Jimadie Shah Othman Aug 13, 08 1:26pm
Pelajar kejururawatan sebuah kolej swasta mendakwa Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) memotong berlebihan pinjaman mereka hingga ada di kalangan mereka berbaki RM5 dalam akaun.Sebelum ini, apabila tabung itu melangsaikan pembayaran kepada Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, pelajar boleh mendapat RM750 seorang, kata sumber-sumber pelajar kepada Malaysiakini hari ini. Pelajar-pelajar itu, sebahagian besarnya wanita, semalam bagaimanapun terkejut apabila menyemak akaun bank masing-masing apabila mendapati potongan yang banyak sehingga "ada yang mendapat RM5, ada yang ada RM10" baki pinjaman."Ada juga yang mendapat RM500, ada juga RM200," kata mereka.Pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati kemudian ke pejabat pentadbiran mulai 10 pagi untuk bertanyakan pemotongan yang didakwa keterlaluan itu tetapi tidak mendapat penjelasan memuaskan, kata sumber-sumber lagi.Beberapa ratus daripada 13,000 pelajar kolej itu kemudian mengadakan perhimpunan bantahan sehingga pertemuan diadakan dengan dua pegawai PTPTN pada jam 4.30 petang."Bila semak akaun, (jumlah) baki duit lain (daripada biasa), pelajar mula pergi ke pejabat untuk membuat komen. "Mula-mula sikit (sahaja), lepas itu makin bertambah jadi banyak," kata sumber-sumber lagi, menceritakan kembali bagaimana perhimpunan itu tercetus secara tidak dirancang.Pertemuan sejam itu pelajar, pentadbiran kolej dan pegawai perbadanan itu turut dihadiri ketua pegawai eksekutif kolej berkenaan Datuk Edmund Santhara.Hasil penjelasan dan perbincangan tiga penjuru itu, kolej dan PTPTN berjanji akan menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.Pihak pentadbiran Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill berjanji akan menyemak semula potongan dan menyelesaikan rungutan pelajar dalam isu itu.Eksekutif kanan bahagian hal-ehwal pelajarnya, Dasuki Wahab memberitahu Malaysiakini, dakwaan berlakunya pemotongan insurans melampau itu "hanya khabar angin" dan pihaknya belum menerima aduan secara rasmi daripada pelajar.Dasuki bagaimanapun mengakui terdapat perbezaan jumlah pemotongan dengan kadar sebelumnya. Tambahnya, isu ini tidak berkaitan dengan pentadbiran kolej dan ia sekarang menunggu semakan PTPTN tentang pemotongan tersebut. Dasuki berkata, kolej tersebut hanya membantu PTPTN menyampaikan maklumat dan menyalurkan aduan pelajar kepada perbadanan itu."Hari ini, kami menganjurkan sesi penerangan kepada mereka (pelajar) yang tidak mendapat penjelasan semalam," kata Dasuki.Semalam, ketika berlaku bantahan pelajar, tiga pegawai kolej mengundang PTPTN menjelaskan kedudukan sebenar isu pemotongan tersebut.Dasuki menambah, perhimpunan semalam bukan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, tetapi sebahagian pelajar yang belum dapat dikenal pasti identitinya, dipercayai lelaki."Kita sedang siasat siapa pencetusnya (perhimpunan). Kita bukan nak buat apa-apa, kita hendak beri tunjuk ajar. Ini bukan caranya membuat bantahan," katanya.Seorang pegawai pentadbirannya Nurazlin Ramli pula berkata kolej Masterskill tidak dimaklumkan secara rasmi jumlah penyelarasan baru yang dibuat Jun lalu dan tidak tahu-menahu kadar pemotongan PTPTN apabila dibangkitkan oleh pelajar."Pemotongan ini berbeza mengikut jumlah pinjaman, tempoh bayar balik dan umur pemohon," katanya. Sementara itu, kabinet hari ini mengumumkan caj perkhidmatan PTPTN diturunkan kepada satu peratus berkuatkuasa mulai Jun lepas, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Perbadanan sekarang mengenakan caj tiga peratus bagi penuntut peringkat siswazah, manakala lima peratus kepada pasca siswazah.
http://www1.malaysiakini.com/
No comments:
Post a Comment