Sunday, September 14, 2008

Murtad pada pandangan Mualaf

Dilulus terbit pada Sunday, September 14 @ 19:27:38 MYT oleh greenboc Oleh gambiano2"


Isu murtad semakin menjadi perhatian pada masa ini seperti kes Azlina Jailani dan terbaru Siti Fatimah mengemparkan masyarakat Islam di negara ini.


Ia adalah kerana kes tersebut banyak diperkatakan dalam media massa sehingga menimbulkan perasaan tidak senang dan tidak puas hati di kalangan umat Islam.


Namun di sebalik kes yang hangat diperkatakan masih banyak kes murtad di sebalik tabir yang mungkin berpuluh ribu yang masih kita tidak tahu secara langsung.


Umat Islam sepatutnya menilai balik mengapa berlakunya masalah murtad yang menjadi-jadi daripada terus melatah bila ada kes tertentu dimainkan dalam media massa.


Berlakunya kes murtad adalah disebabkan oleh kelemahan akidah dan kepincangan sosial dalam masyarakat yang memberikan kesan bukan sahaja kepada saudara baru tetapi juga mereka yang dilahirkan dan mengamalkan Islam berpuluh-puluh tahun lamanya.


Sepatutnya pihak yang berkaitan membuat analisa dan mengambil tindakan lanjut untuk memulihkan semula keimanan umat Islam. Apakah sebabnya ruang lingkup yang perlu diperbaiki dalam masyarakat kita?


Kelemahan ilmu pegangan dalam Islam dan faktor keluarga dalam tahap awal pembentukan seseorang sebenarnya menjadi penyebab keruntuhan akhlak dan kelemahan iman seseorang umat Islam.


Walaupun seseorang itu mungkin dilahirkan Islam, tetapi amalan dan penekanan oleh orang disekeliling mereka boleh mempengaruhi mereka.


Tatkala kita tengah bising tentang isu murtad adakah kita menilai berapa banyak umat Islam di negara kita yang tidak mengamalkan Islam dengan sepenuhnya.


Berapa banyak yang masih mengamalkan syirik khafi (syirik kecil) sama ada sedar ataupun tidak.


Contohnya mempercayai dukun, mempercayai kuasa cincin atau tangkal, menyembah pangkat dunia dan material, riak dalam beramal, dan tidak mempedulikan halal haram atau suruhan dan larangan Allah s.w.t.


Berapa ramai yang masih tunggang-langgang dengan botol air syaitan dan melompat terkinja-kinja di bawah lampu yang berkelipan? Ini belum kira lagi mereka yang tidak mengamalkan apa di dalam rukun Islam seperti bersolat 5 kali sewaktu sehari dan berpuasa.


Wujud juga golongan liberal yang memperjuangkan kebebasan yang lari daripada garis panduan umum agama Islam , terutamanya kita sering dengar adalah Sunnah Rasullulah semakin dipertikaikan.


Bagi perempuan mereka memperjuangkan kebebasan untuk berpakaian sehingga lupa batasan-batasan aurat mereka dan tudung di kepala hanyalah simbolik kepada nama pada IC nya.


Lebih menyedihkan kadang-kala bersembang dengan mereka yang tidak memakai tudung, mereka mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa walaupun tidak bertudung mereka tidak melakukan dosa-dosa seperti mereka yang bertudung.


Ini seolah-olah penyataan defensif dan generalisasi terhadap kepincangan akhlak di dalam masyarakat ini. serta betapa lemahnya pengetahuan mereka tentang tuntutan agama Pendidikan di sekolah banyak menumpukan teoritikal tanpa menekankan amalan sebenarnya.


Keluarga terutamanya ibu bapa yang masih lemah pegangan mereka sudah tentu tidak dapat membentuk siasah dan pegangan anak-anak mereka dengan baik.


Lebih-lebih lagi jika anak-anak mereka baru menempuhi alam baru dengan kejutan budaya bila merantau mencari kerja di negeri lain yang berjauhan dengan keluarga mereka.


Tiada pemantauan daripada ibubapa menyebabkan anak mereka yang ibarat rusa masuk kampung ini hanyut dengan budaya baru dan pengaruh daripada rakan rakan sebaya.


Dakyah dan dakwah daripada mubaligh agama lain terus mempengaruhi umat Islam yang lemah akidah mereka.


Kadangkala faktor tekanan sosial dan kemiskinan menjadi punca utama mubaligh yang dilihat sebagai "penyelamat" ini untuk menyelami jiwa mereka dan seterusnya mempengaruhi mereka dalam transisi keimanan.


Lebih menyedihkan bukan sahaja dakwah Islam oleh agensi kerajaan jarang dilihat, usaha dakwah oleh golongan tabligh sering disalah-anggap oleh masyarakat Islam sendiri dan dicaci dan dihina.


Padangan stereotaip seperti Arqam, tidak menjaga keluarga dan menyeleweng sering diperkatakan tetapi sebenarnya hanya segelintir kecil golongan tabligh yang menyebabkan pandangan serong masyarakat.


Apa yang penting ialah "Amir" atau ketua dalam jemaah itu mestilah seorang yang mempunyai pegangan kuat dan berilmu.


Usaha golongan tabligh sebenarnya juga banyak mempengaruhi Islamisasi dalam masyarakt dan mereka tidak patut dihina dan dicerca oleh umat Islam sendiri.


Walaupun pengalaman saya di dalam jemaah tidak banyak tetapi saya memahami lebih mendalam dengan Islam dan membentuk akidah saya dengan baik melalui mereka dan bukannya kelas-kelas agama biasa.


Saudara baru yang memeluk Islam merupakan sinar baru dalam agama Islam kerana masih ada harapan baru untuk agama ini menyinar.


Golongan mualaf harus diberi perhatian dan diberikan ilmu yang secukupnya untuk mereka membentuk diri mereka sebagai seorang Muslim yang sempurna.


Tidak kira daripada mana datangnya hidayah mualaf ini, sepatutnya kita berbangga dan menghargai mereka dalam menguatkan umat Islam.


Hidayah boleh datang dalam pelbagai bentuk yang ditetapkan oleh Allah. Ada yang melalui cinta dan perkahwinan, ada melalui kesedaran pemikiran (reasoning), ada yang melalui timbulnya kesesalan, melalui pembacaan dan pulih dan melalui peristiwa tertentu yang membangkitkan dirinya.


Di dalam masyarakat kita kebanyakkan adalah melalui hubungan cinta atau perkahwinan. Dan sekiranya perkahwinan ini boleh menguatkan perjalanan mualaf tersebut, sepatutnya suami atau isteri yang Islam ini kena memberikan sokongan, dorongan dan tunjuk ajar kepada isteri atau suami mereka.


Masyarakt jangan mudah memandang serong keinginan dan keterbukaan saudara baru ini dalam memeluk Islam tetapi hargailah mereka yang berusaha untuk menyelami dan mengamalkan agama suci Allah s.w.t.Kita lihat kes Siti Fatimah yang memohon keluar dari Islam selepas ditinggalkan oleh suaminya, seorang warganegara Iran.


Semasa masih berkahwin pun dia tidak ditekankan oleh suaminya untuk mengamalkan cara hidup Islam. Maka kesnya tidak dapat dipersalahkan 100% kepadannya kerana tiada usaha untuk membentuk akidahnya.


Keputusan peguam Ahmad Jailani untuk membelanya dalam kes tersebut tidak boleh juga disalahkan kerana selagi dia (Siti Fatimah) bernama Islam dan mengamalkan cara hidup kafir sudah tentu akan memalukan umat Islam.


Sebenarnya saya mengikuti juga kuliah dan ceramah Ustaz Ahmad Jailani tempoh hari bagi menerangkan kes ini di Masjid Jamik Gelugor. Suami isteri atau pasangan kepada mualaf sepatutnya bagi tunjuk ajar dan bukannya memberikan tekanan dan menyelewengkan perjalanan mereka.


Ada kes di mana pasangan lepas berkahwin bukan sahaja suami tidak memberikan didikan agama tetapi membuat hal dengan mencari perempuan lain di luar dan ada juga telah diceraikan dan dibiarkan seseorang orang untuk menghadapi dunia baru yang masih menjadi tanda tanya kepada mereka.


Ini merupakan perbuatan yang dikeji dan tidak bertanggungjawab kerana saudara baru masih tidak mempunyai pegangan akidah yang kuat dan mereka telah memberikan harapan yang kuat kepada pasangan mereka untuk berkongsi hidup baru dan membawa mereka ke jalan Allah yang benar.


Agensi dan unit ukhwah perlu dari semasa ke semasa memantau perkembangan saudara baru untuk mengetahui ruang lingkup yang perlu ditingkatkan dan mendalami masalah mereka sekiranya ada.


Kita hendak masyarakt Islam baru yang berkualiti bukan dari segi kuantiti.


Masyarakat Islam juga perlu sedar supaya tidak terlalu cepat melatah dengan isu murtad tetapi menilai dan memperbaiki punca masalah kepada keruntuhan akidah dalam masyarakat kita.


Nilai seorang Islam bukan sahaja terletak dalam kalimah syahadah melalui mulutnya tetapi kena juga memalui hati dan juga tindakan anggotanya (amalan) dalam agama yang suci ini.


daripada mualaf PAS
www.amirul-hakimi.blogspot.com"


http://www.tranungkite.net/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...