Tuesday, May 19, 2009

4 jam tunggu ambulans

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ibu kecewa apabila anak perempuannya yang demam panas tidak diberikan sebarang rawatan awal biar pun dikenakan tindakan kuarantin kerana disyaki menghidap penyakit Influenza A (H1N1) sebaik tiba di Lapangan Terbang LCCT, Sepang dari United Kingdom, Rabu lalu.

Lebih menyedihkan apabila ibu itu mendakwa dia terpaksa menyaksikan pegawai perubatan yang ditugaskan di LCCT tidak memberikan rawatan kepada anaknya yang menghidap demam panas sebaliknya mereka berehat tanpa mempedulikan keadaan anaknya itu.

Ibu terbabit turut mendakwa terpaksa menunggu selama lebih empat jam di lapangan terbang berkenaan sementara menunggu ambulans yang akan membawa mereka ke Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini untuk rawatan.

Mangsa, Nor Syahirah Omar, 30-an, berkata dia yang baru tiba di lapangan terbang berkenaan kira-kira jam 4.20 pagi terus ditahan petugas kesihatan kerana mengesyaki anaknya itu menghidap H1N1.

“Disebabkan itu, kami berdua dikuarantin bersama beberapa lagi individu yang turut disyaki menghidapi virus berkenaan di kawasan menunggu sebelum beberapa petugas mendakwa akan membawa kami ke HSB.

“Ketika itu, hanya Tuhan saja tahu perasaan seorang ibu apabila anaknya disyaki menghidap virus berbahaya itu. Saya tidak putus-putus berdoa supaya anak saya segera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya menerusi e-mail yang dikirimkan kepada Harian Metro, semalam.

Menurut Nor Syahirah, selepas empat jam menunggu di bilik yang dikhaskan tanpa sebarang rawatan awal, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada pegawai bertugas.

“Cukup mengejutkan apabila saya melihat beberapa petugas beristirahat sambil membaca surat khabar seolah-olah tiada perkara buruk berlaku di sebuah bilik khas yang lengkap berhawa dingin.

“Disebabkan itu, saya mempersoalkan tindakan mereka menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum saya ditenangkan pegawai berkenaan,”
katanya.

Nor Syahirah berkata, sebaik ditenangkan dia cuba mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakan mereka yang menahan dia dan anaknya itu lebih empat jam tanpa memberikan rawatan awal. 

“Seorang daripada pegawai bertugas mendakwa mereka hanya membuka pusat kuarantin di lapangan terbang berkenaan sebaliknya rawatan lanjut akan diberikan di HSB.

“Saya terkejut dengan dakwaan itu dan mempersoalkan mengapa mereka tidak membawa saya dan anak ke hospital berkenaan dengan segera sebelum mereka mendakwa hanya dua buah ambulans dari Hospital Putrajaya dan Serdang.

“Terduduk saya dibuatnya sebaik terdengar alasan ‘bodoh’ seumpama itu sambil mengenangkan nasib yang bakal menimpa anak perempuan saya itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa kemudian dibawa ke HSB sebelum diberikan rawatan susulan namun dibenarkan pulang selepas didapati negatif daripada menghidapi penyakit berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Surveilliance / Kesihatan Awam, Dr Zainuddin Wahab, memohon maaf atas kelewatan ambulans disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Kami sedang mempertimbangkan untuk menambahkan ambulans sekiranya jumlah penumpang penerbangan luar negara yang disyaki menghidapi penyakit terbabit bertambah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090519071515/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...