Wednesday, November 19, 2008

Cerai SMS Raja Azhar sah


Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



RAJA AZHAR dan Charmaine semasa saat bahagia.

--------------------------------------------------------------------------------

GOMBAK - Lafaz cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh pelukis dan artis terkenal, Raja Azhar Raja Lop terhadap isterinya, Charmaine Winifred Idris pada Ogos lalu diputuskan sah oleh Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad dalam penghakimannya menyatakan bahawa SMS bertarikh 6 Ogos 2008 itu merupakan lafaz cerai berbentuk tulisan iaitu secara lafaz kinayah (tidak jelas) telah ditulis sendiri oleh si suami kepada isterinya.

"Talak dalam bentuk tulisan oleh suaminya secara khusus kepada isteri merupakan lafaz kinayah yang sah jika ia disertakan dengan niat.

"Mahkamah mendapati bahawa defendan (Charmaine) telah melanggar taklik dalam tempoh 48 jam. Plaintif (Raja Azhar) pula ada niat untuk ceraikan defendan pada 8 Ogos 2008 berdasarkan pengakuannya bahawa dirinya dalam keadaan sedar dan tidak dipaksa oleh sesiapa ketika mengirimkan SMS tersebut," katanya.

Pasangan suami isteri itu telah tinggal berasingan sejak 22 Disember 2007 dengan defendan pulang ke Australia.

Rentetan daripada itu, Raja Azhar, 56, yang diwakili peguamnya, Rubiah Jaafar menghantar SMS kepada isterinya yang berusia 53 tahun pada 6 Ogos lalu yang berbunyi:

"Jika kamu, Charmaine Winifred Idris tidak kembali ke rumah kelamin di Malaysia, Bukit Antarabangsa sejak kamu pergi lapan bulan lepas dalam tempoh 48 jam dari tarikh hari ini, saya akan ceraikan kamu dengan talak satu".

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...