Aug 19, 08 5:17pm
dikemaskini Sehari selepas perhimpunan bantahan sekumpulan mahasiswa berhubung pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kesatuan-kesatuan tenaga akademik pula menggesa perbahasan rang pindaan tersebut di Parlimen ditangguhkan.
Pagi semalam, kira-kira 100 mahasiswa yang mewakili 13 perkumpulan berhimpun depan pintu masuk Parlimen sebelum menyerahkan memorandum, antaranya mendesak akta kontroversi itu dimansuhkan.
Walaupun "menyambut baik' hasrat Kementerian Pengajian Tinggi membawa pindaan tersebut, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) hari ini turut mempertikaikan beberapa bahagian pindaan pindaan akta yang kini dalam proses perbahasan di Dewan Rakyat.
"Gerak menyeru agar rang pindaan AUKU tidak didebatkan di Parlimen sehingga perbincangan yang lebih terperinci di pihak-pihak berkepentingan dapat dilaksanakan," kata pengerusi Gerak, profesor Wan Manan Wan Muda hari ini.
"Sebarang pindaaan yang hendak dibuat biarlah ia lebih bermakna dan dapat menggerakkan universiti tempatan ke arah universiti 'bertaraf dunia'," tambahnya.
Gerak, gabungan kesatuan-kesatuan pensyarah di beberapa universiti utama, juga menekankan kebebasan akademik dan autonomi mahasiswa dalam budaya universiti yang mengutamakan "integriti intelektual dan merit akademik" sebagai landasan menilai pindaan berkenaan.
Dalam kenyataannya, Wan Manan berkata Gerak berasa "sangsi" sama ada pindaan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini boleh mencapai hasrat kerajaan untuk mewujudkan "universiti bertaraf dunia.
"Bahagian-bahagian yang diragui itu termasuklah:
*Jawatankuasa untuk memilih naib canselor tidak mempunyai terma rujukan dan tidak jelas tentang keahlian mereka,
*Komposisi dan cara pelantikan lembaga pengarah, senat dan timbalan naib canselor, seterusnya jawatan dekan,
*Pembentukan jawatan baru penasihat undang-undang universiti yang setara dengan pendaftar dan bendahari universiti,
*Pindaan baru dalam Seksyen 15D AUKU yang naib canselor menggantung pengajian seseorang pelajar yang disyaki melanggar sesuatu kesalahan,
*Cadangan menghapuskan Seksyen 16A yang bermakna semua hal ehwal tatatertib staf kini berada bawah Akta Tindakan Tatatertib dan Surcaj Badan Berkanun (Akta 605).
Teks lengkap kenyataan Gerak seperti berikut:
Jika pihak kerajaan Malaysia bersikap serius untuk melihat universiti-universiti Malaysia berada pada taraf dunia atau world class, maka perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian utama:
*Kebebasan akademik untuk para akademik menjalankan tugasan mengajar, melaksanakan penyelidikan serta menyebarkan hasil kajian dan pandangan mereka tanpa takut atau berpihak.
*Autonomi mahasiswa untuk melibatkan diri dan menyuarakan pendapat mereka secara bebas dan terbuka demi meluaskan ruang sosial dan intelek mereka, justeru memastikan para graduan yang matang dan berpandangan luas.
*Budaya universiti yang berasaskan integriti intelektual dan merit akademikAutonomi universiti untuk membuat keputusan ke arah memenuhi tuntutan akademia serta masyarakat dan bukan kepentingan politik
Gerak menyambut baik usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memulakan proses pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU); namun kami masih sangsi sama ada pindaan ini akan memberi impak yang boleh mewujudkan ciri-ciri yang kami senaraikan di atas.
Terutama sekali, kami sangat prihatin tentang hal-hal berikut:
*Jawatankuasa yang dicadangkan oleh pindaan AUKU untuk memilih naib canselor adalah sebuah entiti yang longgar dan tidak mempunyai terma rujukan dan tidak jelas tentang keahlian mereka.
Kami tidak pasti sama ada badan ini merupakan sebuah "search committee" (jawatankuasa mencari) yang mempunyai kebebasan untuk mengiklankan jawatan naib canselor atau sekadar sebuah badan yang menyenarai-pilih calon-calon yang telah dicadangkan oleh KPT.
Kami juga kurang jelas, apakah menteri pengajian tinggi akhirnya menggunakan budi bicara beliau untuk melantik naib canselor, mungkin dari kalangan mereka yang tidak disyorkan oleh "search committee"?
*Kami juga menaruh kebimbangan berkait dengan komposisi dan cara perlantikan lembaga pengarah, senat dan timbalan naib canselor, seterusnya jawatan dekan.
Apakah cara dan peraturan yang akan diguna pakai? Sejauh manakah darjah ketelusan?
*Kenapa perlu diwujudkan jawatan penasihat undang-undang sebagai jawatan tetap baru yang setara dengan pendaftar dan bendahari universiti?
*Secara sepintas lalu, kelihatan pindaan ini memberi mahasiswa lebih kekebasan untuk menyertai pelbagai pertubuhan, namun sekatan ke atas mereka daripada menjadi ahli dalam parti politik atau "pertubuhan-pertubuhan haram" menjadi tanda tanya.
Tidak ada alasan yang logik dikemukakan mengapa mahasiswa memiliki kebebasan yang lebih sempit daripada mereka yang bukan mahasiswa.
Berhubung "pertubuhan-pertubuhan haram", ia merupakan satu takrifan yang sangat luas dan merangkumi badan-badan bukan kerajaan yang berniat baik tapi menghadapi masalah dalam proses pendaftaran mereka dengan Pendaftar Pertubuhan.
Tambahan lagi, naib canselor mempunyai kuasa yang luas untuk melabelkan sebarang kumpulan atau pertubuhan sebagai pertubuhan terlarang bagi penglibatan mahasiswa.
Penyuaraan atau kebebasan bersuara mahasiswa terhad kepada tempat seperti perjumpaan yang "dianjurkan secara teratur" seperti forum, seminar, dan lain-lain.
Arahan ini bertentangan dengan Artikel 10 perlembagaan Malaysia yang menjamin hak untuk bersuara.
*Cadangan pindaan baru dalam Seksyen 15D yang menyatakan, jika seseorang mahasiswa dituduh melakukan kesalahan beliau boleh digantung pengajian oleh naib canselor, adalah bertentangan dengan prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dapat dibukti sebaliknya menerusi perbicaraan di mahkamah.
*Cadangan menghapuskan Seksyen 16A AUKU bermakna semua hal ehwal tatatertib staf kini berada di bawah Akta Tindakan Tatatertib dan Surcaj Badan Berkanun (Akta 605).
Akta 605 merupakan peraturan yang merangkumi semua tata laku ahli perkhidmatan awam dan sangat mengongkong, terutama sekali kebebasan bersuara.
Bagi para akademik dalam universiti awam, walaupun gaji mereka dibayar oleh kerajaan, tetapi tugas dan skop kerjaya mereka berbeza dengan kakitangan awam dan tidak wajar dikawal oleh peraturan tatatertib yang sama.
Hal ini bertentangan sama sekali dengan prinsip kebebasan akademik dan autonomi universiti yang merupakan tonggak kepada pencapaian kecemerlangan akademik.
Gerak berpendapat jika universiti-universiti di Malaysia ingin meningkatkan taraf mereka kepada universiti "bertaraf dunia" seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan, ciri-ciri berikut perlu mendapat tempat yang sewajarnya:
*Kebebasan akademik untuk para akademik mengajar, menjalani penyelidikan dan menyebarkan hasil kajian dan pendapat mereka, tanpa rasa taku atau berpihak,
*Autonomi mahasiswa untuk melibatkan diri dan menyuarakan pendangan mereka secara terbuka dan bebas demi untuk meluaskan ruang sosial dan intelektual mereka, sekali gus menjamin para graduan yang berketrampilan, berpandangan luas dan matang,
*Budaya universiti yang berasaskan integriti intelektual dan merit akademik,
*Autonomi universiti untuk membuat keputusan demi kepentingan akademia serta masyarakat dan bukannya memenuhi lkepentingan politik mana-mana pihak
Berdasarkan kepada keprihatinan di atas, Gerak menyeru agar rang pindaan AUKU tidak didebatkan di Parlimen sehingga perbincangan yang lebih terperinci di pihak-pihak berkepentingan dapat dilaksanakan dan sebarang pindaaan yang hendak dibuat biarlah ia lebih bermakna dan dapat menggerakkan universiti tempatan ke arah universiti "bertaraf dunia", yang mana pihak kerajaan dan kami di pihak Gerak idamkan.
Prof Wan Manan Wan Muda
Pengerusi Gerak
No comments:
Post a Comment