Tuesday, May 19, 2009

Lelong kereta klon

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

CRV 'kembar' yang diperiksa anggota JPJ." title="PERIKSA...Nadzri (kanan) melihat dua kereta Honda
CRV 'kembar' yang diperiksa anggota JPJ." height="186" width="300" border="0">
PERIKSA...Nadzri (kanan) melihat dua kereta Honda 
CRV 'kembar' yang diperiksa anggota JPJ.

KUALA LUMPUR: Dua kereta Honda CRV dikesan memiliki nombor plat dan casis sama tetapi sebuah kereta klon.

Kewujudan ‘kereta kembar’ itu hanya disedari seorang daripada pemilik sebenar kereta berkenaan ketika hadir pada satu lelongan kereta import di ibu kota baru-baru ini.

Lelaki terbabit dikatakan terkejut mendapati plat kenderaan akan dilelong itu sama plat kenderaannya.

Dia membuat pemeriksaan pada casis dan didapati sama casis kenderaannya sebelum melaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berikutan itu, JPJ menyita kenderaan berkenaan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Mohd Nadzri Osman berkata pihaknya melalui Unit Siasatan Kenderaan (USK) biasanya akan melakukan beberapa prosedur pemeriksaan bagi membuktikan ketulenan mana satu kereta sah.

“Proses pemeriksaan menggunakan sejenis cecair kimia bagi melunturkan plat besi mencatatkan nombor casis kenderaan bagi mengesan sama ada nombor berkenaan cuba dipadamkan atau ‘diganggu’.

“Sebaik diperiksa menggunakan bahan itu, anggota mampu mengenal pasti kenderaan sah dan sebaliknya,” katanya.

Katanya, biasanya kereta klon ini dijual pada harga murah selain nombor casisnya ditiru serta memalsukan dokumen kereta sebenar bagi urusan jual beli.

“Pihaknya turut tidak menolak kemungkinan kenderaan klon berkenaan bakal digunakan bagi tujuan jenayah sekali gus memberi masalah kepada pengguna kereta asal,” katanya.

Justeru, Nadzri menggesa pengguna kenderaan bermotor negara ini supaya lebih berwaspada ketika melakukan urusan jual beli kenderaan dan tidak mudah terpedaya tawaran istimewa ditawarkan.

“Sekiranya harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa, berkemungkinan perkara seumpama ini berlaku dan jika ingin mendapatkan kepastian, setiap kenderaan yang mencurigakan perlu dilaporkan sebelum dibawa ke USK JPJ bagi tujuan pemeriksaan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...