Tuesday, January 20, 2009

Caj RM1.2 juta: Bebas tindakan, Angkasawan Negara lega



Selasa Januari 20, 2009

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memutuskan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor berhubung dakwaan mengumpul kekayaan sehingga RM1.2 juta melalui beberapa siri ceramahnya.


Perkara tersebut diumumkan oleh Menterinya, Datuk Dr. Maximus Ongkili, semalam.


Bagaimanapun Ongkili berkata, siasatan terhadap pertuduhan itu mendapati Sheikh Muszaphar telah melanggar beberapa fasal-fasal dalam kontraknya dengan kementerian.


Katanya pihak kementerian telah menghantar satu surat tunjuk sebab kepada angkawasan itu dan beliau menjelaskan ceramah-ceramah yang dihadirinya itu adalah selepas waktu pejabat ataupun semasa berada di luar negara dan tindakannya itu tidak menjejaskan tugasnya di kementerian.


"Beliau (Sheikh Muszaphar) telah menyediakan penjelasannya untuk persoalan dalam surat itu termasuk mengapa beliau mengenakan bayaran untuk sesi ceramahnya.


"Dan kami berpendapat alasannya boleh diterima jadi tiada sebab untuk membawa perkara ini lebih lanjut," katanya selepas melancarkan logo kementeriannya di sini, semalam.


Katanya, melalui siasatan yang dijalankan, walaupun Sheikh Muszaphar mengenakan bayaran dalam ceramahnya, jumlah itu tidak mencecah jutaan ringgit.


Ongkili turut menjelaskan bahawa terdapat maklumat yang kurang jelas dalam kontrak terdahulu yang turut menjadi sebab mengapa pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan.


Tambah beliau lagi, peguam kementerian mula mengambil langkah susulan bagi menyediakan kontrak baru selepas cuti Tahun Baru Cina.


"Kontrak baru dibuat berdasarkan kelemahan dalam kontrak sedia ada.


"Sheikh Muszaphar telah menyatakan hasratnya untuk meneruskan khidmatnya dengan kementerian namun bagaimanapun ia terpulang kepada persetujuannya berdasarkan kontrak baru nanti," katanya.


Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar ketika dihubungi menyambut baik keputusan tersebut yang telah membersihkan namanya daripada tuduhan sebelum ini.


"Saya gembira kerana nama saya telah dibersihkan, saya berharap orang ramai akan memahami (perkembangan terbaru ini)," katanya yang malam ini akan berlepas ke Gaza untuk berkhidmat bersama pasukan perubatan Palestin.


Jelas beliau lagi, keaadaan ini menunjukkan bahawa dakwaan yang mengaitkan dirinya itu tidak benar sama sekali.


Sebelum ini, sebuah akhbar dan portal berita melaporkan Sheikh Muszaphar didakwa mengenakan bayaran RM8,000 bagi sejam sesi ceramah yang membolehkannya memperoleh kira-kira RM1.2 juta tidak termasuk kos penginapan hotel dan pengangkutan.


Berikutan laporan itu, kementerian melantik tujuh panel khas, dipengerusikan Timbalan Menteri MOSTI, Fadilah Yusof untuk menjalankan siasatan.


Dalam perkembangan yang berkaitan, Sheikh Muszaphar berkata hingga kini beliau masih belum membuat keputusan untuk meneruskan kontraknya bersama MOSTI ataupun sebaliknya.


Bagaimanapun katanya, sama ada akan terus berkhidmat dengan kementerian itu ataupun tidak, beliau akan terus memberi sumbangan untuk membangunkan progran angkasawan negara secara langsung ataupun tidak langsung.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_berita/20090119172117&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...