Sunday, September 7, 2008

Gerakan Bukan Parti “Pak Turut” Dalam BN - Koh Tsu Koon




05-09-2008 04:18:20 PM


KOTA BHARU: Gerakan akan mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya parti-parti komponennya terutamanya Umno, gagal membuat perubahan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, kata pemangku presiden parti itu Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.


Sambil menegaskan Gerakan bukan parti “pak turut” dalam BN, Koh bagaimanapun berkata, parti itu tidak akan tergesa-gesa dalam tindakannya dan akan memberi “tempoh munasabah” sebelum mengambil sebarang tindakan.


Gerakan akan terus mendesak agar dilakukan perubahan dan pembaharuan dalam BN tetapi sekiranya usaha itu tidak berhasil, parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Kelantan di sini hari ini.


Koh berkata apa yang dituntut oleh Gerakan antaranya ialah perubahan sikap dan pendekatan serta mewujudkan semula semangat bermusyawarah yang lebih adil dan saksama antara parti-parti komponen supaya suara semua parti dapat didengar, diambil kira dan dimasukkan dalam agenda BN.


“Simbol BN ialah dacing, ia menunjukkan satu konsep adil dan saksama, ia hendaklah diamalkan dalam semua bidang. Ia semangat asal BN dari dulu, tapi mungkin lama-kelamaan, kita semakin sibuk, semakin mementingkan diri sehingga kita terlupa,” katanya.


Bagaimanapun, Koh mengakui perubahan telah mula berlaku dalam BN namun parti itu menganggap ia belum mencukupi.
“Kita sudah bermesyuarat lebih kerap dalam lima bulan yang lepas ini di peringkat Dewan Tertinggi BN dan Jawatankuasa Pengurusan BN berbandiing lima tahun dahulu.


“Ia satu permulaan yang baik. Kami bincang banyak isu tapi masih perlu buat perubahan. Tapi nak buat perubahan, bukanlah dalam masa sebulan dua,” katanya.


Koh berkata pepimpin BN juga perlu mendengar luahan hati rakyat dan suara tidak puas hati termasuk yang mula kedengaran dari dalam BN sendiri.


“Bukan senang untuk saya menangani perasaan ini. Suara-suara ini mesti diambil kira,” katanya. BERNAMA


http://www.mstar.com.my/

http://pinkturtle2.wordpress.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...