mizan@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Sebelum ini mangsa pukau hanya berdepan tekanan perasaan apabila wang dan barang berharga dilarikan tanpa sedar, tetapi kini mereka turut berdepan risiko ‘mati mengejut.’
Ini terbukti apabila tujuh daripada lapan wanita yang menjadi mangsa pukau serentak di Kota Damansara di sini, baru-baru ini mengalami muntah puluhan kali, dengan seorang daripada mereka menerima kesan paling teruk apabila memuntahkan darah.
Kejadian itu membabitkan kehilangan wang tunai dan barang kemas, mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000.
Mangsa penangan ‘pukau berdarah’ itu, Saniah Yusof , 43, berkata dia umpama berdepan maut apabila secara tiba-tiba muntah darah selepas dipukau seorang wanita sehingga kerugian kira-kira RM12,000.
Katanya, dia kehilangan kad pengenalan, lesen memandu, wang tunai RM300, dua rantai emas, satu gelang emas, empat bentuk cincin emas dan telefon bimbit.
“Saya terkilan kerana rantai leher saya yang dicuri itu saya pakai dan tidak pernah saya lucut sejak 30 tahun lalu. Lebih menyakitkan, apabila pulang ke rumah, saya berdepan penyeksaan apabila muntah secara tiba-tiba.
“Kalau sekali dua tidak mengapa. Ini puluhan kali sehinggalah saya berubat dan diberi minum air penawar. Selepas itu, muntah saya bertukar menjadi darah, daripada cair kepada berketul-ketul,” katanya.
Saniah berkata, ketika muntah darah itu, dia berasa sukar bernafas dan khayal manakala bulu roma pula tegak dengan sendirinya.
“Saya hairan mengapa saya jadi begitu. Apa yang saya tahu jika kena pukau, mangsa kebiasaannya khayal, tetapi saya bukan setakat khayal, tetapi muntah dan akhirnya muntah darah.
“Apabila sudah berulang kali muntah darah, barulah saya tidak lagi muntah dan sedar kembali,” katanya.
Menurut Saniah, dia juga hairan dengan keadaan enam lagi rakannya kerana mereka turut muntah selepas dia muntah.
“Secara tiba-tiba selepas saya muntah, ia berjangkit kepada rakan yang lain. Seorang demi seorang muntah.
“Seperti saya, mereka juga muntah puluhan kali. Bagaimanapun, tiada yang muntah darah seperti saya selepas berubat. Cuma, ada yang meracau, menjerit-jerit dan menunjukkan gaya seperti ular sedang melingkar,” katanya.
Menurut Saniah, berdasarkan pemerhatiannya dan turut dipersetujui rakannya yang lain, semua mangsa yang muntah sebelum ini bercakap dengan si pemukau.
“Seorang daripada kami tidak bercakap dengan wanita itu dan dia tidak muntah. Saya yang paling banyak bercakap dengan wanita itu menerima kesan lebih dahsyat apabila muntah darah.
“Mungkin dia memukau dengan cara menghembus kerana kami nampak dia beberapa kali menghembus sesuatu,” katanya yang membuat laporan polis bersama mangsa lain.
Dalam pada itu, anak Saniah, Sazalina Abd Malek, 19, mengakui masih lemah kerana muntah puluhan kali.
“Selepas ibu muntah, saya pula muntah. Dari pagi sehingga tengah malam saya tidak berhenti muntah sehingga badan menjadi lemah.
“Perasaan khayal saya juga berpanjangan dan hanya beransur pulih selepas berubat,” katanya.
Bagi Sayani Isa, 39, dia bukan setakat muntah, tetapi turut tidak sedarkan diri ketika berubat.
“Mangsa lain yang turut sama berubat beritahu saya meracau dan menjerit sehingga terpaksa dipegang kaki dan tangan. Paling menakutkan mereka beritahu saya melingkar seperti ular.
“Ketika itu memang saya tidak sedarkan diri. Apabila sudah sedar kepala dan badan sakit,” katanya.
Sayani berkata, pengalaman dipukau itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada dirinya.
“Tak sangka pula ada pukau seperti itu. Saya sangka pukau hanya buat mangsanya khayal, tetapi tidaklah seksa sampai muntah dan dirasuk,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Monday/BeritaUtama/20090427045413/Article
No comments:
Post a Comment