Sunday, September 14, 2008

Pemain Pulau Pinang pula merana


Oleh AZELI ALI













SEORANG pemain skuad bola sepak Pulau Pinang meluahkan perasaan kecewanya kepada media selepas gaji mereka tidak dibayar oleh FAP sejak empat bulan lalu.


TERPAKSA berniaga di Bazar Ramadan.


Itu yang terpaksa dilakukan beberapa pemain skuad bola sepak Liga Super Pulau Pinang bagi mencari pendapatan akibat tidak menerima gaji sejak Mei lalu.


Selepas penderitaan pemain Perak dan Pahang sedikit terubat dengan bayaran gaji yang tertunggak selama ini, pemain Pulau Pinang terus menderita.


Ini kerana gaji mereka masih belum dibayar sejak empat bulan lalu menyebabkan kehidupan harian mereka agak terhimpit dan tertekan.
Akibatnya ada di antara mereka yang menghadapi masalah bayaran kereta dan sewa rumah yang tertunggak.


Persediaan menyambut Aidilfitri juga dalam keadaan yang serba tidak menentu.


"Gaji terakhir yang kami terima ialah untuk bulan April manakala sejak Mei hingga Ogos lalu, kami terus terumbang-ambing tanpa pendapatan.


"Kalau sebulan mungkin kami boleh bertahan tapi ini dah masuk empat bulan, sampai bila harus bersabar dan menderita seperti ini," kata seorang pemain yang tidak mahu namanya disiarkan ketika ditemui semalam.


Tambahnya, ada di antara mereka yang mula dilanda kebimbangan kerana kereta sudah beberapa bulan tak berbayar dan menjelang lebaran, langsung tiada persiapan dibuat.


"Kami juga ada tanggungan termasuk anak isteri dan keluarga tapi macam mana nak sambut raya kalau kami betul-betul tiada duit," ujarnya.


Rakannya berkata, mereka sudah lakukan yang terbaik dan termampu demi menaikkan nama Pulau Pinang dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia tetapi akhirnya mereka yang menjadi mangsa.


"Dahlah kereta tak berbayar, ada antara kami juga mula diusir dari rumah sewa kerana gagal membayar sewa rumah.


"Kami tak tahu lagi apa nasib kami dan ke mana arah tuju kami musim depan kerana rasanya dah tawar hati untuk terus menabur bakti di Pulau Pinang jika perkara ini berterusan," katanya.


Seorang lagi pemain mahu Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mendengar rintihan pemain dan melakukan sesuatu bagi meringankan beban yang mereka tanggung selama ini.


"Kalau tak dapat bayar semua, paling kurang ada sedikit sagu hati untuk kami menyambut puasa serta perbelanjaan harian selain membayar hutang yang ada.


"Jangan sampai nanti ada pemain yang terpaksa meminjam dengan ah long disebabkan masalah ini yang akan memalukan FAP sendiri," ujarnya.


http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...