Friday, February 6, 2009

PAS tidak iktiraf kerajaan BN Perak


KOTA BHARU: PAS tidak akan mengiktiraf kerajaan baru negeri Perak yang diterajui Barisan Nasional (BN), kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya beliau berpegang pada pendirian bahawa pilihan raya patut diadakan semula bagi memberi peluang rakyat memilih kerajaan mana yang mereka mahukan.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS percaya perkembangan terbaru yang berlaku di Perak itu didalangi pihak tertentu.

"Saya harap perkara ini tidak berjangkit ke negeri lain termasuk Kelantan. Kalau nak tubuh kerajaan, hendaklah dipilih oleh rakyat, bukan main tangkap saja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya di sini, hari ini.

BN hari ini secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat apabila Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Sementara itu, ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak mahu mengulas tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada Selasa ini. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_berita/20090206210217&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...