Monday, October 20, 2008

Krisis kewangan tingkatkan jualan basikal di Taiwan


DUA wanita berbasikal di Taipei, Taiwan.

--------------------------------------------------------------------------------

TAIPEI - Sejak enam bulan lepas, Wayne Hsu mengayuh basikal selama 45 minit setiap hari ke pejabat dan gembira melakukannya kerana dia dapat mengurangkan kos petrol.

Petugas sektor penerbangan di daerah Taoyuan, utara Taiwan itu menyumbang kepada peningkatan orang ramai yang memilih untuk berbasikal berbanding memandu kereta berikutan kenaikan inflasi dan kemelesetan melanda pulau itu.

"Mengayuh basikal merupakan satu cara senaman murah dan saya menggalakkan rakan-rakan sekerja dan bos supaya mengikuti jejak langkah saya," katanya.

Minat orang ramai yang semakin meningkat dengan aktiviti berbasikal menjadi pemangkin kepada industri pengeluaran basikal tersebut di Taiwan.

Sebelum ini, pulau itu adalah pengekport basikal terbesar di dunia tetapi penjualan menjadi lemah sejak pertengahan tahun 1990-an ekoran kenaikan kos menyebabkan kilang-kilang basikal berpindah ke tanah besar China. Kini China merupakan pembekal basikal murah utama dunia manakala Taiwan kekal sebagai pengeluar produk yang lebih mahal seperti basikal lumba dan gunung yang berharga sekitar AS$222 (RM783).

Setakat ini belum ada maklumat rasmi berhubung jumlah penjualan basikal di pasaran tempatan tetapi badan-badan pemantau industri menganggarkan ia dijual sekitar satu juta kepada penduduk Taiwan pada tahun lepas.

"Perniagaan berkembang pada tahun lalu dan tahun ini merupakan tahun terbaik," kata jurucakap syarikat pengeluar utama basikal dunia, Giant Inc., Jeffrey Sheu.

Penjualan basikal keluaran Giant pada Ogos dan September lepas masing-masing meningkat 27 dan 35 peratus kepada AS$120 juta (RM423.5 juta) dan AS$126 juta (RM444.6 juta).

"Pekerja-pekerja kami terpaksa bekerja lebih masa bagi memenuhi permintaan yang meningkat," tambahnya.

Menurut Sheu, ketika inflasi meningkat dan pasaran kewangan kian runtuh, pengeluaran basikal dan perniagaan-perniagaan yang membantu orang ramai berjimat-cermat semakin popular apabila rakyat mula mengurangkan perbelanjaan mereka.

Seorang peminat aktiviti berbasikal di ibu kota Taipei, Ed Lu berkata, mengayuh basikal membantunya untuk memenangkan fikiran.

"Jika lebih ramai orang mula berbasikal dan tidak berkereta, kita dapat meningkatkan kualiti udara di bandar-bandar selain mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.

Pemikiran pemuda itu membayangkan peningkatan tahap kesedaran orang ramai dalam memulihara alam sekitar sekali gus mendorong kepada peningkatan jualan basikal di Taiwan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/20102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...