Monday, December 22, 2008

Tidak malu jadi anak penjaja – Fauziah

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
berita@kosmo.com.my



FAUZIAH (kanan) dan Lijawati memegang pingat Anugerah Pelajaran Diraja pada majlis Konvokesyen Ke-6 USIM, Putrajaya kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


PUTRAJAYA – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fauziah Hassan, 25, membuktikan anak peniaga gerai makan tepi jalan juga mampu untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan peringkat tinggi.

Beliau yang kini Eksekutif Perhubungan Media di sebuah agensi berita di sini berkata, dirinya tidak berasa malu walaupun dilahirkan sebagai anak penjaja kerana itulah yang menjadi pendorong kepada kejayaannya.

“Walaupun saya dilahirkan bukan dari keluarga yang senang tetapi itu bukanlah alasan mengapa saya tidak boleh berjaya seperti orang lain,’’ katanya pada media selepas majlis Konvokesyen Ke-6 USIM di sini kelmarin.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada tiga beradik itu turut diberi peluang berucap mewakili graduan lain di depan ribuan ibu bapa, pensyarah dan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin selaku Canselor USIM .

Graduan dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian itu memberitahu, kejayaannya bertitik tolak daripada sikap yang tidak pernah jemu mendapatkan ilmu.

“Sebelum ke kelas saya mengulang kaji pelajaran dulu. Sewaktu di kelas saya akan fokus 100 peratus. Jika masih ada perkara yang saya tidak faham, saya akan rujuk kepada pensyarah,’’ katanya yang juga mendapat Anugerah Dekan tujuh semester berturut-turut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...