RAJA NOOR JAN menunjukkan sepasang tiara yang didakwa milik Raja Muzzaffar Shah di pejabat Kosmo! Ahad, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun menghilangkan diri, ahli perniagaan yang mendakwa dirinya pewaris takhta Sultan Melaka semalam tampil semula dengan 'perjuangan' terbarunya.
Raja Noor Jan Shah Raja Tuah, 53, kali ini membawa dua lagi alat kebesaran yang didakwanya satu lagi bukti paling penting melayakkan dirinya sebagai waris terakhir Sultan Melaka.
Membahasakan dirinya Pak Engku, dia membawa sepasang tiara Raja Muzzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka yang dibuang ke laut pada tahun 1528 di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama Beting Beras Basah.
"Setelah hampir 480 tahun, tiba-tiba Pak Engku mendapat 'ilham' dan 'petunjuk' bahawa mahkota itu berada di Pulau Nangka, Melaka.
"Jadi, Pak Engku bersama Pawang Diraja Melaka, Datuk Setia Diraja Melaka dan seorang lagi ke kawasan tersebut pada 30 Januari 2007, tak sampai sejam, tiara itu dijumpai," katanya yang hadir ke pejabat Kosmo! Ahad di sini semalam.
Dakwa Raja Nor Jan lagi, lokasi persinggahannya di pulau itu adalah di sebuah pondok milik tokoh agama, Datuk Dr. Haron Din yang dikatakan gemar mencari artifak lama.
Kira-kira tiga tahun lalu, Raja Noor Jan Shah yang merupakan ahli perniagaan berasal dari Teluk Perang, Perak menggemparkan seluruh negara apabila mendakwa sebagai Sultan Melaka Ke-44 selepas Melaka kehilangan sultan selama 481 tahun.
Dia dilaporkan yakin gelaran itu mampu dimilikinya dengan mendakwa menyimpan keris Taming Sari milik Laksamana Hang Tuah serta tongkat Lang Buana.
Alat kebesaran lain yang turut dipertontonkan pada masa itu ialah sepasang keris Bedut seberat 1.8 kilogram yang tertera nama Ahmad bin Mahmud dalam tulisan Jawi dan persalinan lengkap yang pernah dipakai oleh Sultan Ahmad Shah, Sultan Melaka Ke-9 dari 1516 hingga 1528.
"Perjuangan saya belum selesai... dengan bukti terbaru itu, Pak Engku sarankan agar Perlembagaan Diraja mengambil berat akan hal ini dan seterusnya membawa ke Majlis Perundingan Raja-Raja," katanya.
Pak Engku yang lengkap berpakaian kot dan bertali leher serta songkok berwarna kuning dilihat menunjukkan perubahan drastik terutama dari segi penampilan dan wajahnya kerana kelihatan agak kurus dan tidak lagi bermisai.
Ditanya ke mana menghilangkan diri selama ini, katanya, dia sengaja berbuat demikian dan sibuk menguruskan perniagaan dan keluarganya.
Ditanya pula mengapa baru sekarang mahu tampil dan sekali lagi membuat tuntutan, Pak Engku sambil berseloroh berkata: "Pak Engku merasakan 'rakyat' rindukan Pak Engku."
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment