Oleh Saipul Adli Mohamad
JOHOR BAHRU: “Saya tak sanggup lagi terpisah dengan anak keempat ini selepas tiga anak diserahkan untuk dipelihara orang lain,” rintih ibu tunggal, Julina Ismail, 31, yang sanggup bergolok-gadai asalkan dapat menjaga bayinya yang tiada otot dinding perut.
Bayi cacat itu, Muhammad Ramadhani, 15 bulan, lebih suka meniarap termasuk ketika tidur, tidak seperti bayi normal yang kebiasaannya terlentang.
Dia tidak boleh berdiri atau berjalan kecuali bergerak secara mengengsot dada ke depan seperti katak merangkak menyebabkan ada orang mendakwa kononnya bayi itu terkena kenan katak.
Bilangan tulang rusuknya juga hanya separuh berbanding bayi normal menyebabkan badan Muhammad Ramadhani tidak dapat menampung usus menyebabkan perutnya menggeleber ke kiri dan kanan badan.
“Dia cuma boleh duduk sekejap saja kerana cepat semput,” kata Julina ketika ditemui di rumah keluarga angkatnya di Jalan Ulu Tiram di sini, semalam.
Episod malang Julina bermula apabila Muhammad Ramadhani yang dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada 8 Oktober 2007 disahkan menghidapi sindrom Prune Belly iaitu dilahirkan tanpa otot pada dinding perut hadapan.
Difahamkan, kecacatan itu hanya berlaku pada satu daripada 40,000 kelahiran dan hanya dialami lelaki. Lebih memburukkan keadaan, Muhammad Ramadhani turut mengalami komplikasi buah pinggang kerana injap ginjalnya terpesong.
“Saya pernah bekerja kilang secara kontrak, tapi diberhentikan kerana kerap mengambil cuti untuk membawa anak mendapatkan rawatan susulan di hospital.
“Sekarang sudah dua bulan saya tak bekerja, apa lagi tiada orang berani menjaga Muhammad Ramadhani kerana takut melihat keadaannya.
“Saya terpaksa ke hospital atau klinik kerajaan dua minggu sekali untuk mengambil ubat antibiotik bagi mengelak jangkitan kuman pada buah pinggangnya,” katanya.
Julina berkata, dia terpaksa tinggal di merata tempat termasuk menumpang rumah rakan kerana malu kembali ke pangkuan keluarga berikutan kesilapan lamanya.
“Kini saya tinggal di rumah keluarga angkat sejak seminggu lalu dengan segala makan dan minum, lampin dan susu mengharapkan ihsan mereka,” katanya.
Mengimbas sejarah hidupnya, Julina mengaku tersilap langkah apabila tetap mengahwini seorang lelaki warga Indonesia pada 2001 walaupun tidak mendapat restu keluarga. Lebih malang, perkahwinan itu tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa.
Menurutnya, lelaki yang tidak didedahkan namanya itu dikenali selama lapan tahun ketika bekerja kilang di Senai.
Julina berkata, apabila rumah tangganya bergelora, suaminya mengugut mahu melarikan dua daripada tiga anak mereka ketika itu ke Indonesia menyebabkan dia mengambil keputusan menyerahkan anak pertama dan kedua kepada keluarga angkat sebelum lelaki terbabit menceraikannya yang sedang mengandung anak keempat sebelum menghilangkan diri tanpa sebarang berita pada awal 2007.
“Apabila suami mengugut mahu membawa dua anak pulang ke Indonesia, saya tiada pilihan kecuali menyerahkan anak pertama (lelaki berusia lima tahun) dan kedua (perempuan berusia empat tahun) kepada keluarga angkat, manakala anak ketiga dijaga ibu saya di Masai kerana saya tidak mampu menanggung mereka.
“Memang hiba apabila terpaksa menyerahkan anak kandung kepada orang lain. Sejak diserahkan, saya tidak tahu di mana anak sulung berada kerana tidak pernah berjumpa lagi dengannya.
“Anak kedua pula saya dengar khabar dipelihara satu keluarga di Kota Tinggi, tetapi tiada kesempatan menjenguknya.
“Ketika bercerai, saya sedang mengandung anak keempat dan ketika itu kandungan saya berusia empat bulan. Kini, sudah lebih setahun Muhammad Ramadhani dilahirkan, bekas suami masih tidak mengetahui anak keempatnya cacat seperti ini,” katanya.
Menurutnya, ada orang mencadangkannya menyerahkan Muhammad Ramadhani kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi dia tidak tergamak berbuat demikian, apa lagi selepas kehilangan tiga anaknya.
Julina berkata, dia pernah membawa Muhammad Ramadhani meminta bantuan Bahagian Zakat Jabatan Agama Johor (JAJ) pada September lalu dan diarahkan menunggu supaya petugas terbabit datang ke rumah tetapi sehingga kini kelibat mereka tidak muncul.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh datang ke rumah ibu angkatnya di Lot 415, belakang stesen Esso, Jalan Ulu Tiram atau menghubungi ibu angkatnya, Dewi Moreni Embok Tua di talian 013-7010586.
http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20090124090139/Article
No comments:
Post a Comment