SELALU orang berpesan supaya memandang setiap perkara atau elemen daripada perspektif positif dengan harapan emosi dan minda kita tidak terganggu dengan unsur-unsur yang mencemarkan.
Aditya percaya sangat dengan situasi itu dan selama ini, itulah yang memacu pengisian penulisan kolum ini. Namun ada juga yang berpendapat, kita harus melihat yang negatif untuk dijadikan teladan bersama.
Inilah hakikatnya, baik yang negatif atau hitam, pandangan kita perlu positif dan putih. Dalam erti kata lain, usah buruk sangka.
Bagaimanapun kali ini Aditya ingin membawa satu situasi selepas mendengar cerita daripada seorang pelakon berpengalaman mengenai Muzikal Puteri Gunung Ledang. Ya, muzikal itu telah tamat pementasan musim ketiganya baru-baru ini.
Tiada niat untuk memanggil pahat bertukang semula mengeluarkan bunyi selepas rumah sudah siap dibina tetapi apa yang diperdebatkan pelakon itu baru-baru ini ada kebenarannya. Sangat nyata!
Nyatanya juga persembahan muzikal itu hebat. Itu dari segi kosmetik dan fizikalnya, tidak dinafikan. Namun cerita-cerita yang dibangkitkan aktor berkarakter tadi membuatkan Aditya menilai semula kebenarannya dan kealpaan kita terhadap apa yang dipersembahkan dalam teater yang disamatarafkan dengan pementasan West End atau Broadway.
Lebih kurang begini bunyi kata-kata aktor tersebut: “Di manakah letaknya maruah lelaki Islam dan Melayu hanya kerana menghambat cinta serang Puteri Majapahit yang beragama Hindu? Di manakah kuatnya Hang Tuah yang selama ini diagung-agungkan sebagai pahlawan Melayu tetapi kecundang oleh cinta gadis Hindu?
Kerajaan Demak kerajaan Islam tetapi sanggup berperang dan bermusuh hanya kerana perempuan Keraton Majapahit itu.
Di manakah letaknya air muka pemimpin kerajaan Islam? Sultan Melaka juga sanggup bergadai nyawa anak sendiri hanya untuk memenuhi tuntutan nafsu dan keegoaan yang tidak bertepi. Di manakah perginya bangsa yang dipandang tinggi oleh kerajaan serantau?
Hakikat ini kita lihat di dalam naskhah Muzikal Puteri Gunung Ledang oleh Enfiniti Productions dan persoalan yang timbul itu hasil daripada perhalusi pengamatan aktor tadi dan Aditya tidak menafikan kebenaran itu yang selama ini Aditya sendiri alpa ‘memandang’ sedalam pandangan aktor tersebut.
Dia langsung tidak kisah dengan pementasan hebat itu tetapi ‘marahnya’ hanya kepada pengisian ceritanya.
Namun yang selama kita tahu, begitulah hakikatnya cerita mengenai Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan Melaka serta tujuh syarat yang ditetapkan oleh puteri tersebut kepada sultan yang ingin menyuntingnya sebagai permaisuri Melaka.
“Memang benar, itu yang tercatat dalam sejarah tetapi kenapa naskhah begitu yang dibentangkan dalam pementasan? Tidakkah itu membuka pekung yang penglibat-penglibat utama (Sultan, Hang Tuah dan Demak) sekali gus memalukan bangsa dan agama kita,” kata aktor itu. Bagaimanapun kata-kata ini bukan ayat sebenar, tetapi bunyi maksudnya lebih kurang begitu.
Seperti yang diperkatakan tadi, dia tidak kisah dengan pementasan muzikal berkenaan sebaliknya malu dan marah terhadap pengisian ceritanya.
“Tak malukah kita memberitahu bangsa lain akan kebodohan orang kita yang tunduk hanya kepada nafsu terhadap seorang perempuan Hindu?” sambungnya lagi.
Sensitif benar pelakon hebat itu, terkesan daripada pandangan dalamnya. Memang kita tidak nafikan kehebatan pementasan muzikal yang mendapat pujian ramai itu tetapi apa yang diperkatakan oleh aktor tadi juga ada benarnya.
Bagaimanapun Aditya sedar, isu ini agak sensitif dan kurang relevan dengan era sekarang. Mungkin itu era pemerintahan Sultan Melaka sebaliknya kini jauh berubah.
Kahwin campur bukan lagi perkara asing kerana cinta itu tidak mengenal sesiapa. Ia datang menyinggah tanpa kita ketahui siapa sebenarnya jodoh kita. Allah Maha Bijak untuk mengaturkan perjalanan makhlukNya.
Cuma pinta pelakon itu, carilah naskhah yang lebih bermoral dan membangunkan semangat orang kita daripada aspek kerohanian dalam membentuk modal insan.
Namun Puteri Gunung Ledang ini satu daripada puluhan ribuan naskhah tempatan. Aditya percaya, banyak lagi yang mungkin sewaktu dengan karya berkenaan.
Barangkali aktor tadi bercakap mengenainya kerana teater itu hebat diperkatakan di media massa serta pemerhati industri seni.
Biasalah kalau dah popular, ramai yang ingin memperkatakan dan ada idea untuk turut membualkannya. Kalau yang tak popular, tak ramai pula yang mengambil bahagian.
No comments:
Post a Comment