Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak belum dibubarkan selepas menteri besar menghadap Sultan petang ini walaupun kerajaan Pakatan Rakyat itu ingin memanggil pilihanraya negeri secara mengejut.
Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menghabiskan masa hampir dua jam di istana menghadap Sultan Azlan Shah untuk memaklumkan keputusan itu selepas empat wakil rakyat kerajaan negeri itu berpaling tadah.
Selain tiga bekas Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) PKR dan DAP keluar parti masing-masing, wakil rakyat Bota, Datuk Nasaruddin Hashim - menyertai PKR selama 10 hari - kembali menyokong parti asalnya.
Mohamad Nizar kelihatan masuk Istana Kinta di Ipoh jam 3.50 petang untuk menghadap Sultan Perak selepas mengumumkan kerajaan pimpinannya ingin membubarkan DUN dan berharap baginda memperkenan keputusan tersebut.
Desas-desus tentang pembubaran DUN itu sejak menjelang tengah hari berakhir dengan kenyataan menteri besar bahawa "terserah kepada tuanku" sewaktu keluar istana jam 5.35 petang.
Difahamkan baginda tidak memberi perkenan kepada Pakatan Rakyat membubarkan DUN.
Mohamad Nizar dijadual mengadakan sidang akhbarnya jam 10 malam ini di kediaman rasminya berhubung perkembangan terbaru kerajaan pimpinannya itu.
Beberapa pemimpin kanan PAS dan wakil-wakil rakyat Pakatan yang dihubungi Malaysiakini sejak bermula desas-desus ini, enggan memberi sebarang ulasan buat masa sekarang.
Adun Jelapang dan juga Timbalan Speaker DUN Hee Yit Foong meninggalkan gabungan tersebut pagi ini.
Jamaluddin Mohd Radzi (wakil rakyat Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) keluar parti beberapa hari ini lalu - memulakan pergolakan politik di negeri itu yang kelihatan berakhir dengan pembentukan kerajaan baru BN.
Dengan tindakan empat Adun itu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kini tinggal 28 daripada 59 kerusi DUN.
Tiga bekas Adun kerajaan campuran itu kini menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada BN, membolehkan parti itu merampas tampuk kerajaan dengan majoriti tipis tiga kerusi. http://www1.malaysiakini.com/news/97551
|
No comments:
Post a Comment