Wednesday, November 19, 2008

Pengusaha dalam dilema


Oleh SYED AZWAN SYED ALI

Tindakan mengharamkan penternakan burung walet di kawasan pekan dan bandar menyebabkan ramai pengusaha sarang burung itu hilang mata pencarian.



AHLI persatuan Pengusaha Sarang Burung Walet Mukah mengadakan tunjuk perasaan aman di Mukah, Sarawak baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

SUATU ketika dahulu, Mukah yang terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan darat dari Sibu, Sarawak hanyalah sebuah pekan sepi dengan kegiatan ekonomi yang kurang kompetitif.

Namun segala-galanya berubah sejak penghijrahan secara besar-besaran burung walet dari Indonesia ke Malaysia terutama Sarawak, ekoran fenomena La Nina dan pembakaran hutan di republik itu pada awal tahun 2000.

Nilai hartanah sekitar pekan kecil termasuk di Mukah melambung tinggi dengan kebanyakan tingkat atas rumah kedai dan bangunan komersial dijadikan tempat penternakan burung walet.

"Kalau dulu, tingkat atas kedai ni nak jual RM30,000 pun orang tak mahu beli. Tapi, sejak burung walet datang ke sini, jual RM200,000 pun, ada yang sanggup bayar," kata John Low, pengusaha sarang burung walet.

Pada 13 Oktober 2005, kerajaan memutuskan untuk membenarkan orang ramai menternak burung walet, selain mengiktiraf bidang itu sebagai perusahaan yang berpotensi tinggi untuk menjana ekonomi penduduk setempat.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara mengenai Kerajaan Tempatan kali ke-53 di Putrajaya.

Kecuali Sarawak, negeri-negeri lain mempunyai garis panduan menternak burung walet yang memerlukan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjaga kepentingan orang ramai dan alam sekitar.

Namun perkembangan terkini di Mukah pada 14 Oktober lalu, menyaksikan pegawai dan renjer Jabatan Hutan Sarawak bertindak merobohkan dua premis pengusaha sarang burung walet di Medan Setiaraya dan New Township Mukah. Tindakan ini menimbulkan dilema kepada pengusaha sarang burung walet di sini.

Pengerusi Pengusaha Sarang Burung Walet Mukah, Philip Tiong mendakwa, renjer terbabit meroboh, mengambil sarang burung dan membunuh anak-anak burung walet di premis itu, walaupun burung walet adalah spesies yang dilindungi.

"Kami cuma mahu kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi kami lesen dan garis panduan untuk kami ikut dan patuh," katanya yang turut meminta campur tangan Ketua Menteri Sarawak dalam perkara ini.

Philip berkata, jika kerajaan negeri tetap dengan pendirian mengharamkan penternakan burung walet di kawasan pekan dan bandar, ramai pengusaha sarang burung walet termasuk 150 ahli persatuan itu akan kerugian dan hilang mata pencarian.

Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Mohd Naroden Majais sebelum ini dilaporkan berkata, penternakan burung walet adalah tertakluk kepada Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, Peraturan Perlindungan Hidupan Liar, (Sarang Burung Boleh Dimakan) 1998 dan Peraturan Perlindungan Hidupan Liar 1998.


PHILIP TIONG menunjukkan bahagian luar rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi premis menternak burung walet.

--------------------------------------------------------------------------------

Kloni dua spesies burung walet (hitam dan putih) yang boleh, tinggal atau bersarang di kawasan habitat aslinya seperti gua tetapi tidak dibenarkan di kawasan tanah bandar dan kawasan pinggir bandar.

Bagaimanapun, tinjauan di sekitar pekan Mukah mendapati tidak ada perbezaan pada luaran bangunan rumah kedai yang telah diubahsuai menjadi tempat penternakan burung walet dengan bangunan biasa.

Kawasan terbabit juga bersih dan tidak bising, malah seseorang tidak akan dapat membezakan rumah kedai yang telah diubahsuai bagi tujuan itu kecuali pada waktu Maghrib (sekitar 7 petang) di mana beribu-ribu burung walet terbang dan masuk ke rumah kedai tersebut.

Penulis yang diberi peluang masuk mendapati premis yang dipenuhi dengan ribuan burung walet itu bersih dan terurus dengan sistem pengudaraan yang baik.

"Semua ini kerana kami ikut garis panduan disediakan Jabatan Perkhidmatan Haiwan," kata Philip merujuk kepada Amalan Baik Penternakan Haiwan Untuk Burung Walit (GAHP) JPH.

Sijil GAHP adalah sebahagian daripada keperluan untuk mendapatkan lesen penternakan burung walet di Sarawak, selain kelulusan daripada Jabatan Perhilitan, Pejabat Tanah dan Majlis Perbandaran.

Sumber industri memberitahu bahawa kod amalan itu juga memastikan penternakan burung walet adalah terkawal, selain mencegah sebarang epidemik seperti selesema burung.

Pada 11 Julai lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, penternakan burung walet dibenarkan di lot komersial atau rumah kedai tetapi tidak di kawasan perumahan.

Perdagangan sarang burung di negara ini bermula sejak 100 tahun lalu dengan penuaian pertama dilakukan di Gua Niah, Sarawak pada 1878.

Indonesia adalah negara pertama yang mengusahakan perdagangan sarang burung secara komersial ekoran potensi tinggi komoditi itu.

Dianggarkan terdapat lebih 10,000 premis burung walet di seluruh negara dengan lebih 12 tan sarang burung dihasilkan dalam sebulan.

Dengan mengambil RM4,000 sekilogram sebagai purata harga sarang burung yang belum diproses, ini bermakna industri itu mampu menjana sehingga RM48 juta sebulan.

"Itu harga sarang burung yang belum diproses tetapi nilainya akan bertambah 10 kali ganda selepas diproses mengikut gred untuk dieksport," kata sumber industri yang enggan dikenali.

Penulis difahamkan penternakan burung walet di Sarawak tidak hanya tertumpu di Mukah, sebaliknya diusahakan secara meluas di bandar-bandar besar seperti Kuching, Bintulu, Sarikei dan Sibu.

"Burung walet bukan hanya beri rezeki kepada orang bandar, orang kampung yang menyewakan tanah mereka kepada pengusaha sarang burung juga boleh dapat sehingga RM700 sebulan," kata seorang penjaga burung, yang hanya ingin dikenali sebagai Fadhil, merujuk tapak premis burung seluas 5.66 meter lebar dan 8.49 meter panjang.

Bagi kakitangan kerajaan, Khalil Ali, yang baru melabur sebanyak RM30,000 bagi membina premis burung walet di atas tanah keluarganya di Kampung Oyak, Mukah, kerajaan negeri perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dalam perkara ini.


BAHAGIAN dalam premis yang menjalankan penternakan burung walet.

--------------------------------------------------------------------------------

Walaupun kerajaan negeri bercadang membina lima buah eko-park untuk burung walet dengan dua daripadanya di Daro dan Mukah, isu penternakan burung walet di Sarawak perlu dilihat secara objektif.

Ini kerana kerajaan negeri perlu mempertimbangkan bagaimana untuk memindahkan burung itu ke premis baru tanpa merobohkan lebih 1,500 premis sedia ada atau membunuh puluhan ribu burung walet yang dilindungi ini.

"Apa yang kami mahu ialah rumah kedai kami dibenarkan di sisi undang-undang bagi menjalankan ternakan ini. Biarlah kami dapat hak yang sama dengan pengusaha sarang burung walet di Semenanjung," kata John.

Sehingga laporan ini ditulis, hanya dua lesen premis burung walet dikeluarkan pihak berwajib di Sarawak. Namun penjaga burung keturunan Melanau, Burkan Aje Mohamed Roslan seolah-olah menyimpulkan rintihan seluruh pengusaha burung walet dengan berkata: "Kami sayang burung walet. Kalau nak diroboh juga alamat satu Sarawak akan lupus." - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...