lari dan mengunci pintu bilik di tingkat atas. Namun tertuduh memanjat dinding bilik bersebelahan dan memasuki bilik gadis itu menerusi siling. Mangsa kemudian berlari ke tingkat bawah, namun ditikam berkali-kali oleh tertuduh menggunakan pisau yang diambil dari dapur.

Ketika ditikam, jiran mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan. Jiran mangsa yang datang ke tempat kejadian kerana mendengar jeritan mangsa melihat Selvaraaj sedang menangis dalam keadaan memangku mangsa yang terbaring.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamusangatliar/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...