Sunday, January 25, 2009

Pelajar ikut Rauf Bangladesh


Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my



NAINA MOHAMAD dan Nazirah menunjukkan foto Nor Syuhada di Kota Bharu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU - Lagi kes gadis lari mengikut warga asing.
Kali ini ia membabitkan Nor Syuhada Naina Mohamad, 23, pelajar tahun tiga jurusan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak yang dipercayai menghilangkan diri sejak Julai tahun lalu.

Mangsa dikatakan hilang dari kampus UIAM setelah keluar dengan seorang buruh kontrak yang dipercayai warga Bangladesh.

Kehilangan Nor Syuhada menjadi lebih misteri apabila ibu bapanya mengesan kesemua wang simpanannya sebanyak RM5,000 dalam bank telah dikeluarkan beberapa hari selepas dia menghilangkan diri.

Ibunya yang berasal dari Kok Lanas dekat sini, Nazirah Mohamad Yusoff, 54, berkata, anaknya itu dikatakan keluar seorang diri dari asrama pada pukul 6.30 pagi 25 Julai lalu dan terus menghilangkan diri sehingga hari ini.

Katanya, dia dan suami membuat laporan polis pada keesokan harinya di Balai Polis Gombak, Selangor selepas usaha mencarinya gagal.

"Kehilangan anak saya diketahui apabila pengetua asramanya menghubungi suami saya, Naina Mohamad Sultan kira-kira pukul 3 petang pada akhir Julai lalu.

"Menurut rakan-rakannya, anak saya mungkin keluar bersama seorang buruh kontrak yang dipercayai warga Bangladesh dikenali sebagai Rauf," katanya di sini semalam.


SEKUMPULAN pelajar wanita di kampus UIAM di Gombak.

--------------------------------------------------------------------------------


Mereka sekeluarga yang tinggal di Taman Wira Jaya, Kok Lanas dekat sini cuba menghubungi anaknya tetapi gagal. Panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Nor Syuhada tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini malah dia sentiasa ceria, kata ibunya

Menurut Nazirah, dia tidak mengenali Rauf dan anaknya itu tidak pernah menceritakan mengenai lelaki itu.

"Kalau diikutkan perangai, dia (Nor Syuhada) seorang yang pendiam dan pemalu sejak dari bangku sekolah lagi, sebab itu dia tak ramai kawan, jadi saya tidak pernah syak apa-apa yang pelik," tambahnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...