Sunday, January 25, 2009
Atur majlis makan suap
Oleh Kamarulzaman Pid
PUTRAJAYA: Beberapa ahli politik terkemuka Umno yang bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu dikesan menggunakan kaedah ‘makan dan suap’, bagi memastikan kemenangan mereka pada pemilihan parti Mac depan.
Sumber berkata, mereka dipercayai terbabit dalam penganjuran majlis makan malam di hotel sekitar Lembah Klang, bulan lalu dan antara tetamu yang hadir adalah Ketua Bahagian Umno dan perwakilan G7 ke pemilihan parti itu.
“Selepas majlis makan malam berakhir, tetamu yang hadir dihampiri ejen calon yang bertanding sebelum menghulurkan wang bagi memastikan perwakilan berkenaan mengundi ‘bos’ mereka yang bertanding merebut jawatan dalam parti itu,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel di Shah Alam, bulan lalu, ejen kepada calon terbabit dikesan memberi wang suapan RM1,000 seorang kepada kira-kira 30 tetamu yang hadir.
“Tetamu itu terdiri 30 perwakilan termasuk beberapa Ketua Bahagian Umno di Selangor dan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Sumber itu menambah, seorang Ketua Bahagian Umno Perak yang juga calon bagi jawatan tertinggi parti itu juga dipercayai menganjurkan majlis sama di sebuah restoran di Cheras, awal bulan lalu.
“Selepas majlis makan malam itu, kira-kira 30 perwakilan dari Umno Wilayah Persekutuan diberikan RM300 seorang oleh ejen kepada calon terbabit yang juga seorang tokoh korporat,” katanya.
Seorang calon bagi jawatan tertinggi parti itu yang diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apabila dikaitkan dengan politik wang kepada perwakilan di Maran dan Temerloh, pertengahan minggu ini, juga dipercayai antara mereka yang menganjurkan majlis berkenaan.
“Calon terbabit dipercayai menganjurkan majlis makan malam di sebuah restoran di Kuala Lumpur dengan dihadiri kira-kira 30 ahli Umno dari beberapa Bahagian Umno Wilayah Persekutuan termasuk Umno Putrajaya dan Kepong.
“Mereka yang hadir diberi wang sebanyak RM300 seorang,” katanya.
Ahli politik itu yang bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno dikaitkan dengan 12 ahli Umno yang ditahan pada Rabu lalu atas kesalahan politik wang.
Semua mereka yang menjadi perwakilan ke pemilihan parti bahagian masing-masing diberikan wang antara RM300 hingga RM500 seorang.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124091319/Article/index_html
No comments:
Post a Comment