Monday, October 20, 2008

Misteri serangan otak


Oleh SHANIKA ABDULLATIB

Catherine Sow Chiew Yen diserang strok pada usia 19 tahun. Ketika itu dia pernah terfikir ‘lebih baik mati saja’.



KALAU bukan kerana sokongan keluarga, mungkin Catherine telah lama membunuh diri.

--------------------------------------------------------------------------------

SEMUANYA berlaku ketika Catherine Sow Chiew Yen memasuki lif untuk ke dewan peperiksaan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Sungei Long, Kajang Selangor. Dia tiba-tiba sukar bernafas dan selepas itu langsung tidak ingat apa-apa lagi.

Setelah dikejarkan ke tiga buah hospital, akhirnya dia menjalani pembedahan kecemasan membuang darah beku di dalam kepala pada tengah malam itu juga di sebuah hospital swasta di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Hinggalah sebulan selepas itu, barulah saya menyedari sebelah kiri anggota tubuh saya tidak boleh bergerak,” kata Catherine yang ketika itu baru berusia 19 tahun.

Tidak dinafikan, memang sering saja dia dihimpit rasa tertekan, menjadi lebih sensitif dan mudah putus asa sepanjang beberapa bulan pertama terlantar.

“Masakan tidak. Saya masih muda, masih banyak perkara yang ingin saya lakukan tetapi langsung tak boleh bergerak. Memang menyeksakan,” luahnya.

Lebih membuatkan dia tertekan apabila terpaksa bergantung segalanya pada kudrat ahli keluarga untuk menguruskan keperluan sehariannya. Dia turut kehilangan teman lelakinya.

“Dan hingga pada satu peringkat, memang saya rasa hendak mati saja sebab saya rasa sudah menyusahkan keluarga saya.

“Tapi bila mengingati ayah yang banyak berusaha dalam memulihkan saya, kawan-kawan yang datang menyokong, akhirnya saya nekad untuk pulih,” kenang Catherine, kini 22 tahun, dalam sebak.



--------------------------------------------------------------------------------

Air matanya yang bergenang segera diseka.

“Paling membuatkan saya terharu apabila ayah saya kata, biar habis semua duit, yang penting saya sembuh,” katanya yang masih hiba.

Nasib baik menyebelahi Catherine. Tidak sampai setahun, usahanya untuk kembali pada kehidupannya yang aktif dahulu mula menampakkan hasil.

Tidak terhad kepada satu jenis rawatan, Catherine turut menjadikan terapi di Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam), akupuntur, mengurut dan senaman berjalan di taman setiap awal pagi sebagai alternatif dalam proses penyembuhannya.

Kini, hanya bahagian jari dan tapak tangannya saja yang belum benar-benar sembuh tetapi dia percaya tangannya itu akan kembali seperti sedia kala.

Ditanya mengenai punca dia diserang penyakit ini, Catherine lambat-lambat menggeleng kepala sebelum menghela nafas panjang.

“Itulah yang membingungkan saya. Sejarah kesihatan saya cukup baik. Tak ada darah tinggi, sakit jantung atau kandungan kolesterol yang tinggi.

“Cuma ada seorang doktor yang merawat saya kata, kemungkinan saraf di sekitar otak hadapan saya tidak normal dan apabila ia ‘pecah’, akibatnya ialah strok,” ujarnya yang menyertai Nasam di Ampang, Selangor pada Oktober 2007.

Dengan keterhadan yang dialami, Catherine mula menarik nafas lega apabila diterima bekerja di sebuah syarikat swasta setelah beberapa kali usahanya itu gagal.

“Mungkin mereka susah nak terima pergerakan saya yang agak perlahan tapi saya yakin saya dapat melakukan semua kerja yang diberikan,” tegasnya yang juga menjadi guru tuisyen di kejiranannya di Klang ketika waktu lapang.


--------------------------------------------------------------------------------

Dan jauh di lubuk hatinya, Catherine cukup menghargai kehidupannya kini dan dapat melihat banyak benda setelah musibah itu berlaku.

“Walaupun begitu, saya masih tak dapat menerima kenyataan yang saya menghadapi strok pada usia ini dan ini menyedarkan saya strok boleh menyerang sesiapa saja,” katanya.

Seorang lagi mangsa strok pada usia muda, Lee Kin Shong, 00, menganggap ia tidak ubah seperti mimpi ngeri.

Ceritanya, segalanya berlaku cukup pantas, namun mujur serangan tersebut terjadi ketika dia berada di rumah bersama kakaknya.

“Satu saat anda sedang tonton televisyen dan satu saat kemudiannya, anda sedang terlantar di unit rawatan rapi hospital tanpa dapat menggerakkan sebelah anggota tubuh anda. Cukup menakutkan,” cerita Kin Shong yang juga merupakan antara pesakit termuda di Nasam Ampang.

Tambahnya, dia bukan sahaja hilang keupayaan bergerak, keluarganya turut kucar-kacir gara-gara serangan penyakit tersebut.

Dia terlantar di hospital selama satu setengah bulan dalam keadaan tidak berupaya melakukan apa-apa. Isteri Kin Shong juga sukar menerima keadaan suaminya itu.

“Kadangkala saya rasa hendak mati saja tapi memikirkan nasib tiga orang anak saya yang masih kecil, saya kuatkan semangat untuk sembuh,” ungkapnya menahan sebak.

Sambil membuat senaman regangan di bahagian bahu, Kin Shong meneruskan ceritanya dengan memberitahu perniagaannya juga terjejas.

“Mujur kakak saya ada untuk melihat perniagaan buah-buahan saya sepanjang tiga bulan menjalani terapi di Nasam,“ ujarnya yang pernah mendapatkan rawatan akupuntur daripada seorang tabib Cina.

Merentasi waktu hitam dengan pelbagai dugaan, Kin Shong kini boleh menarik nafas lega apabila terapi yang diikutinya itu menunjukkan perkembangan yang cukup positif.

Dia yang dulunya tidak mampu mengangkat tangan dan kakinya, kini kedua-duanya boleh berfungsi.

Menurut pakar terapi strok di Nassam, Annie Ng, kerosakan otak akibat serangan jantung yang melibatkan pembuluh darah berupaya menjejaskan deria, pertuturan dan kefahaman seseorang.

“Sekiranya terjadi, separuh tubuh anda akan lumpuh dan peratusan untuk sembuh seratus peratus adalah terlalu tipis dan untuk itu, mangsa tidak menjadi seperti dulu lagi,” katanya.


--------------------------------------------------------------------------------

Dengan adanya terapi yang bersesuaian, bahagian otot pada tubuh yang terjejas dan kejang seperti tangan, kaki dan muka mampu dipulihkan.

“Tumpuan utama ialah pergerakan terkawal dan seimbang, juga pada meningkatkan kekuatan dan dan stamina untuk membolehkan mangsa bergerak dengan lebih baik,” jelas Annie.

Tidak sekadar itu, anggapan bahawa pesakit angin ahmar ini tidak boleh sembuh disangkal sama sekali oleh Amie kerana senaman yang teratur telah berjaya memulihkan mangsa.

Namun jelas Annie ia bergantung kepada tahap serius serangan dan semangat pesakit itu untuk pulih dan kembali dengan keadaan yang lebih baik.

“Yang utama, mereka kena terima hakikat yang mereka tak akan menjadi seperti asal lagi,” katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...