Saturday, August 16, 2008

Norani: Saya tidak faham, rasa pelik

Aug 15, 08 5:25pm

"Saya tidak faham" dan "saya rasa pelik" - begitulah reaksi profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyunting buku mengenai pengalaman wanita berdepan ekstremisme Islam ekoran pengharaman karya itu semalam.

Norani Othman berkata Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism kini menjadi rujukan universiti-unversiti di banyak negara, termasuk Indonesia, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat, England dan Ireland. Beliau menambah, buku itu yang memuatkan makalah-makalah hasil kajian bersama sarjana-aktivis wanita dari Asia Tenggara dan Timur Tengah dirujuk bagi mengkaji pengalaman mereka berdepan dengan gerakan politik Islam di negara masing-masing.Norani, seorang zamil kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), menjelaskan sepanjang pengetahuannya, tiada ayat atau bahan dalam buku itu boleh dianggap kontroversi sehingga layak dilarang atau dipertikaikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sebahagiannya pandangan yang kita boleh temui dalam karya-karya ilmiah yang lain," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas pengharaman tersebut.Menurut pegawai KDN, sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh "menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat". Norani juga mempertikaikan tindakan kementerian itu yang tidak memaklumkan secara rasmi larangan tersebut dan tidak pula menjelaskan sebab atau asas tindakannya. Norani, yang juga seorang pengasas Sisters in Islam (SIS), berkata beliau sendiri menyedari tentang pengharaman itu kira-kira jam 1 tengah hari semalam apabila dihubungi oleh media.Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan agar pengharaman buku itu ditarik balik, beliau berkata: "Bagaimana kita hendak membuat rayuan? Kita sendiri tidak tahu sebabnya, kita tidak tahu bahagian mana yang diharamkan itu?"
Beliau menyerahkan kepada penerbit buku tersebut - SIS - jika mahu tindakan undang-undang terhadap kementerian berkenaan.
"Saya hanya berminat dalam hal-hal akademik," tambahnya.
Diminta mengulas larangan terhadap beberapa karya akademik lain sejak beberapa tahun lepas, Norani berkata: "Saya nampak macam tangan kiri (bertindak) lain, tangan kanan (bertindak) lain; mereka (jabatan-jabatan kerajaan) tidak bercakap." Buku kajian sarjana tersohor yang pernah diharamkan dalam tempoh beberapa tahun ini termasuk Karen Armstrong (The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam dan Muhammad: A Biography of the Prophet) dan John L Esposito (What Everyone Needs to Know About Islam).Pengharaman sebuah buku lain Armstrong, A History Of God: The 4000-Year Quest of Judaism, Christianity and Islam ditarik balik pada Mei lalu.Karya-karya ilmiah lagi yang kini diharamkan, antaranya, Fundamental Fear: Eurocentrism and the Emergence of Islamism oleh Bobby S Sayyid dan Women and Islam (Fatima Mernissi).Buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism yang diterbitkan oleh SIS setebal 215 halaman dan memuatkan 10 bab. Norani, sebagai penyunting karya tersebut, mengarang makalah pengenalan yang dijadikan judul buku berkenaan. Beliau bersama bekas pemimpin utama SIS, Zainah Anwar menghasilkan bab terakhir 'Muslim women, the challenge of Islamic extremism and the way forward to building bridges between Southeast Asia dan the Middle East.'Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana (Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).

http://www1.malaysiakini.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...