Friday, August 15, 2008

Halangan ‘kubu manusia’ - Lebih 2,000 penduduk bantah rumah diroboh pemaju

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN penduduk termasuk kanak-kanak berdoa semasa menghalang rumah mereka dirobohkan oleh pemaju di Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Ada yang duduk, ada juga yang meletakkan lori dan kereta di tengah jalan.
Itulah tindakan lebih 2,000 penduduk Kampung Baru Plentong Tengah di sini yang membantah tindakan pemaju yang mahu merobohkan rumah mereka semalam.
Malah ramai di kalangan penduduk sanggup mengambil cuti semata-mata berkumpul dan membuat ‘kubu manusia’ sebagai penghalang.
Meskipun Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Khaled Nordin sebelum ini membuat kenyataan bahawa tanah yang diduduki mereka sejak 20 tahun lalu bukan hak mereka, tetapi milik sebuah syarikat pemaju, ramai di kalangan mereka tidak mahu berpindah.
Bermula pukul 8 pagi keadaaan menjadi kecoh apabila penduduk beramai-ramai membuat ‘kubu manusia’ di persimpangan masuk kampung tersebut.
Ia bagi menghalang lapan jentera yang diupah pemaju bagi memasuki kampung tersebut.
Sebelum ini, notis pengosongan kawasan berkenaan telah dikeluarkan pada 1 Ogos lalu mengarahkan penduduk sepatutnya mengosongkan rumah masing-masing semalam.
Walaupun tidak ada kejadian buruk berlaku, tetapi kedua-dua pihak akhirnya mencapai kata sepakat menjelang pukul 2 petang setelah pihak pemaju menangguhkan keputusan kepada 15 Oktober depan.
Setiausaha jawatankuasa bertindak penduduk, Taslim Nani berkata, pihak- nya menghargai kesudian pemaju menangguhkan keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, wakil peguam syarikat pemaju, Matthew Thomas Philip berkata, pihaknya menimbangkan penangguhan untuk merobohkan penempatan di kampung itu memandangkan sambutan Ramadan tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya, pihaknya bukannya berjanji untuk memberi pampasan dan membuka penempatan baru seperti yang diminta penduduk.
“Kami bertimbang rasa terhadap kesusahan penduduk terutamanya Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Keputusan sudah dibuat mahkamah sejak April 2007 lagi, justeru tidak timbul soal sama ada kami tidak mempedulikan nasib penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Nor Hasdi Hasan, 24, ternyata gembira dengan penangguhan itu meman- dangkan dia tidak perlu menangguhkan majlis persandingannya dengan Hasfazuriani Hassan, 24, pada Ahad ini.
“Mula-mula pening juga memandangkan segala jemputan dan persia- pan telah dibuat sehingga mencecah belanja RM10,000.
“Mujur keluarga sebelah perempuan memahami masalah kami, malah jika ia tidak ditangguh, roboh pun robohlah kami tetap akan meneruskan persandingan,” katanya yang telah melangsungkan pernikahan di rumah pengantin perempuan pada Mei lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin semasa ditemui mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...