Aug 20, 08 3:07pm
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan dari seorang penulis blog supaya rakyat mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik sempena sambutan Hari Kemerdekaan sebagai satu perbuatan "kurang ajar."
Perdana Menteri berkata perbuatan sedemikian bukan lagi boleh disifatkan sebagai satu perbuatan nakal tetapi amat jahat.
"Itu kurang ajar (bendera terbalik), tiada hormat langsung dengan bendera kita, apa yang marah sangat dengan bendera Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di Melaka hari ini.
Abdullah berkata penulis blog itu cuba mencetuskan satu idea tanpa memikirkan kesan selanjutnya, demikian menurut laporan Bernama.
"Sahaja nak bagi orang susah dengan buat cerita yang bukan-bukan," katanya.
Beliau berharap polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Cadangan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik itu dicetuskan oleh penulis blog berasal dari Kelantan, Kickdefella, melalui catatannya pada 4 Ogos lalu.
Kata penulis blog itu, pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu perkara yang diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai satu simbol kecemasan, dan beliau meminta rakyat melakukannya bagi menyatakan bahawa negara ini sedang dalam keadaan tertekan.
Cadangan beliau bagaimanapun mendapat bantahan dari rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuk juga dari penyokong pembangkang.
Seorang pelawat blog itu menulis bahawa jika di India, pengibaran bendera negara secara terbalik tidak diterima sebagai simbol kecemasan antarabangsa sebaliknya merupakan penghinaan kepada negara itu.
http://www1.malaysiakini.com/
No comments:
Post a Comment