Saturday, March 21, 2009

Kakak Tua: Antara 'angan-angan' Tiara dan Raja Azmi?


Kakak Tua: Antara 'angan-angan' Tiara dan Raja Azmi?

Penerbit filem Raja Azmi kelihatan bersama pemain badminton Roslin Hashim sewaktu Gelanggang Akhir Raja Lawak baru-baru ini.


RESAH rasanya bila tidak dapat menitipkan sepatah kata buat renungan sahabat Kakak Tua, penerbit terkenal Raja Azmi yang kian ghairah untuk meneruskan niatnya membuat filem 'Anu dalam botol.'

Banyak yang tidak kena pada fikiran tua ini bila Raja berdegil juga untuk meneruskan idea dan penerbitan filem yang diinspirasikan dari kisah seorang 'gay.'

Belum tentu lagi, filem ini dapat membawa nama Raja ke mercu kejayaan kepada industri filem Melayu, tapi mungkin juga bukan itu yang diinginkan Raja.

Yang berdetik di hati Kakak Tua ialah, kehebatan promosi yang diberikan kepada filem ini. Bagai nak rak hebohnya, kalahkan kempen pilihanraya.

Audition saja sudah mendapat liputan luas dari media perdana. Itu belum lagi liputan pengambaran dan sebagainya. Rasa-rasanya kalau momentum begini dikekalkan, harus filem ini akan 'pecah panggung'?

Bijak sungguh Raja Azmi menyusun strategi pemasarannya. Baik dari segi 'mengujudkan' kontroversi, mensensasikan projek terbaru dan kepetahan memberi komen-komen yang sudah pasti akan tersiar dek bisa ayat yang dikeluarkan itu.

Walaupun kadangkala komen itu tidak berkenaan projek terbaru, komen peribadi yang diucapkan sewaktu dia membela pemain badminton Roslin Hashim yang sedang menghadapi proses penceraian, pun boleh terduduk kita membacanya.

Tapi setakat itu sajalah....kerana selalunya air beriak tanda tak dalam.


Datin Seri Tiara Jacquelina yang selalu inginkan kecemerlangan dan kesempurnaan dalam apa saja yang diceburinya.

Di awal penerbitan filem pertamanya Black Widow, Cinta 200 Ela dan Haru Biru (mungkin ada beberapa lagi yang terlepas pandang), Raja masih gagal meraih kejayaan atau pulangan memuaskan.

Tak ubah seperti 'ayam yang baru belajar berkokok', telor sebiji riuh sekampung.

Kakak Tua tidak suka sangat sikap seperti ini kerana yang pasti ianya akan memakan diri bila cakap tidak serupa bikin.

Lainlah kalau Raja sudah 'season' dengan permainan seperti ini.

Mengikut 'track record' yang sudah-sudah, cakap apapun, penerbit wanita yang masih jelita ini akan teruskan juga niatnya membuat filem kontroversi yang banyak ada riak-riak ke arah 18SX itu.

Dalam hal ini, Kakak Tua suka sangat tengok cara kerja Pengetua baru AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina. Tegas, konsisten dan diam-diam ubi cara dia bergerak.

Tahu-tahu lepas saja kejayaan produksi PGLM di Istana Budaya, selang beberapa hari dia terus saja ke tugas yang lebih mencabar, cuba membentuk bakat-bakat baru untuk menjadi bintang.

Ada yang kata, Tiara tidak cukup layak untuk kerusi Principal. Kata-kata beginilah yang akan terus membakar semangat Tiara untuk buktikan keunggulan dan keupayaan yang dimilikkinya.

Kalau lihat bagaimana dia berjaya membawa namanya dari seorang model hingga ke status sekarang, mungkin kita akan berfikir 10 kali untuk memperlekehkan kemampuannya.

Cuma, harap-harap Tiara dapat menerima teguran membina dari masa ke semasa.

Selalunya apabila berada di puncak, berapa ramai yang akan melihat rumput di bumi dengan pandangan yang sama.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/3/20/mstar_kolum_kakaktua/20090319105031&sec=mstar_kolum_kakaktua

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...