Monday, February 9, 2009

Pusat karaoke tukar haluan

KUALA LUMPUR: Pada awal 1990-an, pusat karaoke di negara ini mula berkembang dengan pasaran awalnya untuk keluarga bersantai, tetapi kini lebih banyak menukar haluan kepada penyediaan khidmat GRO selain seks demi meraih keuntungan dengan cara mudah.

Punca utama pertukaran operasi ialah keuntungan dan selebihnya untuk bersaing dengan pusat karaoke lain yang menyediakan khidmat songsang bagi mengelak premis mereka ‘tutup kedai’.

Bagi pusat karaoke Red Box, teras perniagaannya menumpukan kepada empat tahap pengunjung daripada kanak-kanak hingga dewasa.

Eksekutif Pemasaran dan Pengiklanan Red Box, Raja Marliza Safia, berkata tiada gejala negatif dijalankan di Red Box, termasuk penyediaan khidmat GRO untuk melayan lelaki hidung belang.

“Red Box beroperasi dari jam 11 pagi hingga 3 pagi setiap hari. Ia dibahagikan kepada empat sesi dengan sesi pertama dari jam 11 pagi hingga 3 petang. Ketika itu, pelanggan biasanya pekerja pejabat.

“Dari jam 3 petang hingga 6 petang pula, kanak-kanak sekolah yang datang. Bagaimanapun, jika mereka berpakaian seragam sekolah, mereka tidak dibenarkan masuk.

“Dari jam 6 petang hingga 10 malam pula, biasanya yang datang ialah keluarga dan seterusnya jam 10 malam hingga 3 pagi pula kurang pelanggan yang hadir,” katanya.

Mengenai kewujudan pusat karaoke yang lebih menjurus kepada aktiviti kurang sihat, Raja berkata, jumlahnya memang banyak kebelakangan ini, tapi ia tidak menjejas dan mempengaruhi matlamat perniagaan Red Box.

“Kami tetap dapat terus beroperasi walaupun tidak menyediakan khidmat negatif kerana pelanggan yakin, selain kami tidak mahu terbabit dalam gejala itu,” katanya.

Bagi pusat karaoke KIOSK Box Technology atau K-Box, Ketua Bahagian Pemasarannya, Badrul Hisham Abdul Wahab atau nama komersialnya Dankerina, turut mengakui kebelakangan ini wujud banyak pusat karaoke yang dipenuhi unsur negatif.

“Pusat karaoke yang menyediakan khidmat GRO dan lebih teruk lagi khidmat seks, memang banyak dan seolah-olah tidak dapat dibendung kewujudannya pada masa ini. Ia mungkin kerana kurang pengawasan pihak berkuasa atau kelicikan mereka menyembunyikan operasi.

“Dalam masa sama, pengunjung wajar dipersalahkan. Memang hak masing-masing untuk berhibur di pusat karaoke, tetapi mereka sebenarnya perlu tahu mana yang baik dan sebaliknya,” katanya.

Menurut Dankerina, K-Box tidak pernah dan tidak akan sekali-kali menawarkan khidmat songsang seperti itu kerana yakin dengan pasaran besar keluarga yang mahu bersantai di sana.

Kerana itu, katanya, K-Box turut tidak menyediakan minuman keras di cawangannya kecuali di beberapa lokasi kerana pengunjung sebahagian besarnya bukan Islam.

“Bilik untuk berkaraoke di K-Box lutsinar dan pihak lain boleh tahu jika ada berlaku gejala negatif. Diharap pihak berkaitan melakukan sesuatu bagi memastikan pusat karaoke yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan, disalahguna oleh pihak berkepentingan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090208084655/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...