Monday, March 30, 2009

Tidak berhenti melawan

Kemahiran seni mempertahankan diri dan anjing Labrador masih gagal menyelamatkan Meredith Emerson daripada diculik dan dibunuh lelaki tua.


HILTON cuma mahukan kad ATM Emerson sebelum tiba-tiba dia membunuh wanita itu.


LELAKI yang dinamakan pihak polis Georgia, Amerika Syarikat, sebagai ‘orang dalam perhatian’ berikutan kehilangan seorang wanita dan anjing Labradornya di Blood Mountain pada 1 Januari 2008 telah tampil ke mata awam.

Pada mulanya pihak polis melabel kehilangan Meredith Emerson, 24, sebagai kes orang hilang. Bagaimanapun wujud tanda-tanda bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada wanita muda itu.

Sebuah botol air, kolar si anjing bernama Ella dan sebatang baton boleh laras ditemui pada jejak itu.

Malah, Emerson juga dikatakan dilihat pada kali terakhir oleh orang ramai berbual dengan seorang lelaki tua yang telah beruban, memakai sarung yang mencurigakan pada tali pinggangnya, dan mengikat baton boleh laras pada kakinya.

Saksi mengatakan Emerson dan lelaki tua itu membiarkan anjing mereka bermain bersama sepanjang laluan hutan itu sebelum mereka hilang ke dalam hutan.

Pegawai polis mengesan Gary Michael Hilton, 61, lelaki yang berketinggian 180 sentimeter dan seberat 73 kilogram, empat hari selepas itu di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ashford-Dunwoody. Dia kemudian disoal siasat tentang kehilangan Emerson.

“Emerson tidak ada bersamanya,” kata Penyiasat dari Union County, Kimberly Verdone.

Kenyataan itu telah melanjutkan pencarian mereka.




Penyiasat Union County, Kimberly Verdone, berkata sebanyak 15 pasukan mencari dan menyelamat profesional telah terlibat dalam usaha menjejak Emerson, antara selatan Georgia dan beberapa bahagian selatan Carolina.

Sebenarnya, Emerson tidak ada sebab untuk risau akan keselamatannya. Dia bukan saja penduduk asal Colorado, malah memiliki pengalaman yang luas dalam merentas hutan.

Dia juga membawa bersama anjing labrador hitamnya, Ella. Jika Ella tidak memadai untuk menjamin keselamatannya, Emerson juga mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri peringkat tali pinggang biru yang sudah cukup untuk menewaskan penyerang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripadanya.

Si anjing, Ella, ditemui berkeliaran di dalam sebuah kedai runcit di Cumming, kira-kira 100 kilometer dari tempat Emerson dilihat kali terakhir dan dikenal pasti melalui mikrocip yang tertanam dalam tubuhnya, kata Verdone.

Hilton, yang dipercayai merupakan orang terakhir dilihat bersama Emerson, dibawa ke Ibu Pejabat Biro Siasatan Georgia (GBI) di Atlanta untuk disoal siasat.

Hilton kemudiannya mengaku bersalah atas dakwaan membunuh Emerson dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan berkemungkinan mendapat parol selepas 30 tahun.




Dia telah bersetuju untuk membawa penyiasat kepada mayat Emerson sekiranya pendakwa raya tidak mencadangkan hukuman mati ke atasnya.

Hilton turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan seorang wanita yang ditemui mati tanpa kepala di hutan Florida pada 15 Disember 2007.

Seketika sebelum diculik dan dibunuh, Hilton telah menjejak laluan hutan Appalachian Trail di Union County bersama-sama Emerson pada 1 Januari 2008. Bagaimanapun lelaki berusia 61 tahun itu tidak mampu bergerak pada kelajuan yang sama.

Apabila Emerson turun semula ke kaki bukit, lelaki itu sudah menunggu di bawah dengan sebilah pisau gaya tentera di tangannya.

Tumbuk hingga patah tangan

Hilton meminta kad pengeluaran wang tunai (ATM) daripada Emerson. Emerson sebaliknya cuba mempertahankan diri, merampas pisau dan baton boleh laras daripada tangan Hilton dan cuba menyerangnya semula.

Hilton memberitahu penyiasat: “Dia tidak mahu berhenti melawan dan menjerit. Jadi saya perlu mengawal dan mendiamkannya.”

Hilton berkata dia telah menumbuk Enerson berkali-kali, menyebabkan kedua-dua belah matanya lebam dan mungkin juga telah mematahkan hidungnya.

Hilton mengakui tumbukan-tumbukan itu telah menyebabkan tangannya sendiri patah.

Apabila dia menyangka dia sudah berjaya melemahkan Emerson, wanita itu pula melawan balik.

Hilton menenangkan wanita itu dengan memberitahunya bahawa dia hanya mahukan kad kredit dan nombor identifikasi peribadinya (PIN). Kemudiannya, Hilton memandu Emerson dan anjingnya melalui laluan yang tidak pernah diikuti sesiapa ke arah van mininya yang berwarna putih.

Emerson memanjangkan hayatnya selama tiga hari dengan memberikan Hilton nombor PIN yang salah untuk kad ATMnya.

Pada hari Hilton membunuh Emerson, Hilton memberitahunya bahawa hari itu dia akan ‘pulang ke rumah.’ Hilton mengikat Emerson pada sebatang pokok, berjalan ke arah vannya untuk menguatkan semangat dan membancuh kopi.

Apabila Hilton kembali, Hilton berjalan di belakang Emerson dan memukulnya beberapa kali menggunakan hendal daripada sebuah jek kereta, sehingga mati.

Hilton tidak mempunyai kekuatan (semangat) untuk membunuh Ella. Apabila Bridges bertanya sekiranya Hilton mempunyai perasaan yang sama terhadap Emerson, dia menggambarkannya sebagai ‘seperti dalam mimpi.’

“Ia sesuatu yang sukar. Anda perlu ingat kami ada menghabiskan masa bersama selama beberapa hari,” kata Hilton kepada pegawai penyiasat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...