Mar 18, 09 11:53am |
Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu memberi kata kedua kepada majikannya: meteraikan perjanjian bersama (CA) penggal 2008 hingga 2011 menjelang jam 6 petang Isnin depan atau menghadapi piket semasa perhimpunan agung Umno yang bermula keesokannya. Pengerusi NUJ Utusan, Amran Ahmad berkata keputusan berpiket itu dibuat oleh majoriti ahli exco kesatuan dalam mesyuarat pada 11 Mac lalu bagi memberitahu Umno, sebagai pemilik syarikat, mengenai masalah wartawan akhbarnya. "Kesatuan merasakan rundingan antara majikan Utusan dengan kesatuan tidak akan membolehkan kakitangan menikmati hak dan kebajikan yang setaraf dengan industri, justeru campur tangan pemilik Umno perlu bagi membantu kesatuan," katanya. "Sebelum ini, kami telah menghantar surat kepada presiden Umno, timbalan presiden Umno serta beberapa menteri dari Umno tetapi tidak mendapat maklum balas dan piket ini adalah medan komunikasi yang berkesan untuk menyuarakan masalah kami." NUJ Utusan mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar keluaran Utusan Melayu (M) Berhad, Utusan Malaysia,Mingguan Malaysia dan Kosmo!. Tuntutan NUJ Utusan bagi CA penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelasaran gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu. Rundingan CA terbaru NUJ Utusan itu adalah sambungan kepada CA lama yang telah tamat pada 31 Julai tahun lepas. Mengulas lanjut, Amran berkata, NUJ Utusan bertekad untuk meminta pelarasan gaji 10 peratus untuk tempoh tiga tahun akan datang kerana NUJ cawangan The Star mendapat pelarasan 14 peratus, manakala NUJ kumpulan New Straits Times Press (NSTP) yang sedang berunding menerima tawaran 12 peratus. "Permintaan kami ini tidak keterlaluan kerana masih di bawah pelarasan gaji kakitangan The Star dan NSTP selain Utusan diyakini mempunyai dana yang mencukupi untuk membuat bayaran tersebut kerana sedang merancang untuk membina bangunan baru berharga RM60 juta," jelasnya. Jika piket ini tidak berjaya untuk membantu matlamat kesatuan, tambah Amran, NUJ Utusan akan terus berusaha mengadakan pertemuan dengan lebih ramai pemimpin Umno bagi mendesak agar pengurusan atasan Utusan Melayu (M) Bhd memenuhi permintaan kesatuan. http://www1.malaysiakini.com/news/100427 |
No comments:
Post a Comment