ahmadshahrul@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang isteri jelita menjadi gila akibat tidak mampu menahan pelbagai tohmahan dan desakan hidup apabila tuntutan fasakh tidak diselesaikan walaupun berbelas tahun difailkan di mahkamah syariah.
Walaupun wanita berkenaan memiliki rupa paras menarik sehingga menerima banyak lamaran untuk mendirikan rumah tangga, tindakan khianat suami menggunakan ‘kuasa’ dengan menjadikan mahkamah syariah sebagai alat, berjaya mendera emosi dan kehidupan isteri hingga kehidupan isteri porak-peranda dan akhirnya menjadi sewel.
Wanita berpendidikan tinggi yang berusia lebih 40 tahun itu kini terpaksa mengisi masa lapang dengan menjaja kecil-kecilan dari rumah ke rumah selain gemar bercakap sendirian.
Nasib isteri malang itu didedahkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad, yang mengakui wanita berkenaan menjadi sewel apabila tuntutan fasakhnya masih tidak dapat diselesaikan di mahkamah walaupun sudah berbelas tahun menunggu.
Menurutnya, beliau terkejut apabila wanita terbabit mendedahkan masalah itu apabila tidak dapat menanggung keperitan akibat tindakan suami menggunakan mahkamah bagi menderanya.
“Dia menuntut fasakh dan tidak boleh hidup dengan suami kerana mempunyai alasan kukuh yang sepatutnya dibenarkan mahkamah secepat mungkin.
“Bagaimanapun, pelbagai kerenah dilakukan suami menyebabkan kes berkenaan berlarutan sehingga mangsa menghampiri usia separuh abad.
“Lebih menyedihkan, isteri itu menjadi sewel dengan bercakap sendirian serta melakukan perkara yang mengarut,” katanya.
Beliau mengulas laporan Harian Metro baru-baru ini, mengenai keluhan seorang isteri, mahu dikenali Aisyah, 35, yang terpaksa menanti tujuh tahun sebelum mahkamah membenarkan tuntutan fasakhnya sehingga terpaksa menolak lebih 10 lamaran lelaki.
Bagaimanapun, kegembiraan itu direntap semula apabila suami wanita itu membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi supaya pelaksanaan keputusan itu ditangguhkan menyebabkan kes itu berlarutan dua tahun lagi.
Harian Metro turut melaporkan perbuatan suami melakukan aksi lucah di depan anak tanpa disedari selain menjadi simpanan seorang datin yang mahu nafsunya dipenuhi, menyebabkan isteri terpaksa menuntut fasakh di mahkamah.
Nakhaie berkata, semua wanita berkenaan tidak akan ditimpa nasib malang jika mahkamah bersikap adil dengan mengambil kira punca tuntutan itu dibuat.
Menurutnya, mahkamah sepatutnya bertindak cepat membenarkan permohonan itu jika alasan tuntutan ada kaitan dengan sikap suami yang membahayakan isteri dan anak.
“Isteri tidak akan sewenang-wenangnya melakukan perkara itu tanpa alasan kukuh dan apa yang dilakukan bagi mempertahankan hak dan keselamatan keluarga yang terancam.
“Adalah tidak masuk akal jika mahkamah sengaja mengikut rentak suami serta semua peraturan walaupun mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mempercepatkan sesuatu kes bagi memelihara keadilan,” katanya.
Beliau bukan mahu mempertahankan sesiapa, tetapi menuntut keadilan bagi menyelamatkan lebih ramai wanita yang menghadapi masalah emosi akibat kelewatan mahkamah yang boleh menyebabkan mereka sewel.
“Memang Allah membenci perceraian tapi ia diharuskan jika mempunyai sebab tertentu bagi menyelamatkan isteri yang mahu membina kehidupan lebih baik.
“Tidak mustahil kebenaran diberikan mahkamah syariah akan membolehkan isteri dapat memiliki kehidupan lebih baik berbanding hidup bersama suami yang memiliki sikap pelik dan boleh mengancam kehidupan mereka,” katanya.
Selain itu, kata Nakhaie, mahkamah wajar mempercepat dan menimbangkan kes fasakh jika alasan diberi membabitkan jenayah berat atau seksual yang dilakukan suami terhadap ahli keluarga.
Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan jika mahkamah syariah memiliki cukup bukti dan tidak membenarkan ia berlarutan bertahun-tahun bagi menyelamatkan isteri.
“Bagi saya, tempoh lama mungkin bukan masalah jika membabitkan kes tuntutan harta, tetapi apabila membabitkan keselamatan dan masa depan wanita, ia wajar diberikan perhatian serius.
“Mahkamah perlu membuka mata seluas-luasnya bagi membuat keputusan tepat dan tegas supaya golongan isteri dapat diselamatkan dan pada waktu sama mendidik suami supaya tidak sewenang-wenangnya memperalatkan mahkamah untuk kepentingan diri,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090424083429/Article/index_html
No comments:
Post a Comment