Friday, August 15, 2008

Buku 555 jadi bekal lawan sifu

Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my

ARIFF SHAH menunjukkan buku tiga lima (555) yang sering dibawa untuk mencatat aduan penduduk ketika melawat kampung di Seberang Jaya semalam.

SEBERANG JAYA - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ariff Shah Omar Shah yakin hubungan baiknya dengan penduduk Permatang Pauh menjadi penentu kepada misi menentang sifunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya memenangi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 26 Ogos ini.
Beliau yang ditemui pemberita di rumahnya semalam berkata, amalannya sejak 20 tahun lalu bergaul bersama penduduk kampung yang berbilang kaum menjadikan beliau lebih memahami isi hati warga Permatang Pauh.
"Saya selalu duduk dari satu kedai kopi ke kedai kopi lain untuk mendengar masalah mereka dan saya juga tidak pernah lupa untuk membawa buku tiga lima (buku 555) untuk mencatat semua aduan bagi diselesaikan oleh pusat khidmat saya," katanya.
Katanya, peluang yang diberikan sebagai calon Parlimen Perma- tang Pauh turut digunakan sepenuhnya bagi membantu semua kaum termasuklah golongan muda.
Malah Ariff Shah akan menggunakan kelebihan berbahasa Mandarin untuk mendampingi lebih 20,000 pengundi Cina.
Ariff Shah bukan asing kepada Anwar kerana mereka sama- sama bergiat dalam UMNO Bahagian Permatang Pauh pada era 80-an dan 90-an.
"Saya mungkin dianggap calon yang tidak begitu kuat (untuk mencabar Anwar), tetapi tidak gentar kerana kita bertanding untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya.
Ariff Shah, 52, merupakan pengikut Anwar semasa pemimpin itu menjadi Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh dari 1982 hingga 1998.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...