Wednesday, August 20, 2008

SIS kempen 'jangan haram buku'

Jimadie Shah Othman Aug 19, 08 1:12pm

kemaskini 3:50pm Sister in Islam (SIS) telah melancarkan kempen "jangan haramkan buku" yang bertemakan "haram buku = bakar buku".

Kempen tersebut dilancarkan ekoran tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku yang diterbitkan oleh SIS baru-baru ini.

Menurut KDN, buku itu dilarang kerana "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya".

Buku terbitan SIS itu berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism, suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bercakap dalam satu sidang akhbar pagi ini, pengurus program kanan SIS, Maria Chin Abdullah berkata, 2,000 poskad telah dicetak untuk diedarkan sebagai membantah pengharaman buku.

Turut serta dalam sidang media itu, Norani dan pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Wong Chin Huat.

SIS, katanya, kemudiannya akan mengumpulkan poskad itu untuk dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar hujung November ini.

Maria berkata, SIS juga telah menghantar surat kepada KDN untuk meminta penjelasan mengenai buku yang diharam itu.

Menurutnya, jika tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh 14 hari, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama dengan Wami dan Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) untuk memikirkan tindakan selanjutnya.

Sambil menegaskan buku tidak seharusnya diharamkan, Maria (foto, kanan) berkata, pihaknya tidak dapat penjelasan yang khusus tentang bahagian mana yang dikatakan menyentuh kesucian Islam.

"Hanya apabila SIS menghubungi KDN pada 15 Ogos, barulah satu faks dihantar bertarikh 14 Ogos memaklumkan buku kami diharamkan," jelas Maria.

Beliau turut pengharaman itu sebagai menyempitkan ruang dialog dan "mempromosikan jahiliah", dan akan menjuruskan ke arah masyarakat yang mempunyai pandangan "seperti katak di bawah tempurung".

Menjawab soalan pemberita, Maria berkata, buku suntingan Norani itu merupakan yang ketiga terbitan dan edaran SIS yang diharamkan.

"Setiap tahun 18-20 buku diharamkan.

Saya tidak pasti sama ada buku itu dibaca ataupun tidak (oleh KDN)," katanya.

Norani secara sinis menyifatkan pengharaman bukunya oleh "kerajaan yang demokratik" sebagai sebuah tragedi.

Beliau menyifatkan proses semakan dan penilaiannya yang dibuat "kelihatan tidak betul dan tidak telus".

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata, bukunya itu harus "dilayan dengan serius sebagaimana ia (buku itu) ditulis dengan serius".

Norani (foto, tengah) mengagak, bukunya diharamkan disebabkan "konteks politik" seperti kritikan-kritikan kepada PAS dan dasar-dasar kerajaan sejak awal 1980 sehingga 1990-an.

Mengulas sambutan terhadap buku itu, Norani berkata, setelah tiga tahun diterbitkan, bukunya itu telah beredar di pelbagai negara dan diterima di banyak perpustakaan di universiti-universiti di Malaysia.

Norani juga mendapat sambutan baik dengan dijemput memberikan pelbagai ceramah di seluruh dunia.

Ditanya sama ada buku itu diharamkan kerana jawatankuasa penapisan diduduki oleh mereka yang berkecenderungan 'fundamentalis dan ekstremis Islam', beliau hanya berkata:

"Siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas.

"Tidak salah menjadi fundamentalis atau ekstremis tetapi mesti canggih.

Kita mesti setuju untuk tidak setuju. "Ikhtilaf (perbezaan pendapat) dalam Islam perkara yang bagus.

Tidak salah menjadi fundamentalis, tetapi jangan bersifat menghukum."

Sementara itu Wong pula berkata, menjelang sambutan kemerdekaan ke-51, tidak wajar berlaku lagi kes pengharaman buku.

"Kenapa selepas tiga tahun baru ada kesimpulan dan pendirian dibuat?" katanya.

Tindakan KDN itu hanya akan menyebabkan muramnya sambutan hari bersejarah negara itu, tambahnya.

Sementara itu, Datuk Marina Mahathir yang hadir menyokong
bantahan SIS, secara sinis berkata pengharaman buku itu mengelirukan.

"Kenapa buku yang pro-Islam seperti tulisan Armstrong diharamkan sedangkan ada buku-buku lain seperti tulisan Adolf Hitler, Mein Kampf dibenarkan dijual dan beredar," soalnya.

Secara bergurau, beliau berkata "ingin mendengar pembangkang apabila mempunyai kuasa nanti menarik balik pengharaman buku-buku itu.

"Turut hadir ahli parlimen daripada DAP Tony Pua (Petaling Jaya Utara) dan Teo Nie Ching (Serdang).

Ditemui selepas sidang media, Tony berjanji akan menekankan perkara ini dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Beliau akan turut membawa dan memberikan poskad itu di kalangan ahli-ahli parlimen lain.


http://www1.malaysiakini.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...