Tuesday, January 20, 2009

Keputusan Kuala Terengganu bukan penanda aras bagi pilihan raya Sarawak



Selasa Januari 20, 2009



KUCHING: Keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Trengganu yang menyaksikan PAS merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), tidak akan digunakan sebagai penanda aras dalam mana-mana pilihan raya, termasuk pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 2011, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, semalam.


Taib, yang juga pengerusi BN Sarawak berkata bukan mudah untuk membuat rumusan daripada satu pilihan raya kecil, termasuk keperluan untuk menjenamakan semula BN bagi memenangi hati dan minda rakyat.


"Tidak wujud perkara seperti penanda aras dalam mana-mana pilihan raya dan berdasarkan keputusannya, walaupun BN kalah, undi bagi BN agak tinggi disebalik hakikat banyak orang kata kepada saya yang calonnya kurang popular di kalangan pengundi," katanya selepas menyampaikan Anugerah ICT Media Sarawak 2008 kepada pemenang di pejabatnya di sini.


Pada pilihan raya kecil itu Sabtu lepas, Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 2,631 undi manakala calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam hanya meraih 193 undi.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Razali Ismail dari BN, yang mengekalkan kerusi itu dengan majoriti tipis 628 undi pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/20/mstar_berita/20090119150129&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...