Saturday, August 16, 2008

Demo isu PTPTN: 8 pelajar disiasat

Jimadie Shah Othman Aug 15, 08 2:01pm

kemaskini 10:07pm Lapan pelajar kolej kejururawatan di Cheras dipanggil oleh pihak pentadbiran dalam siasatan berhubung perhimpunan membantah pemotongan berlebihan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) awal minggu ini. Lima pelajar, bersama keluarga masing-masing, dipanggil bertemu seorang ahli lembaga pengarah Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill semalam.Dua daripada mereka pelajar perempuan dipanggil bagi mengenal pasti individu atau kumpulan yang menganjurkan perhimpunan beberapa ratus pelajar di kolej swasta itu sehingga mendorongnya memanggil pegawai PTPTN memberikan penjelasan. Malaysiakini difahamkan tiga lagi dipanggil hari ini, bersama dua pelajar yang telah dipanggil semalam, oleh seorang pegawai bahagian pentadbiran dan rekod untuk tujuan yang sama. Kelapan-lapan pelajar berkenaan, yang dipercayai terlibat menggerakkan perhimpunan tersebut, diminta membuat penjelasan bagaimana ia boleh berlaku. Dalam pertemuan pertama, mereka juga dipersoalkan berhubung dakwaan kerosakan pada cermin pintu bas milik kolej tersebut dan juga pintu pagar automatik. Lima pelajar itu dituduh merosakkan imej kolej Masterskill apabila menganjurkan demonstrasi tersebut.Dalam pertemuan kedua, mereka ditanya sama ada perhimpunan tersebut dipengaruhi oleh anasir-anasir luar kampus dan parti politik.Seorang daripada lapan pelajar ini yang memberikan kenyataan kepada sebuah stesen televisyen swasta pada hari perhimpunan Selasa lalu didakwa dikawal ketat oleh pihak pentadbiran semalam.Pengurus hal-ehwal pelajar kolej itu Abdul Razak Muhamad enggan mengulas perkara ini sewaktu dihubungi Malaysiakini petang tadi. Beberapa pegawai lain juga enggan mengulas.Kelmarin, Malaysiakini melaporkan pelajar-pelajar kolej mendakwa PTPTN memotong berlebihan pinjaman mereka hingga ada di kalangan mereka berbaki RM5 dalam akaun.Sebelum ini, apabila tabung itu melangsaikan pembayaran kepada kolej berkenaan, pelajar boleh mendapat RM750 seorang. Pada 12 Ogos, pelajar-pelajar itu, sebahagian besarnya wanita, bagaimanapun terkejut sewaktu menyemak akaun bank masing-masing apabila mendapati potongan yang banyak sehingga "ada yang mendapat RM5, ada yang ada RM10" baki pinjaman."Ada juga yang mendapat RM500, ada juga RM200," kata mereka.Pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati kemudian ke pejabat pentadbiran mulai jam 10 pagi Selasa untuk bertanyakan pemotongan yang didakwa keterlaluan itu, tetapi tidak mendapat penjelasan memuaskan, kata sumber-sumber lagi.Beberapa ratus daripada 13,000 pelajar kolej itu kemudian mengadakan perhimpunan bantahan sehingga pertemuan diadakan dengan dua pegawai PTPTN pada jam 4.30 petang."Bila semak akaun, (jumlah) baki duit lain (daripada biasa), pelajar mula pergi ke pejabat untuk membuat komen. "Mula-mula sikit (sahaja), lepas itu makin bertambah jadi banyak," kata sumber-sumber lagi, menceritakan kembali bagaimana perhimpunan itu tercetus secara tidak dirancang.

http://www1.malaysiakini.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...