Monday, December 22, 2008

‘Sedia disaman Awie’

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad



JAMALUDDIN...tunggu surat saman.


KUALA LUMPUR:Saya bersedia menghadapi apa saja kemungkinan termasuk disaman Awie,” kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Jamaluddin Yusof, semalam.

Jamaluddin berkata, beliau menanti tindakan susulan peguam Awie sebelum membawa perkara itu dalam pertemuan Majlis Tertinggi Pekida.

Menurutnya, sebarang tindakan berikutnya akan diteruskan sebaik selesai mesyuarat yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Saya tidak dapat bercakap lebih panjang dan hanya menanti surat saman yang dihantar peguam Awie sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Sudah pasti, sebagai pemimpin tertinggi Pekida saya sanggup mempertahankan diri dengan mendapatkan kerjasama peguam dan meneliti maklumat diperoleh,”
katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan Harian Metro, Sabtu lalu mengenai kenyataan Awie yang mahu menyaman Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof apabila mendakwa pemimpin terbabit mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam laporan Metro Ahad, minggu lalu.

Laporan Harian Metro, Sabtu lalu menyebut Awie, bersumpah tidak melakukan perbuatan yang didakwa Jamaluddin, termasuk mengambil RM3,600 daripada anggota yang mahu melakukan ‘baiah’ (sumpah).

Awie juga menafikan terbabit sebagai Ketua Kumpulan Naga dan antara lebih daripada 15,000 ahli Pekida yang didakwa Jamaluddin sudah menyimpang daripada matlamat asal.

Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, mengenai diri Awie, beliau tidak mahu mengulas lanjut dan membiarkan kepada keadaan dan masa yang menentukan.

Menurutnya, beliau tidak mahu meneruskan pertikaian secara terbuka dan akan cuba menyelesaikan isu yang berbangkit selepas itu mengikut saluran yang sepatutnya.

Bagaimanapun, Jamaluddin mengakui mengenai program ‘pemutihan’ terhadap lebih 15,000 ahli Pekida yang tergelincir daripada landasan sebenar dan cuba membawa mereka kembali ke landasan sepatutnya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081222094550/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...