Saturday, February 7, 2009

DUN tidak dibubarkan, Sultan minta MB undur

Feb 5, 09 3:40pm

Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Sultan Perak hari ini.

Kenyataan tersebut berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 ahli dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota bebas, baginda yakin bahawa Mohamad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.

"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap Sultan Azlan Shah untuk mendapat perkenan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Hamidi Hamid.

Ahmad Zahid merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak. 

Najib meninggalkan istana pada jam 10.35 pagi dan kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - untuk mengadap baginda pada jam 10.55 pagi ini.

Kesemua 28 ahli dewan daripada BN juga dibawa untuk menghadap Sultan Azlan Shah.

Selepas itu, Nizar Jamaluddin dititahkan untuk menghadap baginda di Istana Kinta dan beredar kira-kira 15 minit kemudian pada jam 1.05 tengah hari.

Nizar enggan meletak jawatan bersama barisan exconya dan dijangka mengadakan sidang media mengenai perkara itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kenyataan empat muka surat yang ditandatangani oleh Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, Setiausaha Sulit kepada Sultan Azlan Shah, dikeluarkan pada jam 2.15 petang.
    
Ia menjelaskan bahawa Mohammad Nizar telah menghadap Sultan semalam dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.

Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional Perak, juga telah memohon menghadap baginda dan telah diberi perkenan berbuat demikian pada hari ini.
    
Di majlis menghadap itu pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan kepada baginda bahawa BN dan penyokong-penyokongnya kini terdiri daripada 31 orang Adun dan telah menguasai majoriti ahli Dewan Negeri.
    
Menurut kenyataan itu, untuk meyakinkan baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, Sultan Azlan shah menitahkan kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut menghadap baginda.

Kenyataan penuh:

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan
 Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak. Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan."


http://www1.malaysiakini.com/news/97651

Kenyataan penuh Sultan Perak

Feb 5, 09 5:15pm
Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang
ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor. 
    
KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak. 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan. 

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM
Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

http://www1.malaysiakini.com/news/97682

Nizar perjelas sebab tidak letak jawatan MB

Feb 5, 09 6:38pm

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak.

perak cm mb mohamad nizar jamaluddinSurat tersebut adalah reaksi kepada titah baginda yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Manakala Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Mohamad Nizar dan semua anggota exconya mengosongkan pejabat mereka dengan segera.

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku, 


MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan 

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,


Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,


Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,


Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan


http://www1.malaysiakini.com/news/97687

Shabery: Nizar derhaka pada Sultan

Feb 5, 09 7:58pm
Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah menderhaka kepada Sultan apabila enggan untuk meletak
jawatan seperti yang dititahkan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Katanya orang Melayu mesti tahu dan sedar bahawa mereka mempunyai Raja dan negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan bukan sahaja di peringkat persekutuan tetapi juga di peringkat negeri, lapor Bernama.

"Kedaulatan sesebuah negeri itu terletak kepada raja-raja. Oleh itu, adalah wajar, wajib dan semestinya bagi kita patuh dan menjunjung tinggi titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-Raja kita.

"Jadi sewajarnya kita tidak mengingkarinya, jika tidak, kita akan ditafsirkan sebagai melanggar atau ingkar sekaligus menderhaka kepada Raja,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pra-Tonton rancangan 'Europe Through The Eyes of Malaysian' di ibunegara hari ini.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata negara ini mempunyai undang-undang berkaitan dengan kedaulatan dan pembubaran kerajaan negeri dan ini adalah proses yang digunakan selama ini.

Katanya, jika beliau (Nizar) menolak undang-undang serta kedaulatan terbabit, ini jelas menunjukkan beliau tidak hormat kepada pentadbiran negeri itu.

"Sesebuah DUN, jika hendak dibubarkan, mesti mendapat perkenan Tuanku Sultan terlebih dahulu. Jika beliau (Nizar) tidak berbuat demikian, ini sekaligus menunjukkan beliau tidak faham undang-undang dan tidak layak untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri," katanya kepada Bernama.

Undang-undang tubuh negeri


Abu Zahar berkata apa jua perkara termasuk pembubaran DUN harus mendapat perkenan Tuanku Sultan terlebih dahulu seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Nizar harus akur bahawa jika Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Perak, ia adalah wajar kerana telah terbukti kerajaan Pakatan Rakyat gagal memimpin negeri itu disebabkan pemimpin yang gila kuasa.

Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Malaysia Osman Abu Bakar berkata Nizar seharusnya ingat beliau dilantik sebagai menteri besar atas perkenan Tuanku Sultan dan jika Sultan menitahkan beliau meletakkan jawatan, maka beliau harus akur.

"Sebagai seorang Menteri Besar, beliau harus bersikap positif demi kepentingan orang Melayu dan menjaga maruah orang Melayu di Perak.

"Pergolakan politik yang sedang berlaku di Perak juga adalah ujian kepada sistem demokrasi berperlembagaan negara," katanya.

Osman berkata, Barisan Bertindak turut meminta orang Melayu di Perak agar optimis terhadap perubahan yang berlaku di negeri itu dan terus menunjukkan kesetiaan kepada Tuanku Sultan. 

Mohammad Nizar dalam kenyataan beliau semalam telah mengumumkan langkah drastik dan luar biasa dengan membubarkan DUN serta-merta sebelum mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Bagaimanapun, hari ini Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran DUN dan menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

http://www1.malaysiakini.com/news/97692

Polis: Tindakan tegas jika berdemo

Feb 5, 09 3:52pm
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang mengadakan sebarang perhimpunan atau demontrasi haram berikutan senario politik yang berlaku di Perak berikutan peralihan tampuk pemerintahan.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penyokong yang mengadakan sebarang perhimpunan atau demonstrasi secara haram kerana ia mengganggu ketenteraman awam. 

"Saya berharap penyokong mana-mana parti tidak mengadakan sebarang perhimpunan kerana ini bukan sahaja akan menyusahkan orang ramai tetapi ini akan mengganggu ketenteraman awam.

musa hassan"Pemimpin tertinggi bagi kedua-dua parti juga diminta memberi nasihat kepada penyokong masing-masing supaya bertenang dan tidak membuat perkara-perkara yang boleh melanggar undang-undang negara," kata Musa kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan akan berlaku demontrasi dan perhimpunan haram berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak berikutan empat ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Selain itu terdapatnya khabar angin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) mengajak penyokong parti politik di seluruh segara berkumpul di Perak untuk mengadakan demontrasi.

Musa berkata mana-mana pihak yang ingkar arahan polis boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

Katanya polis telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan tersebut dengan menempatkan anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk berkawal di beberapa kawasan sekitar Perak.

"Sehingga kini keadaan di Perak masih lagi terkawal namun polis akan terus berkawal sehingga dirasakan perlu," katanya.

Tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat itu keluar parti masing-masing memberikan majoriti mudah kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Empat wakil rakyat itu adalah Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada PKR, Adun Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP dan Adun Bota Datuk Nasaruddin Hashim, yang menyertai PKR pada 25 Januari lalu dan kembali semula kepada Umno semalam.

http://www1.malaysiakini.com/news/97655

Speaker ke mahkamah, mohon kerusi 3 Adun diisytihar kosong

Feb 5, 09 11:04am
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi ini, untuk mengisytiharkan tiga kerusi anggotanya - yang dianggap meletakkan jawatan - telah kosong.

perak deputy speaker sivakumar and osman and jamaluddinV Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan ketiga-tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan DAP itu.

Jamaluddin Mohd Radzi (wakil rakyat Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) didakwa menyerahkan surat peletakan jawatan mereka hujung minggu lalu. 

Mereka berdua bagaimanapun menafikannya dan mendorong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak surat peletakan jawatan tersebut. 

Suruhanjaya itu juga berpendapat kerusi kedua-duanya tidak kosong dan pilihanraya kecil tidak boleh diadakan.

Adun Jelapang dan juga bekas timbalan speaker DUN Hee Yit Foong didakwa menyerahkan suratnya semalam, tidak lama selepas mengisytiharkan keluar DAP.

Dalam satu kenyataan bersamanya dengan exco kanan negeri Datuk Ngeh Koo Ham, Sivakumar berkata permohonannya untuk memaksa SPR mengiktiraf tiga kerusi itu telah kosong dan memanggil satu pilihanraya kecil.

"Kerajaan negeri juga telah mengiktiraf bahawa mereka (bertiga) bukan lagi wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing," kata Sivakumar dan Ngeh.

"BN tidak boleh mendakwa ia mempunyai majoriti di DUN kerana Pakatan Rakyat masih mempunyai 28 Adun seperti juga BN yang memiliki 28 Adun. 

"Kedudukan tiga lagi wakil rakyat itu kini harus diputuskan di mahkamah."

Mereka berkata lagi, dalam keadaan politik tidak menentu saat ini, Speaker dan kerajaan Perak menyokong cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN.

Sivakumar dan Ngeh berharap Sultan Perak memperkenan cadangan tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/97620

'Markiman, tiada maaf bagimu'

Jimadie Shah Othman | Feb 5, 09 1:15pm
Para pemandu teksi di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) menolak permohonan maaf Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran yang menggelar mereka "monyet" dalam satu mesyuarat petang semalam.

"Orang bila terlanjur cakap boleh minta maaf, tetapi perkara itu dah tinggal (melekat) dalam hati. Kita (pemandu teksi) tidak dapat maafkan," kata pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi LCCT (PKPT-LCCT), Abd Hadi Hassan.

markiman kobiranPerkataan kasar itu terucap apabila rundingan antara Markiman dan persatuan berkenaan gagal mencapai sebarang kata sepakat.

Sejumlah 500 ahli persatuan berkenaan yang mencari rezki sejak dua tahun di lapangan terbang itu dalam mesyuarat mengejut itu, menuntut Markiman menyelesaikan masalah kebajikan mereka.

Tuntutan mereka, antaranya ialah membenarkan mereka mengambil tempahan dan menunggu di lapangan terbang itu, mengurangkan komisyen kepada kaunter perkhidmatan teksi, mengeluarkan kaunter bas dari terminal dan mengurangkan perkhidmatan bas di LCCT.

Terbaru, persatuan tersebut mendakwa, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) - mulai Isnin lalu - menghalang mereka mengambil tempahan penumpang dari dan ke lapangan terbang berkenaan.

lcct taxi drivers protest 050209 06Laporan polis dibuat semalam di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang berhubung dakwaan itu.

Sehubungan itu, mereka mengancam mengadakan mogok jika tuntutan mereka tidak dilayan.

'Dianggap keterlaluan'

Markiman yang kebetulan berada di lapangan terbang itu petang semalam, hadir berbincang dengan kira-kira sejak dengan 100 pemandu yang sedang marah itu.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Abd Hadi berkata, kata-kata Markiman yang dianggapnya keterlaluan itu sesekali tidak dapat dimaafkan.

"Ini bukan kali pertama dia kutuk pemandu teksi. Dia selalu kutuk kita," katanya.

Mereka juga mendakwa Markiman sendiri sebelum ini telah mencabar mereka dengan berkata "kalau hendak mogok, mogoklah. Saya boleh keluar banyak permit teksi."

lcct taxi drivers protest 050209 01Markiman juga dikritik kerana didakwa "boleh berunding, tetapi kena ikut cakap dia sahaja".

Markiman bagaimanapun ketika dihubungi, tidak ingin memanjangkan ketegangan itu.

'Saya sudah minta maaf'


"Saya sudah minta maaf. Saya sudah tarik balik kata-kata saya. Semuannya sudah selesai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya kenapa beliau mengucapkan kata-kata itu, Markiman menjelaskan tindakannya itu bukanlah disengajakan.

"Biasalah, dah sama-sama panas masa itu," katanya.

lcct taxi drivers protest 050209 02Tentang tuntutan-tuntutan persatuan berkenaan, beliau berkata, LPKP sedang menyelesaikan masalah itu. Justeru itu, beliau meminta pihak berkenaan bersabar.

Katanya, perkara itu mengambil masa untuk diselesaikan kerana puluhan rungutan yang dikemukakan turut melibatkan bidang kuasa pelbagai pihak.

PKPT-LCCT malam tadi mengadakan mogok bermula 12.30 hingga jam 6 pagi tadi dan dijadual berakhir jam 1 tengah hari ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/97634

Perhimpunan besar sokong MB Perak

Abdul Rahim Sabri | Feb 5, 09 1:00am
Satu perhimpunan penyokong dan ahli Pakatan Rakyat akan diadakan di kediaman menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin malam ini untuk menyatakan sokongan penuh kepadanya dalam menghadapi situasi tidak menentu politik negeri itu.

anwar ibrahimKetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan secara terus kepada rakyat berhubung isu-isu yang sedang berlaku.

"Kamu (BN) bercakap tentang demokrasi, tetapi kamu tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat.

"Kamu kalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan kamu takut untuk kalah lagi," katanya dalam sidang akhbar, sejurus selepas mempengerusikan satu mesyuarat biro politik di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR yang kini sebagai wakil bebas - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) - telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

'Situasi tidak menentu'

Kata Najib, begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini dan turut menjadi wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata, PKR dan Pakatan berpandangan bahawa "kita harus tunduk kepada kehendak rakyat".

"Kita mesti bertegas dalam isu ini, kembalikan kuasa kepada rakyat, terutama dalam situasi yang tidak menentu di Perak.

"Cara mengugut, membeli dan melarikan Adun tidak boleh dipertahankan," tegasnya.

nasarudin hashimDitanya mengenai kemasukan Nasarudin ke dalam PKR, Anwar berkata: "Dia datang dengan rela, saya tak jemput dia, dia datang sendiri ke rumah saya dengan isterinya. Dia bersetuju untuk bersama PKR.

"Dia tengok BN telah rosak. Umno sudah hilang idealisme perjuangan dan rosak sebagai sebuah parti," katanya.

'Kembali kepada rakyat'


Menurut Anwar lagi, Nasarudin turut menyatakan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap Najib.

Mengenai kenyataan Najib bahawa BN sudah mampu memerintah Perak, Anwar membidas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

pkr permatang pc 230808 perak exco jamaluddin and osmanAnwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menyifatkan alasan Jamaluddin dan Osman bahawa mereka bercuti sakit adalah sebagai satu pembohongan.

"Kenapa tidak memberitahu keluarga, pimpinan parti, menteri besar atau Speaker. Kamu adalah exco, orang di jalanan pun tahu itu tanggungjawab awak," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa BN supaya kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru daripada mereka.

"Serahkan kepada rakyat, biar rakyat tentukan, sekiranya BN berhak memerintah, maka biarkanlah.

"Tapi saya yakin, kita akan mendapat majoriti yang lebih besar," tegas Anwar.

http://www1.malaysiakini.com/news/97614

BN bakal bentuk k'jaan baru Perak

Jimadie Shah Othman | Feb 4, 09 5:06pm
Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka hari ini.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah  bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

najib announce new bn perak state govt 040209 07Begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Najib berkata, Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan perkara itu kepadanya semalam.

"Hari ini juga Adun Bota, Datuk Nasarudin berjumpa dan memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah kembali bersama Umno," katanya, membacakan satu kenyataan, dalam sidang akhbar khas di pejabatnya di Putrajaya.

Keempat-empat mereka turut hadir di sidang akhbar tersebut.

Najib menambah, Jamaluddin, Osman dan Hee telah memaklumkan melalui surat kepada Sultan Perak bahawa mereka telah meninggalkan parti masing-masing.

najib announce new bn perak state govt 040209 08Menurutnya, keempat-empat mereka telah memberikan mandat dan akujanji untuk mencalonkan wakil rakyat BN sebagai nama menteri besar baru menggantikan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin. 

Katanya, keempat-empat mereka telah memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar, PKR dan DAP bahawa mereka bukan lagi ahli parti-parti tersebut.

Najib berkata, berdasarkan Fasal 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, menteri besar - apabila hilang keyakinan dan majoriti - dan barisan exconya harus meletakkan jawatan.

Katanya, beliau akan menghadap Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi memaklumkan penubuhan kerajaan baru BN.

Difahamkan beliau akan ke istana Sultan Azlan Shah esok.

najib announce new bn perak state govt 040209 12Ditanya tarikh beliau akan ke istana, Najib berkata, ia bergantung kepada perkenan baginda.

Najib juga menafikan wujud paksaan atau penggunaan wang untuk membeli wakil-wakil rakyat itu dalam proses pembentukan kerajaan baru.

Ditanya pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh Jamaluddin dan Osman, timbalan perdana menteri enggan mengulas dengan berkata "ia adalah isu yang berbeza".

Ditanya sekiranya Sultan bersetuju membubarkan DUN Perak seperti yang diminta oleh Pakatan Rakyat, Najib berkata, kuasa mutlak di tangan baginda.

"Apa-apa perkara, itu akan diputuskan oleh Sultan," katanya.

Ditanya bagaimana BN hendak membentuk kerajaan memandangkan tiga daripada Adun yang menyokong parti sebagai wakil-wakil rakyat bebas, Najib berkata, mereka adalah "Adun bebas yang menyokong BN".

Katanya lagi, apabila undian dijalankan di DUN nanti, BN yang mempunyai 28 kerusi akan mendapat sokongan tiga Adun bebas terbabit.

Pakatan Rakyat kini mempunyai 28 kerusi.

Bagaimanapun, Speaker DUN tidak boleh mengundi, jadi Pakatan hanya mempunyai 27 kerusi.

Mengulas isu moral melompat parti, Najib berkata: "Kita tidak mulakan, siapa yang bercakap pada 16 September".

Ditanya tentang negeri lain yang mungkin diambil alih BN, Najib enggan mengulas dan berkata "itu cerita lain".

Ditanya bilakah beliau mula berbincang dengan Adun-adun berkenaan untuk meninggalkan PKR dan DAP, Najib berkata, beliau tidak perlu memberitahu "sama ada pagi, petang atau malam".

http://www1.malaysiakini.com/news/97595

Sebab Adun Bota kembali ke Umno

Jimadie Shah Othman | Feb 4, 09 5:33pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasarudin Halim memberi tiga sebab mengapa beliau kembali semula ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional.

nasarudin hashimBeliau menjelaskan demikian dalam satu kenyataan ringkas yang diedarkan kepada pihak media selepas sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya petang ini.

Pada 25 Januari lalu, Nasarudin Hashim mengumumkan keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

Nasaruddin (foto) membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Berikut adalah kenyataan penuh Nasarudin

Dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai rakyat negeri Perak, yang ingin melihat wujudnya sebuah kerajaan yang stabil di negeri yang saya kasihi ini dan setelah mengambil pertimbangan perkara-perkara berikut, iaitu:

bullet buttonKeadaan politik yang tidak menentu hingga wujud satu kerajaan yang tidak kukuh di negeri Perak; 

bullet buttonMengambil kira dan menghormati rakyat, pengundi-pengundi di kawasan pilihanraya N39 Bota serta menghormati prinsip-prinsip dan amalan demokrasi; dan

bullet buttonMengambil kira nasihat dan pandangan rakan-rakan politik dan orang-orang perseorangan yang ingin melihat wujud keadaan dan suasana politik dan kerajaan yang kukuh di negeri Perak:

Maka saya dengan perasaan penuh kesedaran dan tanggungjawab kembali semula menyertai Umno dan Barisan Nasional mulai daripada hari ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/97594

MB gagal bubar DUN Perak

Feb 4, 09 12:23pm

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak belum dibubarkan selepas menteri besar menghadap Sultan petang ini walaupun kerajaan Pakatan Rakyat itu ingin memanggil pilihanraya negeri secara mengejut. 

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menghabiskan masa hampir dua jam di istana menghadap Sultan Azlan Shah untuk memaklumkan keputusan itu selepas empat wakil rakyat kerajaan negeri itu berpaling tadah.

Selain tiga bekas Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) PKR dan DAP keluar parti masing-masing, wakil rakyat Bota, Datuk Nasaruddin Hashim - menyertai PKR selama 10 hari - kembali menyokong parti asalnya.

Mohamad Nizar kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak selepas mengumumkan kerajaan pimpinannya ingin membubarkan DUN dan berharap baginda memperkenan keputusan tersebut. 

sultan azlan and nizar jamaluddinDesas-desus tentang pembubaran DUN itu sejak menjelang tengah hari berakhir dengan kenyataan menteri besar bahawa "terserah kepada tuanku" sewaktu keluar istana jam 5.35 petang.

Difahamkan baginda tidak memberi perkenan kepada Pakatan Rakyat membubarkan DUN.

Mohamad Nizar dijadual mengadakan sidang akhbarnya jam 10 malam ini di kediaman rasminya berhubung perkembangan terbaru kerajaan pimpinannya itu. 

Beberapa pemimpin kanan PAS dan wakil-wakil rakyat Pakatan yang dihubungi Malaysiakini sejak bermula desas-desus ini, enggan memberi sebarang ulasan buat masa sekarang.

Adun Jelapang dan juga Timbalan Speaker DUN Hee Yit Foong meninggalkan gabungan tersebut pagi ini.

Jamaluddin Mohd Radzi (wakil rakyat Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar parti beberapa hari ini lalu - memulakan pergolakan politik di negeri itu yang kelihatan berakhir dengan pembentukan kerajaan baru BN. 

Dengan tindakan empat Adun itu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kini tinggal 28 daripada 59 kerusi DUN. 

Tiga bekas Adun kerajaan campuran itu kini menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada BN, membolehkan parti itu merampas tampuk kerajaan dengan majoriti tipis tiga kerusi.

http://www1.malaysiakini.com/news/97551

K'jaan Pakatan Perak bergoncang

Feb 4, 09 2:47pm

Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat bergoncang kuat hari ini setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggalkannya - tiga daripadanya kini wakil rakyat bebas. 

Ia akan tumbang pada bila-bila masa, ibarat telur di hujung tanduk -  hanya menunggu Datuk Seri Najib Razak menghadap Sultan Perak untuk memaklumkan majoriti baru yang diperolehinya hari ini.

Difahamkan beliau akan ke istana Sultan Azlan Shah esok.

Timbalan perdana menteri mengumumkan empat wakil rakyat itu - termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR selama 10 hari - menyokong pembentukan kerajaan baru BN.

najib announce new bn perak state govt 040209Najib mengadakan sidang akhbar khasnya jam 4.45 petang tadi di Putrajaya bersama keempat-empat Adun tersebut. 

Dalam sidang media tergempar di pejabatnya kira-kira 3 petang tadi, Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menyatakan Nasarudin "telah diculik".

Nasarudin bagaimanapun menafikannya apabila ditanya media ketika sidang akhbar di Putrajaya itu. 

Mohd Nizar menambah, beliau bersama 27 lagi Adun Pakatan  berharap Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Bagaimanapun, selepas menghadap baginda hampir dua jam di Istana Kintat di Ipoh, beliau berkata "terserah kepada tuanku". 

Krisis politik di negeri itu dijangkakan belum berakhir dengan   perpindahan empat Adun tersebut. Diura-urakan beberapa lagi wakil rakyat Pakatan di Perak akan menyatakan sokongan kepada BN.

Susulan perkembangan mengejutkan itu, kerusi Pakatan di DUN Perak kini tinggal 28, sama dengan jumlah kerusi BN yang disokong oleh tiga Adun bebas.

Desas-desus dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) - pertengahan minggu lalu berkemungkinan menyertai Umno kemudiannya.

Adun Jelapang, Hee Yit Foong mengesahkan turut keluar DAP pagi tadi, justeru mencemaskan kerajaan Pakatan itu dan mendesaknya membuat pilihan terakhir - ingin membubarkan DUN.

http://www1.malaysiakini.com/news/97568

Saya sekadar dikambing hitam, kata Sirul

Feb 4, 09 1:49pm

Tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia adalah sekadar "kambing hitam yang harus dikorbankan" untuk melindungi rancangan dan niat mereka yang tidak berada dalam mahkamah ini untuk menghadapi pertuduhan. 
    
"Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam," kata Koperal Sirul Azhar Umar dengan nada suara yang sebak ketika memberi keterangan membela diri.

Sirul Azhar, 37, dari Unit Tindakan Khas Bukit Aman, turut menyentap perasaan mereka yang berada dalam mahkamah dengan merayu agar tidak dijatuhkan hukuman mati, lapor Bernama

"Saya merayu kepada mahkamah yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya," katanya sambil dilihat mengesat linangan air mata.

Adik perempuan dan abang saudaranya yang turut berada di galeri awam dilihat turut menangis.

Sirul Azhar mula membacakan nota kenyataan pembelaannya setebal 15 muka surat mulai jam 9.40 pagi, dengan menjelaskan mengenai pertemuannya dengan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, pada 18 Oktober 2006 di Central Market untuk mencari Hotel Malaya setelah dia selesai bertugas.
    
"Saya bertanya kepada Azilah apakah tujuan mencari Hotel Malaya dan apakah tujuan untuk ke Damansara (ke rumah Abdul Razak Abdullah Baginda, tertuduh ketiga yang telah dibebaskan dan dilepaskan sebelum ini)?. Azilah memberitahu saya beliau ada kerja yang hendak dilaksanakan dan meminta saya mengikutinya sahaja.
    
"Dalam perjalanan ke Damansara, Azilah ada menceritakan kepada saya bahawa DSP Musa Safri telah memberitahu beliau hal seorang kawan DSP Musa yang sedang menghadapi masalah perempuan.

"Azilah mengarahkan saya untuk memandu ke rumah kawan DSP Musa yang dimaksudkan di Bukit Damansara. Menurut Azilah kawan DSP Musa adalah seorang berjawatan tinggi, seorang ahli perniagaan dan seorang yang berada. 

"Bagaimanapun, Azilah tidak mendedahkan kepada saya identiti kawan DSP Musa itu," katanya.

Sirul Azhar berkata bahawa sepanjang perjalanan, Azilah juga menceritakan bahawa seorang perempuan dan seorang lelaki yang dipercayai abang kepada perempuan tersebut, kedua-duanya berbangsa Cina, telah mengganggu dan membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa. 
    
Menurut Azilah lagi perempuan itu adalah kekasih lama kawan DSP Musa tersebut, katanya.
    
Sirul Azhar berkata persetujuan untuk membuat rondaan di kawasan rumah Abdul Razak adalah sebagai bantuan kerana beliau mengenali Musa yang merupakan pegawai atasannya dan ia juga adalah arahan daripada Azilah yang juga pegawai atasannya.

Dia turut mengakui telah pergi ke Hotel Malaya (tempat penginapan Altantuya) bersama Azilah pada hari tersebut untuk menemui wanita Mongolia itu tetapi tidak berjaya kerana Azilah tidak tahu yang mana satu biliknya.

Sirul Azhar berkata bahawa pada 19 Oktober 2006, Azilah menelefonnya pada jam 8.45 malam memintanya datang ke rumah Abdul Razak bagi memberi bantuan sokongan sekiranya lelaki dan perempuan Cina yang membuat kecoh itu bertindak ganas.

Katanya, setiba di kediaman tersebut (dengan berjalan kaki kerana kenderaan diletakkan di simpang jalan), dia melihat Azilah sedang bercakap dengan seorang perempuan Cina dan seorang lelaki India, dan apabila Azilah ternampak, dia membuat isyarat tangan supaya Sirul Azhar masuk ke dalam sebuah kereta Wira Aeroback berwarna merah.
    
"Tidak lama selepas itu saya nampak perempuan Cina itu berjalan menuju ke kereta sambil diikuti Azilah dan lelaki India itu. Perempuan Cina tersebut terus membuka pintu penumpang belakang dan memasukinya," kata Sirul Azhar.

Katanya selepas itu kereta yang dipandu Azilah terus menuju ke simpang tiga dan dia meminta Azilah menurunkannya di situ untuk mengambil kereta.
    
Azilah kemudiannya mengekori kenderaan Sirul Azhar dan ketika berhenti di sebuah perhentian bas, dia berjumpa dengan Azilah dan dimaklumkan bahawa perempuan Cina itu menunjukkan perilaku dan respon yang baik setelah dinasihati supaya tidak terus membuat kacau di rumah Abdul Razak.
    
"Saya memberitahu Azilah bahawa memandangkan keadaan adalah terkawal dan saya tidak mempunyai apa-apa peranan lagi saya ingin pulang ke rumah. Azilah kata okay. Selepas itu saya meneruskan pemanduan dari Jalan Damansara membelok ke kompleks kerajaan Jalan Duta. 

"Sebelum membelok menghala ke NKVE (New Klang Valley Expressway), saya telah menghubungi Azilah melalui telefon untuk bertanyakan sama ada saya perlu membuat rondaan di kawasan rumah kawan DSP Musa pada keesokan harinya memandangkan Azilah akan bertugas di Putrajaya.
    
"Menurut Azilah dia telahpun menasihati perempuan Cina tersebut dan perempuan itu bersetuju untuk tidak mengganggu atau membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa lagi. Azilah memberitahu bahawa saya tidak perlu membuat rondaan keesokan harinya," katanya.
    
Sirul Azhar berkata dia tiba di rumah pada jam 10 malam dan keluar semula pada jam 12 tengah malam menghala ke plaza tol Kota Damansara menuju ke plaza tol Jalan Duta dan seterusnya ke Kampung Baru Kuala Lumpur untuk bersahur.

Dalam perbicaraan lalu, pihak pendakwaan telah mengemukakan laluan-laluan tersebut sebagai laluan alternatif untuk Azilah dan Sirul Azhar membawa Altantuya ke Puncak Alam dari rumah Abdul Razak.

Keterangan Azilah ketika membela diri juga tidak menyatakan Sirul Azhar bertindak pulang ke rumah sebaliknya Sirul Azhar dikatakan telah mengikutinya hingga ke Bukit Aman dan bersetuju menghantar Altantuya ke hotel pada malam tersebut.

Sirul Azhar dan Azilah sedang dibicarakan pada peringkat pembelaan terhadap tuduhan membunuh Altantuya, 28, di satu kawasan antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. 
    
Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya. Pada 31 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin memerintahkan agar Abdul Razak, yang juga penganalisis politik, dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.
    
Dalam keterangannya hari ini Sirul Azhar berkata bahawa sebelum berlepas ke Pakistan pada 31 Oktober 2006 untuk satu tugasan liputan keselamatan perdana menteri, dia telah meninggalkan kenderaan, iaitu sebuah jip, di tempat letak kereta perkarangan Bukit Aman dan meninggalkan kunci kepada seorang bernama Sarjan Rosli.
    
"Sebelum berlepas ke Pakistan, saya telah mengemas kenderaan saya dan menyusun rapi barangan di dalamnya termasuklah sepasang selipar berwarna merah yang saya sisipkan dengan rapi di tepi kotak plastik yang besar di bahagian belakang kenderaan," katanya.
    
Bagaimanapun katanya selipar yang ditunjukkan sebagai eksibit (mempunyai tompokan darah Altantuya) bukanlah miliknya dan tidak sama dengan yang sebelum ini kerana warna berbeza dan saiz tidak sesuai dengan kakinya.

Mengimbas bagaimana dia dibawa ke tempat kejadian, Sirul Azhar berkata ASP Tonny Lunggan (pegawai penyiasat kes itu) telah mengarahkan beberapa orang pegawai polis yang turut membawa kamera video ke satu kawasan pada 6 Nov 2006 tetapi berada di situ sekejap sahaja kerana hari hampir senja.
    
Sirul Azhar berkata bahawa pada esokannya,  ASP Zulkarnain telah memintanya membuat pengakuan dengan berkata "...macam inilah Sirul, kalau kau setuju, engkau ikut aku, kau camkan barang-barang itu, kau pegang dan tunjuk ke arah barang itu sambil jurugambar ambil gambar, aku boleh tolong engkau dan hal ini kita tidak bawa ke mahkamah."
    
Selepas itu tanpa bertanya apa-apa, Sirul Azhar berkata dia telah mengikuti beberapa anggota polis ke rumahnya dan di situ (rumah) dia melihat ASP Zulkarnain membuka pintu menerusi kunci yang mana sebelum itu dia telahpun menyerahkannya kepada ACP Mastor Mohd Ariff (pegawai atasan UTK) sewaktu di Pakistan.
    
Bagaimanapun, Sirul Azhar berkata kunci yang ditunjukkan di mahkamah bukanlah kunci rumahnya yang sebenar kerana ia masih berkilat sedangkan kunci miliknya telah lusuh dan banyak.
    
Katanya, ketika di rumah, dia telah dipaksa memegang jaket dan menunjuk arah barang-barang milik Altantuya untuk dirakam gambarnya dan sewaktu keadaan itu berlaku dia tidak dibacakan apa-apa 'amaran' oleh mana-mana pegawai polis.
    
"Sebelum saya mengakhiri kenyataan ini, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengenali mangsa dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi mahupun sebaliknya dengan beliau.

"Saya juga tidak mengenali Abdul Razak dan tidak mempunyai sebarang urusan dengan beliau sebelum kes ini. Saya merayu kepada mahkamah ini untuk mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan ini, saya telah mengikuti prosiding ini dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutamanya saksi dari
 D9 IPK (siasatan jenayah berat) yang mereka-reka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa berubah-ubah cerita mereka bila disoal balas.
    
"Saya melihat keadaan ini dengan keperihatinan kerana bagi saya tindakan mereka ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan sabitan terhadap saya," katanya.
    
Selesai sahaja Sirul Azhar memberi keterangan, peguam Hasnal Redzua Merican yang mewakilinya, menyatakan bahawa pihaknya tidak akan memanggil saksi lain dan menutup kes pembelaan.

Hakim Mohd Zaki menetapkan 16 dan 17 Feb ini untuk semua pihak mengemukakan penghujahan sebelum beliau membuat keputusan.

Ramlang rayu kerja semula di Jakim

Jimadie Shah Othman | Feb 4, 09 12:55pm
Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan – yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim – mengemukakan permohonan rayuannya.

Ramlang Porigi yang menganggur sejak 20 Januari lalu mendakwa memohon budi bicara Jakim bagi menerima semula beliau berkhidmat dengan jabatan itu.

"Saya minta diberikan peluang kedua," katanya dalam surat kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) yang diserahkan dengan tangan semalam di pejabat lamanya di Putrajaya.

Ramlang - yang berceramah di tiga tempat dan kemudian mengadakan sidang media bersama PKR ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas -  didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja" oleh Jakim.

Lembaga tatatertib Jakim yang dipengerusikan oleh ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu. 

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Ramlang berkata, beliau difahamkan proses rayuan itu biasanya memakan masa tiga bulan sebelum keputusan dapat dibuat.

Sehubungan itu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, bapa kepada tiga orang anak itu sekarang dalam proses mencari pekerjaan baru.

"Saya juga sedang cari rumah sewa (untuk berpindah)," katanya yang baru pulang daripada kampung halamannya di Sandakan, Sabah setelah dipecat mengejut dua minggu lalu.

Beliau setakat ini masih menginap di kuaters kerajaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta – tempat beliau menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan, pemuda yang mendakwa diliwat Anwar, Ogos lalu.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu. 

Ramlang – yang pernah mendakwa mendapat banyak tohmahan dan fitnah akibat kehadirannya dalam majlis sumpah itu – juga merancang menceritakan semua pengalamannya kepada umum melalui ceramah dan penulisan berbentuk buku.

"Apa pun saya kena bincang dengan peguam saya. Kalau dia bagi lampu hijau, insya Allah," katanya.

Peguamnya Ahmad Nizam Hamid ketika dihubungi berkata pihaknya memohon semakan terhadap keputusan Jakim itu di mahkamah jika rayuan semalam ditolak.

http://www1.malaysiakini.com/news/97555

Jamaluddin: BN boleh bela semua kaum

Feb 4, 09 7:15pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bebas kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi berkata beliau akan menyokong Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri Perak kerana yakin parti itu boleh membela nasib semua bangsa.
    
Katanya, beliau akan menyokong apa-apa keputusan BN di DUN Behrang, demi kebaikan dan faedah rakyat.
    
Jamaluddin Mat RadziJamaluddin menegaskan beliau akan tetap menjadi anggota Bebas di DUN Behrang dan tidak bercadang untuk menyertai Umno buat masa ini, kata Bernama.
    
Biar masa yang menentukan, katanya.

Beliau turut menafikan khabar angin kononnya tindakannya menjadi anggota bebas didorong oleh faktor habuan dan sogokan.

Beliau mengulangi keputusannya menjadi anggota Bebas dibuat setelah ada tindakan seolah-olah mahu menghalaunya keluar dari PKR.
    
Katanya, ini berikutan tindakan parti itu menghantar surat mengosongkan kerusinya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.

'Jiwa pada BN'
    
Jamaluddin yakin dapat meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat walaupun beliau anggota bebas kerana percaya para pengundi di kawasannya akan tetap menyokong beliau berdasarkan perkhidmatan yang diberikan selama ini.

Sementara itu, Adun Changkat Jering Kapten (B) Mohd Osman Jailu berkata walaupun beliau kini merupakan anggota bebas di DUN Perak tapi jiwanya adalah pada BN.

"Bebas tapi jiwa pada BN," katanya.

Mohd Osman berkata beliau akan memainkan peranan sebagai anggota bebas yang mesra pada BN di DUN Perak.
    
Beliau yakin dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dengan lebih berkesan sebagai anggota bebas kerana tidak dikekang oleh mana-mana parti.
    
Mohd Osman menegaskan beliau tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/97600

SPR tak akan kaji semula keputusannya

Feb 4, 09 2:20pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengkaji semula keputusannya berhubung kedudukan dua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Changkat Jering dan Behrang yang dibuatnya semalam kerana ia berdasarkan undang-undang, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Beliau berkata tidak timbul soal bertindak di luar batas kuasa kerana mengikut Perkara 36 (5) Perlembagaan negeri Perak SPR perlu memastikan bahawa berlaku kekosongan di luar jangka untuk memberi laluan kepada pilihanraya kecil diadakan.

"Tetapi dalam kes ini timbul keraguan dalam memastikan berlakunya kekosongan itu, justeru kami memutuskan bahawa kekosongan tersebut tidak berlaku," katanya kepada Bernama.

Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat hanya berdasarkan sudut perundangan dan mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu.

Beliau berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, mereka boleh membawanya ke mahkamah.

Semalam, Abdul Aziz dilaporkan berkata, SPR memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa telah kosong melalui peletakan jawatan masih, disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Susulan itu, tiada pilihanraya kecil di kerusi itu kerana SPR tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut, katanya.

Dalam mesyuarat khasnya pagi semalam, SPR memutuskan "wujud keraguan" pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.

Oleh itu, SPR memutuskan bahawa kerusi-kerusi tersebut masih disandang oleh kedua-dua Adun berkenaan yang memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihanraya umum ke-12 lalu.

Mengulas lanjut hari ini, Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat berdasarkan sudut perundangan dan mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu.

Beliau berkata sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, mereka boleh membawanya ke mahkamah.

"Kita terbuka (kalau mereka hendak membawa kes ini ke mahkamah), dan kita takkan halang malah kita akan patuh dan takkan persoalkan apa sahaja keputusan mahkamah nanti," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang turut mendakwa SPR bertindak di luar batasan kuasanya apabila mengekalkan status quo kedua-dua Adun itu.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Abdul Aziz berkata tindakan mempersoalkan keputusan itu seolah-olah mencabar kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, kerana pelantikan beliau sebagai pengerusi SPR dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

"Tak manislah begitu.. tak beradab.. Kalau tak bersetuju boleh dibawa ke mahkamah.. Tak perlulah cabar begitu," katanya. 

http://www1.malaysiakini.com/news/97563

Dr M nasihat Pak Lah 'fikir dulu'...

Feb 4, 09 2:38pm

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya 'fikir dahulu' sebelum menerima bekas ahli dewan undangan negeri (Adun)  PKR di Perak menyertai Umno.

"Presiden Umno berkata Umno sedia untuk menerima siapa sahaja untuk menjadi ahli. Ini memanglah dasar parti," katanya. 

Bagaimanapun, Dr Mahathir menulis dalam blognya hari ini, kedua-dua Adun PKR itu mempunyai masalah kerana mereka dituduh terlibat dengan rasuah.

Beliau mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) yang keluar parti dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

"Apakah Umno begitu terdesak sehingga tidak dapat tunggu keputusan mahkamah berkenaan tuduhan terhadap mereka sebelum menerima mereka?" soalnya.

Jamaluddin dan Osman menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.

Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di Ipoh selama tiga hari bermula 10 Februari ini.   

Dr Mahathir berkata, jika mereka diterima sekarang dan kemudian mereka didapati tidak bersalah, maka kerajaan pimpinan Umno (lebih kurang) akan dituduh mempengaruhi mahkamah. 

"Benar tidak benar bukan soalnya. Pada pandangan masyarakat tuduhan ini tetap akan dipercayai. Ia akan punyai kesan dalam PRU13," tambahnya ketika mengulas perkembangan terkini di Perak sekarang.

"Umno sudah dianggap bergelumang dengan rasuah, selalu mungkir janji, mengutamakan kroni Perdana Menteri di Terengganu. 

"Jika kepada semua ini ditambah pula dengan penerimaan orang yang dituduh melakukan rasuah seks, imej Umno akan jadi lebih buruk," kata Dr Mahathir.

"Dato Abdullah Presiden Umno, fikir dahulu sebelum beria-ia nak terima orang yang seperti ini," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/97567

Ketua bahagian PKR sah bertemu Najib

Muda Mohd Noor | Feb 3, 09 2:00pm

Bekas timbalan menteri pertahanan hari ini mengesahkan memang ada pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak dengan seorang ketua bahagian PKR, Fauzi Muda pada 11 Mac tahun lalu, seperti yang didakwa.

Datuk Zainal Abidin Zin mengesahkan pertemuan tersebut seperti yang didakwa Fauzi dalam akuan bersumpahnya semalam. Fauzi adalah ketua bahagian PKR Ipoh Barat.

Dalam akuan berkanun itu, Fauzi mendakwa, pertemuan di kediaman rasmi Najib sejurus selepas pilihanraya umum lalu, melibatkan rundingan RM50 juta untuk memujuk dua wakil rakyat PKR agar menyertai BN.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Ampang hari ini, Zainal menambah, beliau bagaimanapun tidak mengetahui butiran perbincangan antara Fauzi dengan timbalan presiden Umno.

Menurutnya lagi, perbincangan itu diadakan di tempat terbuka di kediaman Najib di Putrajaya tetapi beliau tidak mendengar perbualan itu kerana terdapat ramai orang di situ.

Bawa Fauzi jumpa Najib

zainal abidin zin pc 030209 02Zainal mengakui beliau menaiki kereta yang sama dengan Fauzi dan seorang rakannya Sulaiman Mansor,  yang juga merupakan kawan kepada Fauzi.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak mengenali Fauzi dan tidak tahu yang Fauzi seorang pemimpin PKR.

"Fauzi kata dia hendak jumpa Datuk Seri Najib kerana ada urusan peribadi dan urusan perniagaan.

"Kebetulan saya juga hendak berjumpa Datuk Seri Najib untuk memberitahu mengenai kekalahan saya di kerusi parlimen Bagan Serai," tambahnya.

Menurut Zainal lagi, sudah menjadi prinsipnya "bila orang jumpa saya, apa yang boleh saya tolong, saya tolong".

"Dari air mukanya (Fauzi) saya percaya dia tidak seronok. Tapi bila saya tanya hasil pertemuan itu, dia kata OK-lah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari riak muka Fauzi, beliau tidak fikir ada tawaran daripada Najib kepada Fauzi.

Menurutnya, Fauzi juga tidak memberitahunya hasil perbincangan dengan Najib.

"Saya tanya Fauzi selepas perbincangan selesai, Fauzi kata oklah.
Saya tidak dengar Datuk Seri Najib setuju, tapi saya rasa tidak ada tawaran RM50 juta.

"Saya rasa juga tidak ada perbincangan tentang tawaran tersebut," katanya.

Tidak lagi jumpa Fauzi

zainal abidin zin pc 030209 01Menurut Zainal, beliau hanya berjumpa Fauzi pada malam itu sahaja dan tidak pernah berjumpanya lagi selepas itu.

"Tak ada sebab saya nak jumpa (Fauzi)," katanya lagi sambil menambah terdapat lebih 10 orang Umno, tetapi tidak ada VIP, di rumah Najib pada malam tersebut.

"Saya bercakap dengan Datuk Seri Najib kes saya (kalah pilihranraya), Fauzi bercakap kes dia," katanya.

"Saya tak dengar apa yang Fauzi bercakap dengan Datuk Seri Najib.
 Kita tak dengar dia bercakap tentang duit.

"Kalau saya tanya banyak kepada Fauzi, orang kata saya jaga tepi kain orang. Sulaiman yang minta tolong saya bawa Fauzi jumpa Datuk Seri Najib," katanya.

"Tiada tawar menawar'

Selepas perjumpaan dengan Najib itu, Zainal berkata, Fauzi balik sendiri.

Zainal berkata, beliau telah lama mengenai Sulaiman yang merupakan orang lama dalam Pergerakan Belia 4B dan juga menjadi ahli Umno bahagian Bagan Serai.

Ditanya mengenai dakwaan Fauzi dalam akuan berkanunnya, Zainal berkata: "Saya tidak akan ambil apa-apa tindakan terhadap Fauzi.

"Saya tidak tahu dia ini orang PKR, tapi prinsip saya, bila orang jumpa saya, apa yang boleh saya tolong, saya tolong," katanya.

Zainal juga berkata, beliau tidak tahu berapa lama Fauzi bercakap dengan Najib.

"Fauzi tidak cerita tawar-menawar dengan Datuk Seri Najib kepada saya. Dia seorang seorang bincang dengan Najib," katanya lagi.

Najib setakat ini belum memberikan sebarang reaksi terhadap dakwaan ketua bahagian PKR itu.


http://www1.malaysiakini.com/news/97481

Mesyuarat tergempar Pakatan Perak malam ini

Jimadie Shah Othman | Feb 3, 09 7:24pm
Kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak akan menghadiri mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan tindakan selanjut berhubung isu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Hari ini, Jamaluddin dan Osman dilaporkan telah keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas.

Seorang Adun PKR memberitahu Malaysiakini, pertemuan 30 wakil rakyat Pakatan itu akan turut melibatkan pemimpin ketiga-tiga parti gabungan dalam Pakatan di negeri itu.

Pertemuan itu akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Ipoh jam 8 malam ini. 

Jamaluddin dan Osman yang juga exco kerajaan negeri, sehingga hari ini belum muncul di khalayak selepas cuti sakit sejak pertengahan minggu lalu.

Tanpa kedua-dua Adun itu, Pakatan kini mempunyai 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN mempunyai 27 kerusi.

Sementara itu, seorang lagi exco Perak mewakili PKR, Tai Sing Ng berkata, kerajaan negeri belum menerima surat peletakan jawatan dari Jamaluddin dan Osman sebagai exco kerajaan negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, jika ingin keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, mereka hendaklah melepaskan jawatan exco.

Tidak hadir di pejabat

Jamaluddin memegang portfolio pembangunan usahawan dan koperasi, pertanian dan perdagangan; manakala Mohd Osman pula bertindak sebagai exco pelancongan, pembangunan insan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Tai berkata demikian ketika mengulas pendirian Jamaluddin dan Osman yang dilaporkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas hari ini.

Ditanya sehingga petang ini sama ada pihaknya dapat menghubungi kedua-dua exco berkenaan, Tai menjawab tidak. 

Menurutnya, kedua exco terbabit juga tidak datang ke pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak hari ini.

Kenyataan ini disokong dua lagi Adun PKR Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dan Chang Lih Kang (Teja).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim sebelum ini dilaporkan menolak spekulasi bahawa Jamaluddin dan Osman telah keluar daripada parti itu.

Katanya, parti itu tidak menerima sebarang surat mengenai peletakan jawatan mereka dan tiada rekod mengatakan kedua-dua Adun itu masuk parti lain.

http://www1.malaysiakini.com/news/97523

Laporan polis terhadap Fauzi dan Ngeh

Feb 3, 09 4:11pm

Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda, kerana didakwa memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Timbalan Perdana Menteri menawarkan RM50 juta kepada mana-mana ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada Pakatan Rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh, berkata kenyataan Fauzi yang membuat akuan bersumpahbahawa Najib membuat tawaran berkenaan, adalah berunsur fitnah yang menimbulkan rasa resah, gelisah dan tidak puas hati masyarakat.

"Kenyataan Fauzi memberi gambaran bahawa pemimpin tertinggi negara adalah tidak bermoral dan korup dan ini boleh memimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu, lapor Bernama.

Di Balai Polis Daerah Ipoh pula, Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Jason Chang membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap anggota exco kanan kerajaan negeri Perak Datuk Ngeh Koo Ham kerana didakwa membuat fitnah kononnya ada beberapa Adun dari BN di Perak dan di Negeri Sembilan akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya ingin mencabar beliau supaya menamakan ADUN yang akan melompat dalam tempoh seminggu. Sebagai pemimpin bertanggungjawab, jika beliau gagal, sila letak jawatan," katanya.

Polis mula siasatan

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata siasatan telah dimulakan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat
Jering, Mohd Osman Jailu yang menafikan Mohd Osman meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
    
Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihak polis akan merakamkan kenyataan daripada semua pihak berkaitan.
    
Selain itu, polis juga akan mendapatkan maklumat daripada mereka yang boleh membantu siasatan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
    
Semalam, wakil Mohd Osman, Mohd Farizal Umar telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada jam 1.30 pagi menafikan Adun Changkat Jering itu telah mengosongkan kerusinya.
    
Laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar pada Ahad lalu yang beliau menerima surat dari Osman dan Adun Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, yang menyatakan kedua-dua mereka telah mengosongkan kerusi DUN di kawasan masing-masing.


http://www1.malaysiakini.com/news/97493

Jamaluddin, Osman dilapor jadi Adun bebas

Feb 3, 09 5:43pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dipetik memberitahu sebuah portal berita yang beliau telah keluar dari PKR dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Portal berita itu juga memetik Jamaluddin sebagai berkata, Adun Changkat Jering, Osman Jailu juga telah keluar parti dan kini menjadi Adun bebas.

Agendadaily - yang melaporkan telah menghubungi Jamaluddin selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan Jamaluddin dan Osman Jailu masing-masing masih Adun Behrang dan Changkat Jering - memetik beliau sebagai berkata, tiada sebab untuknya terus berada dalam parti itu.

Manakala Bernama pula memetik Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim menolak spekulasi bahawa Jamaluddin dan Osman telah keluar daripada parti itu.

"Setakat ini kita (PKR) tidak menerima sebarang surat mengenai peletakan jawatan mereka, tiada rekod bahawa mereka keluar parti dan tiada rekod yang mengatakan mereka masuk parti lain.

"Ini bermakna mereka masih lagi ahli parti kita dan tidak ada sebab nak buang mereka dari parti. Kita yakin mereka bersama kita," katanya kepada Bernama hari ini.

Agendadaily memetik Jamaluddin sebagai berkata, beliau membuat keputusan berkenaan seteleh meneliti sikap dan keputusan PKR berhubung dengan surat perletakan jawatannya yang ditandatangani Mac lalu.

"Surat itu disimpan oleh PKR negeri Perak. Mana mungkin surat perletakan jawatan itu boleh disampaikan kepada Speaker DUN Perak jika bukan dihantar sendiri oleh PKR negeri.

"Bagi saya ini membuktikan sikap sebenar PKR. Dengan menghantar surat itu kepada Speaker Dewan ia juga boleh ditafsirkan mereka telah membuka pintu dan meminta...Jamal kamu keluarlah," katanya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai PAS, DAP dan PKR kini mempunyai 32 kerusi dengan DAP (18), PKR (lapan) dan PAS (enam) manakala Barisan
Nasional (BN) 27 kerusi. 

Dengan Jamaluddin kini menjadi wakil rakyat bebas, kerajaan Pakatan Perak kini mempunyai 31 Adun.

Jika Osman mengikut jejak langkah Jamaluddin, maka jumlah Adun Pakatan di negeri itu akan 30 orang dan BN,27 orang dan bebas dua orang.

http://www1.malaysiakini.com/news/97514

Dakwaan Najib tawar RM50 juta ke SPRM

Jimadie Shah Othman | Feb 3, 09 12:44pm

Angkatan Muda PKR hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan cubaan menyogok wakil-wakil rakyat PKR sejumlah RM50 juta. 

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama timbalannya Mohd Fariz Musa membawa isu yang didedahkan oleh ketua PKR Ipoh Barat yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba memujuknya melobi dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak supaya melompat parti.

pkr youth shamsul iskandar macc sprm najib 50 million 030209 03Dalam akuan berkanunnyasemalam, Fauzi Muda mendakwa, beliau telah ditawar sejumlah wang tersebut bagi perkhidmatannya itu dan untuk membayar mereka yang berjaya dipujuk menyertai BN dalam satu pertemuan di kediaman rasmi Najib di Putrajaya tahun lalu.

Shamsul tiba kira-kira 12.15 tengah hari ditemani 20 aktivis sayap kanan PKR itu dan mengedarkan kenyataan akhbar kepada media.

Beliau dilihat memasuki bangunan tersebut bersama Mohd Fariz dan setiausaha pergerakan itu Zulfikar Ali Ariffin lima minit kemudian.

Dalam kenyataannya, Shamsul berkata, pendedahan Fauzi dan Adun PKR Bukit Selambau, V Arumugam menunjukkan kegiatan rasuah "sangat serius dan membahayakan negara".

"Angkatan Muda melihat wujud keperluan untuk SPRM bertindak menyiasat Najib bersandarkan kepada dua pendedahan yang telah dibuat semalam oleh Arumugam dan Fauzi tersebut.

"Justeru, AMK akan membuat laporan kepada polis dan SPRM secara rasmi demi memperlihatkan keseriusan kes demi kes yang berlaku membabitkan Najib," katanya.

Semalan, Arumugam yang juga exco kerajaan Kedah mendakwa ditawarkan sejumlah wang untuk melompat kepada BN, termasuk melalui ugutan bersifat jenayah terhadapnya, keluarga dan pegawai-pegawainya.

Arumugam mendakwa usaha menariknya meninggalkan PKR bermula sejak kemenangannya tahun lepas sehingga beberapa hari lalu.

pkr youth shamsul iskandar macc sprm najib 50 million 030209 01Shamsul turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar "tidak campur tangan dalam proses siasatan terhadap Najib". 

Malah, tambahnya, perdana menteri melalui kuasa eksekutifnya harus "menggantung tugas Najib bagi memberi ruang yang kondusif kepada SPR untuk menyiasat."

Dalam sidang media ringkas setelah membuat aduan berkenaan, Shamsul menjelaskan Fauzi tidak dapat tampil sendiri membuat aduan kerana menghadiri satu program di Perak.

Ditanya kenapa AMK hanya tampil membuat aduan setelah hampir setahun cubaan merasuah itu dibuat, beliau berkata, "selama ini perkara itu di luar pengetahuannya".

"Jika tahu, sudah tentu kita buat lebih awal. Kita sentiasa konsisten membuat pendedahan sebegini," katanya.

Shamsul juga berkata, AMK sedang mengaturkan pertemuan dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail bagi menyerahkan dokumen sokongan berhubung aduan mereka hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas timbalan menteri pertahanan  Datuk Zainal Abidin Zin mengakui memang wujud pertemuandengan Najib seumpama digambarkan dalam akuan berkanun Fauzi itu. 

Di sidang medianya di Ampang tengah hari ini, Zainal bagaimanapun menafikan beliau mendengar tentang rundingan wang seperti didakwa.

http://www1.malaysiakini.com/news/97470

SPR: Dua exco Perak kekal Adun

Feb 3, 09 1:00pm

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa telah kosong melalui peletakan jawatan masih disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR. 

Susulan itu tiada pilihanraya kecil di kerusi itu kerana SPR tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut, kata pengerusinya  Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

ec announces no by election will be held in perak 030209 spr chairman 01Dalam mesyuarat khasnya pagi ini, SPR memutuskan "wujud keraguan" pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.

"Oleh itu, SPR ... memutuskan bahawa kerusi-kerusi tersebut masih disandang oleh kedua-dua Adun berkenaan yang memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihanraya umum ke-12 lepas," kata  Abdul Aziz.

"SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang-penyandang kerusi berkenaan yang telah dihantar oleh Yang Dipertua DUN Perak itu memandangkkan kedua-dua penyandang kerusi terbabit sendiri secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuatkuasa," tambahnya.

Beliau mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar mengisytiharkan kekosongan dua kerusi itu dengan menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri semalam. 

Pada hari yang sama, Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa. 

Surat peletakan jawatan mereka itu diserahkan kepada SPR selepas desas-desus kedua-duanya akan meninggalkan PKR dan menyertai BN sejak minggu lepas. 

Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti."

Sebagai reaksi segera terhadap keputusan SPR, ketua parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan suruhanjaya itu bertindak "bercanggahan dengan perlembagaan" apabila membelakangkan keputusan Speaker DUN Perak. 

Ahli parlimen Ipoh Timur mendakwa, SPR bertindak seolah-olah sebagai mahkamah, "satu keputusan yang jelas dipengaruhi oleh kepentingan politik BN."

Selepas keputusan SPR ini, kata Lim lagi, "semua pilihan untuk menyelesaikan krisis politik di Perak harus dipertimbangkan."

http://www1.malaysiakini.com/news/97473

Umno nafi tawar wang pada exco Kedah untuk lompat

Abdul Rahim Sabri | Feb 3, 09 1:36pm

Umno Kedah nafi BN pernah berjanji menawarkan wang kepada Arumugam Vengatarakoo dalam cubaan memancing exco negeri Kedah itu menyertai parti tersebut.

"Kita menafikan kita buat benda-benda (menawarkan wang) itu. Tak mungkin, buang duit, buang duit saja," kata Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Hadzir Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.

Arumugam VengatarakooAhli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau itu (foto) semalam membuat laporan polis, mendawa ada usaha mengajaknya meninggalkan PKR, termasuk melalui ugutan jenayah terhadapnya, keluarga dan pegawainya.

Bagaimanapun, Arumugam tidak menjelaskan jumlah wang yang ditawarkan kepadanya dan pihak yang cuba menyogoknya.

Mohd Hadzir turut mempertikaikan keikhlasan exco Kedah itu tidak mendedahkan jumlah wang yang didakwa ingin disogok kepadanya.

"Kalau betul (menawarkan wang lumayan), beritahu jumlah, beritahu berapa jumlahnya?" katanya.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut "tidak logik dan diada-adakan" sebagai satu strategi untuk memburuk-burukkan BN.

"Perkara itu tidak berlaku. Kita tak pernah buat. Kita tak pernah beri. Kalau nak masuk BN, masuklah secara sukarela," kata Mohd Hadzir.

Mengulas sama ada Umno ingin membuat laporan polis terhadap aduan Arumugam di ibu pejabat polis daerah Sungai Petani, beliau berkata:

"Terpulang kepada pucuk pimpinan BN. Kalau ada, kes kita buat laporan polis." 

Menang atas tiket bebas, Arumugam kemudiannya menyertai PKR sebelum dilantik pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Selain dakwaan sogokan termasuk dalam satu pertemuan beberapa hari lepas, beliau berkata insiden-insiden ugutan terhadapnya:

bullet buttoncubaan menculiknya pada 17 Oktober tahun lepas, 
bullet buttonmengugutnya melalui pegawainya dengan membuat beberapa panggilan telefon, antaranya pada 31 Mac tahun lalu, 
bullet buttonmemecahkan cermin kereta rasmi exco kerajaan negeri yang digunanya dengan meninggalkan nota ugutan yang diikat pada seketul batu pada 17 Disember lalu.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, BN berjaya mempertahankan 14 kerusi sahaja daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Manakala, Pakatan Rakyat (PR) memenangi 22 kerusi – PAS (16), PKR (5) dan DAP (1).


http://www1.malaysiakini.com/news/97476

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...