Melihat raut wajahnya, jelas terpancar kesungguhan dan keghairahan mengerjakan ibadah puasa walaupun baru pertama kali menghadapi suasana dan cabaran berpuasa.
"INILAH detik-detik indah yang dinantikan selama ini. Akhirnya terkabul juga penantian saya untuk menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan."
Baru memasuki bulan kelapan memeluk Islam, inilah kali pertama Mark Iman Malim Abdullah atau nama asalnya, Mark Glenn menunaikan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.
Bagi yang pernah menonton program realiti TV, One In A Million (OIAM) musim kedua, pasti sudah dapat meneka siapa gerangan pemuda berusia 24 tahun ini.
Peserta top five OIAM 2 ini, mengakui walaupun masih 'kekurangan' ilmu, pendedahan serta pengalaman, dia sebenarnya sangat bersemangat untuk melaksanakan ibadah puasa bersama umat Muslim lain.
Jejaka yang lebih mesra dengan panggilan Mark ini memberitahu, cabaran paling hebat yang harus ditempuhinya ketika berpuasa ialah menahan diri daripada dahaga, berbanding lapar.
"Kalau tak makan, tak mengapa sebab ketika hari biasa pun jadual makan saya tidak menentu kerana sibuk dengan urusan kerja. Tetapi kalau tak minum, terasa tekak begitu kering," katanya ketika ditemui Kosmo! di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mark yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan menganut agama Kristian sebelum ini menyifatkan ibadah puasa merupakan amalan mulia yang penuh berkat.
BAGI Mahathir, puasa juga mengeratkan hubungan bersama ahli keluarga terutama isteri tersayang, Anita.
Menurutnya, ibadah ini mengingatkan kita saat-saat getir yang terpaksa dilalui orang susah terutamanya ketika krisis kebuluran melanda negara miskin di dunia.
"Kesusahan ini menimbulkan keinsafan dalam diri saya," luahnya.
Mark mendedahkan, keinginan untuk cuba berpuasa timbul dalam dirinya sejak belajar di universiti lagi walaupun ketika itu, dia belum memeluk Islam.
"Ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sabah dua tahun lalu, saya pernah terikut-ikut dengan kawan-kawan Islam lain untuk berpuasa selama sehari.
"Tetapi percubaan tersebut menemui kegagalan apabila saya tidak mampu menahan lapar dan dahaga. Hanya separuh hari sahajalah masa itu. Mungkin ketika itu, jiwa saya belum cukup kuat dan kental.
Akui Mark, selepas melafaz dua kalimah syahadah dan menghayati ajaran-ajaran suci Islam, hatinya dengan sendiri dikurniakan kekuatan oleh Allah.
"Perkara yang amat sukar dan luar biasa untuk saya selesaikan dahulu, kini dihabiskan dengan mudah dan penuh gembira," ujarnya.
Jejaka tinggi lampai dan berlesung pipi ini mengakui, keluarganya yang tinggal di Sabah berasa gusar dan marah apabila menerima khabar bahawa dia telah memeluk agama Islam sekitar Februari lalu.
Namun, setelah melihat keghairahan dan keikhlasan Mark dalam menjiwai ajaran ini, ibu bapa kesayangannya menghormati keputusan itu dan mula memberi dorongan dan sokongan supaya melakukan yang terbaik untuk diri sendiri.
"Sewaktu berbuka puasa nanti, saya pasti akan merindui masakan ibu yang tiada tolok bandingnya dengan mana-mana masakan lain. Antara yang menjadi kegemaran saya ialah ayam goreng ala Barat," cerita Mark.
Walaupun begitu, kerinduan dan kesepian menetap jauh dari keluarga sedikit sebanyak terubat apabila dia mendapat sokongan keluarga angkat yang menetap di ibu kota.
"Mujur saya tinggal bersama mereka. Ini memberi kelebihan kepada saya untuk menghadapi cabaran berpuasa dalam suasana berkeluarga," kata anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini.
Sementara itu, seorang lagi mualaf, Mahathir Abdullah yang cukup terkenal kerana statusnya sebagai suami kepada penghibur tersohor tanah air, Anita Sarawak berkata:
"Tanpa disedari, sudah enam kali saya menyempurnakan Rukun Islam ketiga ini bersama isteri dan saudara-mara tanpa sebarang kemusykilan dan halangan.
"Ibadah puasa selama 30 hari bersama larangan dan ibadah-ibadah yang lain tidak pernah dianggap sebagai sesuatu yang menyusahkan walaupun sedikit 'perit' kerana meninggalkan rutin biasa," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Sambil ketawa kecil, Mahathir menyifatkan keharmonian rumahtangga dan silaturahim antara kaum keluarga semakin utuh sepanjang menjalani ibadah puasa.
"Mana tidaknya, bayangkan betapa meriahnya apabila berbuka. Semua berkumpul di meja. Itu belum lagi kalau sama-sama memasak," katanya.
Walaupun berpuasa, Mahathir tidak pernah menjadikan itu alasan untuk beliau mengehadkan aktiviti riadah dan rekreasinya.
"Kadang-kadang saya akan berada di gim sampai tiga jam," ujarnya yang mesra membahasakan dirinya sebagai abang Mahathir.
Beliau turut mengakui dia dan Anita lebih gemar berbuka di rumah berbanding di hotel atau membeli-belah di Bazar Ramadan.
"Kak Nita memang berhati-hati dalam soal pemakanan. Dia selalunya menyediakan masakan kegemaran misalnya rendang, ayam panggang dan salad.
"Ketika bersahur pula, sup ayam atau ikan menjadi pilihan saya dan isteri," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment