Tuesday, January 20, 2009

Bukan sebab letak Wan Farid - KJ


Bukan sebab letak Wan Farid - KJ
Jan 2009 10:30AM

KUANTAN: Faktor calon bukan punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu semalam.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, ia juga bukan disebabkan kelemahan parti dan UMNO tetapi berpunca daripada banyak faktor yang perlu dilakukan bedah siasat serta diatasi.

Katanya, andaian kegagalan BN mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berpunca daripada satu gelombang besar penolakan rakyat terhadap parti juga tidak tepat kerana calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh masih mendapat sokongan daripada lebih 30,000 pengundi.

"Tetapi kita kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita termasuk iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan.

"Ini boleh menjadi satu pengalaman yang baik kepada kita kalau kita boleh menggunakan pengalaman itu untuk kebaikan parti,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini

Khairy berkata demikian ketika ditemui semasa menziarahi keluarga bekas Ketua Pemuda UMNO Cawangan Balok Pine di sini, Allahyarham Zahari Baharom yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1 Oktober lalu.

Malah kata Khairy, kekalahan BN itu juga perlu dijadikan pengajaran untuk membina semula pendekatan dan persiapan lebih menyeluruh bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pilihan raya kecil itu juga memberi pengalaman kepada parti khususnya Pemuda BN sendiri supaya kekal bersatu bagi menghadapi ujian lebih mencabar pada masa hadapan.

Tegasnya, Pemuda BN menerima keputusan pilihan raya kecil itu yang berlangsung dalam suasana politik tanah air masih mencabar, dengan hati terbuka kerana ia bukan noktah untuk pergerakan tersebut meneruskan usaha untuk menawan semula hati pengundi muda.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau tidak menolak kemungkinan kekalahan BN berpunca daripada peratusan jumlah pengundi yang keluar mengundi, yang disifatkannya lebih rendah berbanding jangkaan sebenar BN iaitu melebih 83 peratus.

Perkembangan itu katanya, menyaksikan calon yang bertanding lebih bergantung kepada sokongan pengundi tegar di kalangan ahli parti masing-masing, dengan ahli Pas dikatakan lebih ramai keluar bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sedangkan katanya, sebahagian ahli UMNO mengambil sikap ambil mudah dengan tidak keluar menunaikan tanggungjawab mereka kerana beranggapan pilihan raya itu hanya sekadar pilihan raya kecil dan tidak membawa makna yang besar.

"Sebab ia tidak akan mengubah kerajaan, tidak memberi kesan terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerana ia bukan pilihan raya umum maka mereka tidak kisah. Jadi di situ ada sedikit kealpaan untuk pengundi keluar mengundi atau pengundi luar balik mengundi," katanya. / Utusan

http://www.klpos.com/news/2009/01/19/4.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...