Monday, April 27, 2009

Kekejaman era Bush didedah


GAMBAR lakonan semula menunjukkan teknik mencurahkan air ke muka yang dilakukan oleh penyiasat-penyiasat Agensi Perisikan Pusat (CIA) ketika di era Bush.


WASHINGTON - Perancang serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS), Khalid Sheikh Mohammed diseksa dengan menggunakan teknik mencurahkan air sebanyak 183 kali di kepala ketika tangan dan kaki diikat manakala tubuhnya dibaringkan, lapor akhbar New York Times semalam.

Akhbar berkenaan melaporkan memo Jabatan Pertahanan AS dari 2005 menunjukkan teknik yang mirip melemaskan mangsa itu digunakan pada 2003 ketika George W. Bush berkuasa.

Dokumen Jabatan Pertahanan AS turut menunjukkan bahawa penyiasat-penyiasat Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik sama terhadap seorang lagi suspek Al-Qaeda, Abu Zubaydah sebanyak 83 kali di sebuah penjara rahsia di Thailand.


KHALID SHEIKH MOHAMED


Seorang bekas ejen CIA memberitahu bahawa Abu Zubaydah dilemaskan 35 saat di bawah permukaan air sebelum disoal siasat.

Abu Zubaydah merupakan tahanan yang pertama di soal siasat dalam program tahanan CIA di negara asing pada Ogos 2002.

Satu nota kepada memo pada 2005 berhubung penahanannya menyatakan teknik keras itu mungkin tidak perlu dilakukan.

Menurut akhbar itu, beberapa penyiasat percaya Abu Zubaydah sudah memberikan semua maklumat yang disimpannya selepas teknik soal siasat lain dilakukan.

Bagaimanapun, penyiasat-penyiasat tersebut diarahkan oleh pegawai di ibu pejabat supaya menggunakan teknik menggunakan air itu.

Presiden AS, Barack Obama melarang penggunaan teknik itu yang pernah digunakan ketika Bush berkuasa.

Pada minggu lalu, Obama membenarkan satu siri memo yang mendedahkan secara terperinci teknik soal siasat yang diluluskan oleh Bush disiarkan.

Bagaimanapun, penggunaan berulang kali teknik itu terhadap Abu Zubaydah dan Khalid Sheikh mencetuskan persoalan berhubung keberkesanannya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...