Monday, February 9, 2009

Ibarat anjing menyalak bukit

IPOH: Ibarat anjing menyalak bukit. Begitulah gambaran mengenai keengganan Pakatan Rakyat Perak menerima hakikat mereka hilang kuasa pemerintahan di Perak.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebaliknya bertegas masih menganggap dirinya sebagai wakil kerajaan negeri yang sah dan hanya akan berundur selepas mahkamah mengisytiharkan sebaliknya.

Berikutan itu, Mohammad Nizar pada pagi semalam mempengerusikan apa yang dikatakan sebagai ‘mesyuarat khas exco kerajaan negeri’ di kediaman rasmi Menteri Besar bermula jam 11.15 pagi dan berakhir 12.40 tengah hari.

Mesyuarat itu bagaimanapun diadakan tanpa kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Pegawai Kewangan Negeri, Jamalludin Al Amini Ahmad, selain tidak merujuk terlebih dulu kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, sebagaimana kebiasaan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Tidak hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sepetang, Tai Sing Ng dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini menyandang jawatan Exco Pembangunan Industri, Perdagangan dan Penerangan kerana dikatakan pergi ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur selain dua bekas Exco yang kini menjadi Adun bebas, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Mohd Jailu.

Mohammad Nizar pada sidang medianya berkata, perkara itu tidak perlu merujuk kepada Sultan Perak terlebih dulu kerana ia adalah mesyuarat khas, manakala kehadiran pegawai kanan negeri juga tidak perlu kerana mereka bersifat pemerhati dan ‘ex-officio’ iaitu tidak boleh mengundi dan membuat keputusan.

Ditanya mengenai kesahihan mesyuarat itu, beliau mendakwa ia adalah sah dan segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan berkaitan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090208084903/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...