WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin mendakwa penderaan terhadap suspek pengganas menyebabkan moral yang diperjuangkan negara berkenaan musnah.
Obama turut membuka pintu kepada sebarang kemungkinan untuk mendakwa peguam-peguam bekas Presiden George W. Bush yang meluluskan soal siasat dengan cara mencurahkan air pada muka suspek.
Beliau turut mengaku bahawa satu siasatan mungkin diperlukan walaupun terdapat jaminan bahawa pihak yang terbabit dalam skandal itu tidak akan dihukum.
Namun, katanya, siasatan Kongres AS perlu untuk memastikan ia tidak menjadi perbalahan politik yang remeh-temeh.
Obama turut mempertahankan tindakannya menyiarkan memo rasmi yang mendedahkan sekumpulan peguam kanan pada era pentadbiran Bush meluluskan teknik soal siasat tersebut.
Presiden kulit hitam pertama itu turut bertegas bahawa pegawai-pegawai Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) kebal daripada sebarang pendakwaan kerana mereka bertindak atas arahan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Peguam Negara, Eric Holder, untuk memutuskan sama ada pegawai itu akan didakwa.
"Saya fikir terdapat banyak isu yang rumit terbabit," kata Obama.
Bekas Naib Presiden, Dick Cheney percaya AS tidak perlu memohon maaf terhadap dasar luarnya.
"Saya berpendapat adalah tidak perlu untuk memohon maaf kerana AS memimpin dunia," kata Cheney.
Teknik mencurahkan air ke muka seolah-olah seperti melemaskan suspek yang diharamkan oleh pentadbiran Obama.
Teknik itu diperkenalkan oleh Bush selepas serangan 11 September 2001.
Jabatan Keadilan AS menyatakan, para penyiasat CIA menggunakan teknik itu sebanyak 183 kali terhadap Khalid Sheikh Mohammed yang mendakwa dirinya terbabit sebagai perancang serangan 11 September 2001 di AS. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
No comments:
Post a Comment