Saturday, October 1, 2011

Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.

Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:

“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)

Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.

Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:

“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).


- Gambar Hiasan

Membezakan Jenis Jenayah

Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.

Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):

“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)

Hudud Dan Hak Privasi

Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”

Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:

“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)

Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :

“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.

Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).

Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :

“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).

Membina Masyarakat Yang Pemaaf

Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:

“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.

Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).

Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.

Hudud Memerlukan Ijtihad Baru

Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.

Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).


http://drmaza.com/home/?p=1624

Hudud: Antara ‘tidak menyokong’ dan ‘menghalang’

Tuan Ibrahim Tuan Man


Sesungguhnya Allah akan bagi dugaan berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerimanya.

Keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) kali ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana telah berjaya memincang isu utama yang menyentuh secara langsung pendirian PR.

Hasil perbincangan yang memakan masa lebih tiga jam itu telah merumuskan satu keputusan yang akan memperteguhkan lagi hubungan PR walaupun berhadapan dengan isu yang rumit. Ternyata cubaan Umno-BN sekali lagi gagal memecah-belahkan PR dalam isu ini.

Pendirian PR dalam memperakui Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 membuktikan PR telah bertindak dengan penuh cermat dan berhemah dalam mencari penyelesaian terbaik dalam isu pelaksanaan hudud.

Perakuan ini bermakna PR memperakui bahawa undang- undang jenayah syariah yang dilulus oleh kedua- dua dewan negeri telah melalui prosedur yang betul, menepati kehendak dalam sistem demokrasi.

Sehubungan itu, perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, dan Enakman Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.

Persoalan sekarang ialah sejauhmana kesediaan pusat untuk memberi kebenaran untuk pelaksanaan merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan.

Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang dibawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulanglah kepada kerajaan kelantan bagi mengazetkan undang-undang tersebut.

Antara “Tidak menyokong” dengan “Penghalang”

PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal ini dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak. Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka.

DAP berpendapat ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.

Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguat-kuasakannya.

Jadi jelas, yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun, dan bukannya DAP. DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini. Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf.

Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya.

Tambahan pula, Umno, yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini.

Keputusan yang dibuat PR ternyata jauh lebih baik dari pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan perdana menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai damage control ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

54 tahun memerintah tapi dalam keadaan kononya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah.

Pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.

Hipokrit Umno dan BN

Kini, sikap menghalang Umno itu bertambah nyata kini apabila berhadapan tekanan dari MCA dan Gerakan yang terang terangan mengugut akan keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) seandainya Umno menerima hukum hudud.

MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu. Tapi, tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu. Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?

Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia.

Sikap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bilakah Umno akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini? Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno.

Hudud bukan isu politik

PAS ingin tegaskan bahawa isu hudud bukanlah isu politik tetapi ianya tuntutan syarak ke atas kerajaan yang memerintah. Kerana itu, kerajaan Kelantan secara konsisten telah melakukan pelbagai cara bagi menimbulkan kesedaran rakyat terhadap kewajipan menerima dan melaksanakannya selama ini.

Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud telah diadakan setiap tahun. Kerana itu, bilamana isu hudud timbul dan dipolemikkan oleh media Umno, rakyat Kelantan samada Islam atau bukan Islam langsung tidak termakan dengan polemik tersebut, kerana mereka telah biasa dengan isu ini.

Menteri Besar Kelantan telah menjelaskan perkara ini berpuluh kali bahawa beliau ingin melaksanakan sistem perundangan syarak ini kerana amanah yang terpikul di atas bahunya di akhirat.

Bahkan, kalau diamati beberapa langkah kerajaan negeri dalam pelaksanaan pembangunan Kelantan selaras dengan syarak tidaklah menguntungkan politik PAS di Kelantan - sebagai contoh tindakan menutup premis perjudian, kelab malam, disco dan mengehadkan penjualan arak; semua ini dari sudut politik ia bukanlah menguntungkan PAS.

Tindakan ini menyebabkan semua yang terlibat samada taukeh judi, kaki judi, disco dan lainnya tidak akan memberi undi kepada PAS, kerana mereka akan menentang peraturan ini. Namun, kerajaan Kelantan terus melaksanakannya semata-mata kerana tuntutan syarak.

PAS melihat keputusan yang telah dibuat oleh PR memberi ruang pengiktirafan dalam lingkungan demokrasi. Keputusan rakyat Kelantan untuk menerima PAS sebagai parti yang mewakili mereka, serta tindakan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 adalah hak dan dalam bidang kuasa mereka.

Bagi PAS, isu yang dipertikai adalah apakah perundangan syariah itu menepati kehendak perlembagaan atau berlawanan dengan kehendak perlembagaan negara, dan ini mestilah ditentukan oleh mereka yang berautoriti.

Jaminan PAS

PAS akan cuba menegakkan syariat Allah sedaya upaya dalam kerangka demokrasi yang ada. PAS sesekali tidak akan menjadi seperti Umno yang mengalah terus untuk menunaikan syariat Islam tanpa sebarang usaha yang ikhlas. Orang yang sikap mengalah tidak akan mencari jalan penyelesaian. Maka dengan Umno, masyarakat Islam bolehlah lupakan sahaja syariat Allah dapat ditegakkan.

PAS memberi jaminan tidak akan memaksa orang bukan Islam menerima hudud secara paksa. PAS juga ingin menegaskan di sini, hudud hanya melibatkan orang Islam sekiranya ia dapat dilaksanakan dalam kerangka demokrasi yang ada.

Namun, diharap rakyat dapat memahami situasi amat berlainan di negeri Kelantan, kerana rakyat Kelantan ingin hukum hudud dilaksanakan. Hak dan keinginan rakyat Kelantan harus dihormati.


*Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Ketua Penerangan PAS


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-penerangan/5689-hudud-antara-tidak-menyokong-dan-menghalang

ISA DIMANSUH BULAN MAC DEPAN

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Usul memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibentangkan di Parlimen Mac depan selepas dua undang-undang yang bakal menggantikannya siap digubal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.Najib berkata janjinya untuk melaksanakan pembaharuan undang-undang akan bermula dengan memansuhkan Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad minggu depan apabila Parlimen mula bersidang.

“Minggu depan saya akan memulakan proses tetapi ISA akan dilakukan (proses pemansuhan) pada bulan Mac kerana perlu menggubal dua undang-undang baru,” kata beliau yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi petang ini.

Katanya, pindaan ke atas Akta Polis antara lain bagi membolehkan kebebasan berhimpun akan dibentangkan November ini.

“Yang mana boleh kita buat cepat, kita buat cepat,” kata beliau.

Kata Najib, kerajaan perlu memberi tumpuan supaya langkah menepati hasrat dan tujuan.

“Kita tidak boleh terburu-buru. Ada banyak perkara yang perlu dikaji dengan teliti,” kata beliau.

Najib juga memberitahu bahawa Majlis Tertinggi Umno memberi sokongan penuh kepada pengumuman beliau mengenai perkara itu.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia 15 September lalu, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal.

Undang-undang baru itu akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Selain itu beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Seksyen 27 Akta Polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyifatkan penulis lirik dan pembikin filem yang kontroversial Wee Meng Chee sebagai seorang pendukung kuat 1 Malaysia meskipun banyak pihak mahu tindakan dikenakan ke atas penerbit “Nasi Lemak 2.0” kerana didakwa mengkritik negara.

Presiden Umno berkata Wee , yang turut dikenali sebagai Namewee, seorang yang unik dan tidak konvensional dalam pemikiran dan kaedah menyampaikan ideanya.

http://www.kl-today.com/2011/09/isa-dimansuh-bulan-mac-depan/

CHUA SOI LEK LIABILITI BESAR KEPADA BN

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata penggantinya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bukan seorang “calon yang boleh menang” kerana skandal seks 2007 melibatkan bekas menteri kesihatan itu akan menjadi liabiliti besar bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13.Dr Chua , yang menewaskan Ong pada pemilihan ekoran krisis dalam parti 18 bulan yang lalu, tidak mengesahkan sama ada akan bertanding meskipun minggu ini mengumumkan beberapa pemimpin tidak akan diturunkan pada pilihan raya umum kali ini.

Khabar angin tersebar sejak Februari lalu bahawa Ong juga akan digugurkan daripada bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.

Kata Ong, skandal seks Dr Chua akan terus menghantui presiden MCA dan juga BN.

“Adakah beliau calon yang boleh menang? Saya tidak melihat rakyat Malaysia boleh terima beliau.

“Memang beliau mahu bertanding. Beliau berkata lima bahagian mahu beliau bertanding dan ramai termasuk diri beliau akan berkata bahawa salah laku atau tindakan tidak bermoral bukan alasan untuk menafikan beliau hak untuk bertanding,” katanya lagi.

Kata Ong, jika Dr Chua bertanding ia akan menjadi ujian asid berhubung nilai diri seseorang.

http://www.kl-today.com/2011/09/chua-soi-lek-liabiliti-besar-kepada-bn/

KOS SELENGGARA SRI PERDANA TIDAK TERJAWAB

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Ketika Datuk Seri Najib Razak cuba menonjolkan imejnya berjiwa rakyat termasuk ‘menaiki bas’ dan berbasikal, Perdana Menteri itu masih gagal menjawab kos selenggara kediaman beliau dan timbalannya yang menelan belanja RM50 juta setahun.Kediaman rasmi Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing di Sri Perdana dan Seri Satria, dimiliki Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan disewa kerajaan Malaysia.

Keadilan Daily ada melaporkan, menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, beliau mempersoalkan mengapa kos selenggara kediaman PM dan TPM menelan belanja jutaan ringgit.

“RM200 juta diguna untuk membina kediaman PM dan kenapa akhirnya terpaksa menyewa daripada Putrajaya Holdings. Maintainence (elektrik dan air) sebenarnya tak boleh dari 10 peratus dari kos pembinaan. (Tetapi) Ini RM10 juta setahun, satu angka yang tidak masuk akal,” katanya.

Katanya, ia menyerlahkan sikap boros pentadbiran Najib yang gemar berbelanja mewah, tetapi pada masa yang sama cuba menonjolkan imejnya yang berjiwa rakyat.

“Najib dilahirkan dari keluarga yang mewah dan sesungguhnya tidak tahu menahu kesusahan rakyat. Oleh sebab itu pembaziran menjadi sebahagian hidup beliau,” katanya yang turut mengaitkan isu pembelian cincin bernilai RM24 juta oleh oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Justeru itu katanya, Ketua Audit Negara perlu memberikan penjelasan.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud yang membangkitkan soalan itu di parlimen sebelum ini, Najib sehingga kini masih belum menjawab isu berkenaan.

“Selepas kita membuat sidang media, tidak ada pihak bagi jawapan balas menjelaskan kepada kita kenapa kos begitu tinggi, macam isu tu disenyapkan begitu sajaha. Itu lah realiti pengurusan di peringkat tertinggi sedangkan Najib mengarahkan rakyat supaya berjimat cermat,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan menyewa dari Putrajaya Holding yang memerlukan kerajaan membayar secara komited kepada pemaju itu setiap bulan.

“Yang kita tahu, keseluruhan Putrajaya Holding ini disewa bermakna kerajaan mempunyai komitmen bulanan kerana ia bukan aset kerajaan. Jika dibuat kos analiss jangka panjang, saya rasa kerajaan rugi,” katanya.

Dalam jawapan bertulis menteri di Jabatan perdana Menteri pada Jun lalu, sejumlah RM48.8 juta dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.

Kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu didedahkan berjumlah RM33 juta sementara kos baik pulih pula RM3.6 juta setahun.

Lebih memeranjatkan, bil elektrik bagi kediaman perdana menteri dan timbalannya sahaja berjumlah RM10 juta dan bil air pula mencecah RM1.9 juta untuk tempoh yang sama.

Pada Disember 2008, iaitu pada masa pentadbiran perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan menjelaskan sewa bagi kediaman PM di Seri perdana hanya pada sekitar RM4.15 juta. Manakala RM2.74 juta lagi dibayar bagi sewa kediaman TPM di Seri Satria.


http://www.kl-today.com/2011/09/kos-selenggara-sri-perdana-tidak-terjawab/

BM FOR MATHS & ENGLISH TO CONTINUE

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Bahasa Malaysia will continue to be a medium of instruction in national schools. The Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin said it would not be possible for the government to set up national English medium schools due to policy and the National Education Act (1996).“English medium schools are unlikely to make a comeback due to the country’s existing education policies.

“However, we have consented for national-type (vernacular) schools to use the Chinese and Tamil languages (as the medium of instruction),” he said.

Muhyiddin, who is also Education Minister, was speaking to reporters after attending a dialogue session with Universiti Putra Malaysia (UPM) academic staff and students here.

Section 17 of the National Education Act 1996 states the national language must be the main medium of instruction in all-educational institutions under the national education system.

The Act also provides an exemption to this rule for national-type schools or any other institution exempted by the Minister himself.

Muhyiddin argued his case by saying that research conducted by Unesco found that schoolchildren were more receptive in learning new subjects using their mother tongue.

“Some people do not understand any other language apart from their mother tongue. The important thing is knowledge, and what is the simplest medium to attain it?

“Unesco research found that people learnt things better via their own language, their mother tongue,” he said.

“The National Education Policy is clear on this. The language in national schools is Bahasa. It is impossible to create an English medium unless there is a change in policy.”

Pro-English lobby groups like Parent Action Group for Education (PAGE) have been trying to get the teaching of science and mathematics in English (PPSMI) policy back in schools since it was abolished in 2009.

PAGE has urged that schools be allowed to teach science and mathematics in English, citing widespread support from parents for the option.

PPSMI was first introduced in 2003 but the Education Ministry decided to put an end to it by 2012 after consulting teachers and parents around the country.


http://www.kl-today.com/2011/09/bm-for-maths-english-to-continue/

HUDUD: PENDIRIAN RASMI PAS

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.Dalam satu kenyataan dipetik dari harakahdaily menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran “bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan” adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

“PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan,” katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah.

Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.


http://www.kl-today.com/2011/09/hudud-pendirian-rasmi-pas/

UMNO AKUI RAKYAT MAHU MUKA BARU

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini mengakui bahawa pada umumnya para pengundi mahu Umno menurunkan calon-calon muka baru pada pilihan raya umum ke-13.Timbalan Presiden Umno ini berkata maklum balas yang diterima menunjukkan sesetengah pihak sudah penat dengan nama-nama lama.Bagaimanapun katanya, barisan calon yang bakal diturunkan adalah campuran — orang muda dan tidak terlalu muda.

“Calon yang boleh menang, yang paling penting ialah sama ada calon (diturunkan) boleh diterima dan boleh menang, meskipun calon itu sudah lama menjadi ketua bahagian, menang tanpa cabaran dan menjadi ahli Parlimen sebelum ini.

“Tetapi apabila kita tanya orang ramai, mereka berkata ‘ah, orang itu sudah terlalu lama, kami sudah penat. Kami mahukan seseorang yang baru’. Itulah maklum balas yang kami terima,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata akan ada keseimbangan antara calon-calon muda, yang bertenaga, layak dan dikehendaki, selain mereka yang berpengalaman serta berguna kepada parti.

“Meskipun Umno mahukan seseorang calon (tertentu), tetapi orang tidak suka, ia tidak boleh menjadi asas untuk mengekalkan seseorang calon.

“Sama ada seseorang itu memegang jawatan dalam parti, itu tidak semestinya. Apa yang penting ialah sama ada calon boleh menang,” kata beliau.

Beliau mengakui langkah tidak memilih seseorang sebagai calon akan mewujudkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin-pemimpin Umno, tetapi mempertahankan bahawa kepimpinan parti boleh mengawal perkara tersebut.

“Kami akan duduk dan bincang… kadangkala pemimpin Umno merajuk sekejap sahaja, biasalah manusia,” katanya lagi.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

http://www.kl-today.com/2011/09/umno-akui-rakyat-mahu-muka-baru/

Friday, September 30, 2011

UTUSAN BERSALAH FITNAH KHALID SAMAD

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Utusan Malaysiabersalah memfitnah ahli parlimem Shah Alam, Khalid Samad dalam kenyataan yang disiarkan di muka akhbar berkenaan.Hakim Dr Prasad Sandosham Abraham Prasad berkata plaintif (Khalid) telah berjaya membuktikan kenyataan itu – yang diambil dari blog ahli parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin – adalah salah.
Hakim bagaimanapun menarik perhatian mengapa ahli parlimen Bandar Baru Kulim itu tidak dinamakan sebagai defendan.

Mahkamah menolak pelindungan bersyarat sebagai pembelaan dalam kes tersebut kerana hakim berkata kehidupan di Malaysia perlu mengambilkira sensitiviti semua kaum, tidak seperti undang-undang di Australia atau United Kingdom.

Dalam penghakiman lisannya, hakim berkata semua defendan bersalah memuat-turun artikel dari blog tersebut tanpa memeriksa kandungannya (berhubung sensitiviti).

Hakim Sandosham menetapkan 11 Oktober untuk mendengar penghujahan tentang gantirugi.

Beliau berkata, mahkamah mendapati menggelar seseorang sebagai Abu Jahal dan sebagai kafir adalah fitnah.

Dalam saman yang difailkan tahun lalu, Khalid (kiri), dari PAS, menamakanUtusan Malaysia dan ketua pengarang kumpulan Mingguan Malaysia,Datuk Aziz Ishak dan penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysiasebagai defendan.

Ahli parlimen Shah Alam itu mendakwa bahawa pada 11 September 2009, Aziz – selaku ketua pengarang kumpulan kedua-dua akhbar tersebut – dengan niat jahat, membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan fitnah terhadapnya di muka depan akhbar berkenaan.

Beliau juga mendakwa bahawa artikel bertajuk ‘Zulkifli bidas Pak Janggut’ secara langsung atau tidak langsung merujuk kepadanya walaupun namanya tidak disebut.


http://www.kl-today.com/2011/09/utusan-bersalah-fitnah-khalid-samad/

NABIL (RAJA LAWAK) KINI BERGELAR SUAMI

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Dengan dua kali lafaz, Pelawak dan pelakon, Ahmad Nabil Ahmad, 28, sah bergelar suami kepada bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub, 23.Majlis pernikahan mereka diadakan di Masjid Tuanku Mizan, di sini, selepas solat Asar kira-kira pukul 5.15 petang, Jumaat.Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd Ridza Ahmad berwalikan bapa kepada pengantin perempuan Ayub Hassan.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin bernilai RM5,000 manakala wang hantaran sebanyak RM15,000.

Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-duapasangan pengantin.

Pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran seperti cincin, duit hantaran, sirih junjung, kasut, “playbook”, alat solek, pewangi dan dibalas sembilanhantaran iaitu coklat, kasut, “PlayStation 3”, I-pad, sejadah, cincin dan sirih junjung.

Pada majlis tersebut, Nazirah anggun mengayakan busana kurung moden rekaan Wazira Zainal.

Sementara majlis resepsi mereka akan diadakan serentak pada Ahad inidi I-City Shah alam berkonsepkan “fairy tale” dan persandingan dalam taman.

http://www.kl-today.com/2011/09/nabil-raja-lawak-kini-bergelar-suami/

Saturday, September 17, 2011

PERKASA ANGGAP BN LEMAH

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

PERKASA menyifatkan kerajaan mungkin lemah apabila didakwa tidak bertegas terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung kenyataannya dalam isu Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong.Presiden kumpulan pendesak Melayu itu Datuk Ibrahim Ali berkata, selepas pelbagai tuntutan dibuat di dada akhbar, termasuk melucutkan kerakyatannya, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Kalau kita cadang Mat Sabu ditangkap, kita akan ditertawakan. Apakah kerajaan kita lemah? Mungkin, sebab kita tidak bersatu.

“Kalau kita mahu kerajaan kita bertindak tegas, yang penting ditunjukkan dahulu bahawa Melayu bersatu. Kalau tak bersama, macam mana tindakan tegas boleh diambil,” katanya dalam forum membincangkan isu Mat Indera di Kuala Lumpur malam tadi.

Berucap di hadapan ratusan peserta, Ibrahim mendakwa, isu sebelum ini seperti penganjuran perhimpunan BERSIH 2.0, isu Gereja Methodist Damansara Utama dan usaha memurtadkan juga menyaksikan tiada tindakan.

Anggota parlimen Pasir Mas itu berkata, walaupun kerajaan cuba “menarik rambut dalam tepung”, kesabaran orang Melayu mempunyai batasnya.

“Nasib baik saja Mat Sabu. Kalau saya jadi menteri dalam negeri, dah hancur Mat Sabu ini. Daripada bulu atas sampai bulu bawah saya cabut.

“Tetapi macam saya cakap tadi, kerajaan kena bertindak bijak. Kita bersabar. Tetapi sabar ada batasnya,” katanya yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Dengan nada amaran, Ibrahim berkata, apabila rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan ia menunjukkan “tanda yang tidak baik dalam negara”.

“Jangan rakyat ambil undang-undang dalam tangannya sendiri. (Presiden Majlis Perunding Melayu) Prof (Kamarudin) Kachar kata tadi, kalau jumpa, dia akan tempeleng Mat Sabu.

“Jadi, perdana menteri please (tolong), menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein please bertindaklah dengan tegas daripada sekarang,” katanya.

Kamarudin antara ahli panel dalam program itu di samping ahli akademik Prof Dr Ramlah Adam, anak pengasas Umno Datuk Onn Jaafar bernama Jaafar dan bekas pengarah polis Cawangan Khas Dr Zulkifli Ab Rahman.

Sambil menyifatkan pemimpin PAS sebagai “haprak” dan “tidak kenal lagi batas”, Ibrahim berkata tindakan Mohamad memalukan umat, sedangkan bangsa lain didakwa begitu gembira.

“Kita PERKASA akan terus berjuang. Jangan setakat bertepuk tangan, kita kena berjuang. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim juga menawarkan penyelesaian lain dengam berkempen memastikan kekalahan calon PAS dalam pilihan raya umum yang dikatakan tidak lama lagi.

“Tolong berkempen kalahkan mereka ini dalam pilihan raya ke-13 ini. Sebab kalau tak buat demikian, mereka bertanding dan menang pula, (ini) tunjukkan apa dia (Mohamad) buat, (mereka) kata diterima masyarakat.

“Ini paling saya takut. Ini paling saya bimbang. Sejarah boleh berulang,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh.

Sambil mendakwa Mohamad sebagai “perkakas DAP” dengan menghina pejuang kemerdekaan, Ibrahim juga mempertikai kenyataan pemimpin parti Islam itu berdasarkan latar pengajiannya di universiti dalam bidang seni reka sebelum ini.


http://www.kl-today.com/2011/09/perkasa-anggap-bn-lemah/

KUAN YEW SUPPORTS NAJIB GOVERNMENT

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

Singapore’s Lee Kuan Yew has expressed confidence in Datuk Seri Najib Razak as a prime minister who “wants to get on with the job” of improving bilateral ties following the Tanjong Pagar railway land settlement, the Singapore Straits Times reported today.The English daily said the influential Lee, a former PM of Singapore, sees promise in Malaysia’s Iskandar region and believes that there can be more successful co-operation between both countries by leveraging on the momentum created by the economic hub in south Johor.

“The Iskandar momentum could also lead to successive Malaysian prime ministers like the current Prime Minister Najib Razak,” the daily quoted Lee as saying.

He said there will be mutual benefits for both Malaysia and Singapore if the Iskandar project “develops properly”.

The long-serving former Singapore prime minister said this to reporters after a dialogue to mark the seventh anniversary of the Lee Kuan Yew School of Public Policy on the island state yesterday.

When questioned by a participant how he saw the future of Singapore’s ties with Malaysia and how leaders across the Johor straits could maintain the cordial relationship, Lee noted that it was a “complex problem” but voiced hope in the Najib administration.

It was under Najib’s watch, he pointed out, that the longstanding dispute over KTM Berhad’s Tanjong Pagar railway station was finally settled.

The land swap has been contentious since the Malaysia-Singapore Points of Agreement (POA) was signed in 1990 over the issue of the future of the railway land. The POA was signed between Lee and former Finance Minister Tun Daim Zanuddin.

Under the agreement, KTM was to vacate its historic railway station at Tanjong Pagar and move to Bukit Timah while all of KTM’s land between Bukit Timah and Tanjong Pagar would revert to Singapore.

Najib had committed to the agreement with Singapore during his May 2010 visit, calling it a “win-win” situation for both Southeast Asian neighbours.

At another forum recently, Lee had said he was pleased that Malaysia had honoured her agreement, adding that any attempt by Malaysia to retaliate over the return of the Tanjong Pagar railway land to the republic would have resulted in “war”.


http://www.kl-today.com/2011/09/kuan-yew-supports-najib-government/

BISKUT MUNCHY DIDAKWA ADA ARAK?

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

Sejak beberapa minggu lalu, kecoh melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa biskut-biskut jenama Munchy’s mengandungi arak.

Ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

SMS berkenaan berbunyi;

‘TERKINI : JAKIM TLH BUAT SERBUAN KE ATAS KILANG MUNCHYS, BT. PAHAT DAN MENEMUI STOR ARAK. BOSSNYA DGN RASA BANGGA DAN RASA TAK BeRSALAH, MENGATAKN ARAK TERSEBUT UTK DICAMPUR KE DALAM BISKUT .. TLG SEBARKN MAKLUMAT INI KPD SEISLAM&KEPENTINGAN UMAT ISLAM. DR PEG. JAKIM-HJ. JALIL B. RAIHAN (JAKIM PUTRAJAYA)’

Bagaimanapun, menurut Penerbit Eksekutif 999, Mazidul Akaml Sidek, perkara itu tidak benar melalui siasatan yang dilakukannya.

Berikut petikan dari blog beliau (http://www.mazidulakmal.com/) berhubung isu itu.

Saya percaya ramai antara pembaca menerima pesanan ringkas, SMS terbabit.

Jika dilihat dari aspek penulisan, maklumat kelihatan meragukan tetapi wajar untuk saya menyingkap fakta sebenar.

Sebaik membaca SMS itu, pasti ramai ingin tahu berhubung status kesahihan kandungannya. Justeru pada jam 1.45 tengah hari tadi saya menghubungi Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM, Ustaz Amri Abdullah.

“Saya mula menerima SMS itu sejak 2 hari raya tetapi kadar penerimaannya semakin meningkat sejak semalam. Setakat ini, saya telah menerima lebih 20 panggilan dari orang ramai dan ratusan SMS,” jelas beliau.

“Nama Haji Jalil Raihan memang ada di JAKIM?,” soal saya.

“Tidak ada. Ini kira macam SMS berantai. Memang pada tahun 2005, JAKIM pernah membuat pemeriksaan di kilang Munchy’s di Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor tetapi siasatan telah selesai, tidak ada masalah,” balas Ustaz berasal dari Pahang itu.

Maksudnya, SMS disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu palsu.


http://www.kl-today.com/2011/09/biskut-munchy-didakwa-ada-arak/

KEMPEN MANSUH HUTANG PENEROKA

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan melancarkan kempen besar-besaran Tuntutan Mansuhkan Hutang Peneroka Felda pada 7 Oktober depan di Felda Tenang, Johor.Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata, kempen tersebut sebahagian usaha untuk menyelesaikan persoalan antara peneroka dan Felda yang tidak pernah selesai.“Para peneroka Felda yang sepatutnya hidup senang menurut idea dan perancangan Allahyarham Tun Razak selepas tanah ladang masing-masing menjadi hak milik, kini dihambat mimpi ngeri dibebani dengan hutang yang tidak pernah selesai.

“Yang sedihnya peneroka sentiasa dipotong hutang melalui pendapatan hasil sedangkan Felda gagal mengeluarkan Penyata Kira-Kira Pendapatan dan Tanggungan Peneroka-Peneroka.

“Hutang yang ditanggung peneroka pula bukan seribu dua tetapi menjangkau sehingga berpuluh-puluh ribu. Sebab itu bermula sahaja kempen itu kita akan desak perisytiharan hutang tak munasabah membabitkan kos tanam semula yang membelenggu peneroka,” ucapnya pada satu majlis di Kota Gelanggi 2, baru-baru ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, untuk itu pihaknya akan melancarkan borang semakan untuk mengetahui jumlah sebenar hutang peneroka dan bukannya berdasarkan penyata dari Felda semata-mata.

“Kita akan kumpul data-data yang diperolehi seterusnya berbincang dengan panel yang akan membuat semakan terperinci daripada jumlah wang sara hidup yang mereka terima dan gambaran sebenar berapa pendapatan yang mereka patut dapat.

“Panel itu akan membuat imbangan di antara hutang yang dikenakan ke atas peneroka dan pendapatan yang sepatutnya mereka terima,” tegas Mazlan.

Jelasnya lagi, selain masalah hutang peneroka turut tidak berpuas hati dengan kadar perahan gred (KPG) yang diisytiharkan Felda jauh lebih rendah daripada kadar sebenar yang dibuktikan di banyak makmal.

Katanya, akibatnya di Jengka sahaja seramai 1,040 peneroka tampil menyaman pihak Felda dan selepas raya ini dijangka beribu-ribu peneroka seluruh Pahang akan mengambil tindakan serupa.

“Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu ketika memberi kemenangan kepada peneroka Felda Kemahang yang menyaman Felda atas isu KPG ini, berkata ada konspirasi antara Felda Kilang dengan pengurus rancangan,” katanya.

Mengenai borang Felda Plantation yang diagihkan oleh Anak sejak tiga bulan lalu, Mazlan berkata ia mendapat sambutan di seluruh negara kerana merupakan tawaran menarik dan bakal memberi impak ekonomi di kawasan Felda.

Tambahnya, jika tanah rancangan tersebut dibukakan kepada umum 80,000 terutamanya anak peneroka akan mendapat manfaat dengan kewujudan 200 Felda baru.


http://www.kl-today.com/2011/09/kempen-mansuh-hutang-peneroka/

KITA MULAI GOYAH BAWAH ZAID

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 15TH, 2011

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), yang diterajui bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, menyaksikan keretakan awal dengan dua pemimpin kanan dikenakan tindakan disiplin — seorang digantung manakala lagi seorang dilucutkan jawatan.Muhammad Firdaus Christopher, ahli jawatankuasa eksekutif, dikenakan tindakan digantung keahlian manakala Abd Latif A Tambi pula dibuang daripada jawatannya sebagai setiausaha pusat parti.

Muhammad Firdaus menyifatkan Zaid mengendalikan parti itu sebagai seorang diktator dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain.

“Wujud banyak kepincangan dalam parti. Kami sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Zaid . . . sudah tidak yakin dengan beliau,” kata beliau yang sebelum ini pernah dianggap sebagai antara orang kanan Zaid.

Katanya, sekiranya Zaid sebelum mendakwa banyak perkara tidak kena dalam PKR sehingga menyebabkannya keluar parti itu, “beliau seolah-olah mengendalikan Kita seorang diri.”

“Saya sedia untuk membayar apa sahaja kos selagi kebenaran didedahkan dan akan terus berjuang untuk mengetengahkan tentang salah laku, ketidakadilan dan sikap diktator seorang pemimpin,” kata beliau lagi.

Muhammad Firdaus juga membayangkan parti itu berhadapan dengan masalah kewangan dan dua penyandang jawatan bendahari telah pun ditukar sebelum ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan malam tadi, oleh Setiausaha Kerja Kita Masrum Dayat berkata, “parti kita ingin memaklumkan bahawa laman web, Twitter dan Facebook parti ini telah tidak dapat dilayari seperti biasa kerana mengalami masalah teknikal.”

Katanya, tidak mustahil ada pihak yang yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan perkara itu berlaku.

“Pihak pentadbiran Parti sedang berusaha memulihkannya dan dijangka dapat digunakan seperti biasa minggu depan,” kata Masrum.

Malah menurut Masrum, pada masa yang sama Kita memaklumkan bahawa bahawa Muhammad Firdaus telah digantung keahliannya kerana melalui Facebooknya beliau dengan jelas telah membuat tohmahan liar yang tidak berasas termasuk menghina Zaid.

“Tindak-tanduk beliau yang melampau yang memudaratkan nama baik parti itu dilakukan melalui akaun sosial Facebook beliau.

“Parti ini percaya beliau bertindak demikian semata-mata kerana beliau marah apabila pembayaran elaun bulanannya dihentikan. Parti Kita adalah sebuah parti kecil yang mempunyai sumber kewangan yang terhad,” katanya.

Tegas Masrum, “parti ini juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Pusat atas khidmat beliau selama ini. Perkhidmatan Abd Latif A Tambi tamat berkuat kuasa hari ini untuk menambah kelicinan pentadbiran parti,” katanya.

Muhammad Firdaus berkata, pihaknya akan mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam Kita pada satu sidang media esok.

Kita dilancarkan pada Januari lalu dengan moto “moderat, demokratik dan liberal.”

Malah, Muhammad Firdaus juga menuduh Masrum tidak layak mengeluarkan kenyataan malam tadi kerana beliau bukan merupakan seorang ahli parti.

“Berdasarkan maklumat yang ada pada saya, Masrum bukan ahli parti… jadi, macam mana boleh mengeluarkan kenyataan ini,” katanya lagi.

Ketika pelancaran Kita, Zaid berkata, beliau akan memberi sokongan kepada kerajaan pusat jika dasar yang diperkenalkan membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kita menolak individu dan pihak yang menggunakan kepentingan peribadi untuk mencapai cita-cita politik mereka.

“Matlamat utama Kita adalah untuk mengembalikan perpaduan rakyat Malaysia serta kestabilan politik di negara ini.

“Kami mahu menubuhkan sebuah parti yang mempunyai asas yang kukuh demi menjaga kepentingan generasi muda pada masa hadapan,” katanya.

Kita sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Malaysia.

Parti itu digerakkan selepas Zaid keluar PKR akhir tahun selepas ekoran mendakwa wujudnya kepincangan dan kecacatan dalam komponen Pakatan Rakyat itu.

Baru-baru ini, Zaid berkata Kita akan meletakkan calon di Selangor dan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13.


http://www.kl-today.com/2011/09/kita-mulai-goyah-bawah-zaid/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...