Hishamuddin Rais | Mar 6, 09 3:02pm |
Penghormatan diberi, bukan boleh diminta-minta. Individu dihormati bukan kerana paksaan undang-undang atau akta kejam. Kalau ada sesiapa tidak ingin menghormati tuan, mandor, ketua pejabat, cikgu atau raja - tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Menangkap, merotan atau memenjarakan seseorang tidak akan melahirkan apa-apa penghormatan. Che Guevera dihormati anak-anak muda di seluruh dunia bukan kerana ada undang-undang daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau ada arahan daripada IMF atau Mahkamah Dunia. Che diberi penghormatan kerana hati naluri anak-anak muda mahu menghormatinya. Che Guevera tidak pernah meminta-minta penghormatan ini kerana dia telah lama mati. Penghormatan yang ditimbulkan melalui undang-undang, kuasa atau pangkat bukan penghormatan sebenar; ini semua penghormatan yang pura-pura. Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu dihormati kerana dapat memberi habuan kontrak. Malah Mahathir sendiri sedar hingga dia membebel sesudah kalah untuk menjadi delegasi Kubang Pasu ke perhimpunan United Malays National Organisation pada 2006 dahulu. Dia membebel kerana tidak ada lagi orang yang datang mencium tangannya. Lihat pula Abdullah Ahmad Badawi. Belum pun tamat tempohnya sebagai perdana menteri – kerana tandatangannya tidak lagi laku dan tidak mendatangkan kontrak – tidak ramai menteri dan para pembodek berhari raya di Kepala Batas tahun lalu. Berilah apa sahaja nama dan darjah penghormatan – Tun, Tan atau Tin – ia hanya tin-tin yang kosong dan tidak membawa apa-apa pengertian. Pakaikan baju kuning, merah atau kelabu, pasangkanlah tanjak tujuh tingkat, semuanya tidak ada makna. Rasa hormat datang daripada hati. Pada 1964 Jean Paul Sartre dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Dia tidak datang mengambil hadiah ini. Malah Sartre langsung tidak ambil peduli. Dia menolak penghormatan yang mengada-ada. Tetapi idea dan falsafah Sartre masih menggegarkan dunia. Idea dan falsafah inilah yang dinobatkan untuk dihormati, daripada segala bentuk penghormatan yang pura-pura. Bagitu juga Le Duc Tho yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan pada 1973. Dia juga tidak pergi ke Stockholm untuk mengambilnya. Hingga ke hari ini Duc Tho masih dihormati dan diingati sebagai patriot Vietnam yang merangka dan membuka jalan damai untuk negaranya pada 1972. Justeru apabila ada gerombolan yang meloncat mengambur meminta dan memaksa orang ramai agar menghormati raja, maka permintaan ini kelihatan sebagai lawak bodoh. Meminta dihormati, memaksa dihormati - atau melembagakan penghormatan - bukan penghormatan namanya. Penghormatan datang secara sukarela dari hati suci yang ikhlas dan jujur. Penghormatan yang suci bukan kerana upah, paksaan, atau janji pangkat dan kontrak. Kalau seorang anak sekolah ditarik telinga dan dipaksa menghormati guru besarnya, maka untuk beberapa saat (ketika telinganya sakit) mungkin anak sekolah ini akan berkata bahawa dia menghormati si guru besar. Terlepas sahaja telinganya daripada pulasan, anak sekolah ini bukan sahaja tidak akan menghormati si guru besar, malah besar kemungkinan si guru besar akan dibaling dengan najis. Ini hakikat. Apabila saya menulis artikel, awal Mac, cerita-cerita karut tentang daulat raja, tulah raja, jampi raja – semuanya tidak dipercayai lagi. Anak-anak muda hari ini tidak lagi gempaq dengan daulat raja – mereka gempaq dengan penyanyi rock n roll. Anak muda hari ini akan gempaq dengan pemain bola, pemusik, pelakon, penggodam internet atau pembawa counter-culture yang melawan arus. Ini hakikat bukan sahaja di Malaysia, malah inilah jalur pemikiran anak muda di seluruh dunia. Pergi lawati bilik anak muda – tidak mungkin ditemui gambar Sultan, Raja atau Shah di dinding bilik mereka. Besar kemungkinan akan ditemui gambar sebuah kugiran rock, wajah seorang bintang rock atau mungkin poster Che Guevera. Belum pernah ada dalam dunia ini seorang anak muda yang akan bergadai-bergolok untuk mendapatkan baju T gambar seorang raja – tetapi mereka sanggup ke e-bay untuk membida baju arwah John Lennon yang ori. Ini hakikat rasa hormat dan cinta kerana kerana kita telah sampai ke tahun 2009. Raja Maghribi, Ratu Elizebeth, Sultan Brunei, Raja Abdullah al-Saud atau Sultan Perak - jika tidak kerana protokol – jika pegawai-pegawai kerajaan tidak diarahkan, jika anak-anak sekolah tidak di paksa - dewan akan kosong. Tidak akan ada ramai orang yang datang memenuhi dewan untuk mendengar susuk-susuk ini berucap. Sampai kiamat pun anak-anak muda tidak akan membayar harga tiket RM200 untuk mendengar mereka membebel. Tetapi anak-anak muda sanggup turun ke Singapura atau naik ke Bangkok untuk mendengar sebuah rock band datang bermain. Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak harus sedar diri. Pada hari ini tidak ramai lagi orang yang ambil pot kerana nama mereka bermula dengan raja. Inilah hakikat tahun 2009. Masyarakat kota tidak lagi mencari makan daripada hasil tanah. Mereka memburuh. Mereka membanting tulang di kilang dan di pabrik. Apabila mereka meninggalkan tanah, berhijrah ke bandar bererti mereka telah memutuskan hubungan dengan budaya feudal. Masyarakat kota melahirkan budaya mereka sendiri – budaya dan gaya hidup yang tidak lagi bergantung kepada raja atau sultan. Dalam budaya urban, sistem feudal tidak memainkan peranan. Memang ada wujud kumpulan-kumpulan yang masih menganggap kaum feudal itu wajib dihormati kerana darah keturunan mereka. Kumpulan ini mereka yang ingin menahan gerak dan arus pembudayaan dunia moden hari ini. Malah di Perancis, sebuah negara republik, masih ada warga yang cuba membawa kembali sistem beraja. Mereka bernostalgia terhadap zaman feudal yang telah terkambus masa. Di Tanah Melayu juga masih ada kumpulan dan gerombolan yang percaya dengan "daulat" raja. Sebenarnya, usaha ini wujud kerana kepentingan ekonomi mereka bergayut dengan kaum feudal. Mereka ingin memastikan yang kepentingan ekonomi mereka akan dapat dipayungi oleh kaum feudal. Justeru, mereka sanggup membeli derajat kebesaran agar mereka dapat juga dilihat "besar". Hakikanya - kumpulan dan gerombolan pro-feudal ini dari sehari ke sehari semakin berkurangan. Pengurangan kumpulan dan gerombolan ini bukan dirancang. Pengurangan ini muncul dengan sendiri kerana asas ekonomi telah berubah. Dalam konteks asas ekonomi kapitalis moden, keupayaan individu dinobatkan bukan kerana darah keturunan. Barack Obama, Micheal Jackson atau Colin Powell berada di tempat mereka hari ini bukan kerana mereka cucu kepada Raja Buganda dari Afrika tetapi kerana fikrah dan keilmuan mereka. Inilah hakikatnya. Kenyataan ini bukan bermakna kita tidak menghormati Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak. Sebagai sesama insan, kita wajib menghormati satu sama lain. Kita juga wajib beradab dan bersopan terhadap mereka. Penghormatan, adab sopan yang kita tunjukkan kepada mereka bukan kerana mereka raja. Mereka berhak menerima penghormatan daripada kita jika mereka memiliki tingkat keintelektualan dan fikrah yang unggul. Penghormatan yang ikhlas dan sukarela tidak berpenghujung dan tidak bernoktah. Seperti Che Guevera, zaman berzaman susuk ini akan terus dimuliakan walau telah lama mati. Tidak seperti Mahathir yang terpaksa membebel untuk dihormati. Atau seperti Ghazali Shafie atau Muhamad Rahmat yang seperti tunggul, pergi tersepak dan pulang terlanggar. http://www1.malaysiakini.com/columns/103454 |
No comments:
Post a Comment