KETIKA ia seringkali dirujuk sebagai ‘satu’ penyakit, artritis reumatoid sebenarnya seumpama ‘payung’ kepada sekumpulan penyakit yang merujuk kepada lebih daripada 100 keadaan perubatan.
Artritis dihidapi oleh hampir lima daripada 1,000 orang dewasa diMalaysia.
Ubat bagi melegakan kesakitan termasuk acetaminophen seperti Tylenol dan dadah antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) merangkumi ibuprofen seperti Advil yang digunakan dalam banyak keadaan reumatik bagi mengurangkan kesakitan.
Begitu juga produk asid hyaluronik seperti Hyalgan dan Synvisc yang disuntik secara langsung sebagai pelincir tiruan pada sendi lutut bagi meningkatkan keupayaan pergerakan.
Namun, menurut Pakar Perubatan dan Geriatrik, Dr. Rajban Singh, ekstrak daripada kupang hijau yang membiak di perairan New Zealand terbukti mampu membantu mengurangkan kesakitan sendi akibat artritis.
Jelasnya, ekstrak lipid laut yang berasal daripada kupang hijau itu mengandungi lima jenis Omega-3 iaitu asid eicosapentaenoik (EPA), asid docosahexaenoik (DHA), asid eicosatetraenoik (ETA), asid octadecatetraenoik (OTA) dan asid alpha-linolenik (ALA) yang cukup penting bagi keperluan tubuh manusia.
“Lipid kupang hijau ini turut mengandungi gabungan semula jadi protein, mineral dan mucopolysaccharides.
“Gabungan ini meningkatkan kemampuan pergerakan sendi, penyelengaraan rawan dan kesihatan tubuh secara keseluruhan,” ujarnya.
Penggunaan ekstrak lipid laut semula jadi ini juga tidak mengganggu pengambilan ubatan lain.
Malah ia memberi kelebihan berbanding penggunaan ubat-ubat NSAIDs dan analgesik dalam jangka panjang.
Tambah Dr. Rajban, kajian selama enam bulan di Glasgow, Scotland mendapati 76 peratus pesakit yang mengambil ekstra lipid laut itu menunjukkan peningkatan ketara dalam melembutkan dan mengurangkan ketegangan sendi pada waktu pagi serta menguatkan genggaman.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr. Rajban mendedahkan, walaupun keradangan sendi adalah normal bagi sesetengah keadaan, namun kerapkali keradangan melampau mengundang kesakitan dan kerosakan pada tubuh termasuk bahagian sendi utama.
“Ini akan mewujudkan sejenis kimia pengantara yang tinggi bagi pesakit artritis reumatoid berbanding orang normal malah pengidap artritis biasa.
“Justeru, dengan mengawal pengeluaran kimia pengantara ini, ia akan memperbaiki keadaan pesakit di samping asma, ulser, psoriasis dan pelbagai penyakit lagi,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia.
“Dengan ekstrak khas yang hanya boleh didapati di perairan New Zealand, terutama di Marlborough Sounds, potensinya sebagai rawatan pencegahan amat berguna,” ujar Dr. Rajban.
Pelega kesakitan sendi itu berasal daripada tradisi kaum Maori yang tinggal di pesisiran pantai.
Dengan menjadikan kupang hijau sebagai diet harian, mereka berjaya mengekalkan sendi-sendi yang baik.
Simptom artritis
- Mengalami lebih daripada satu sendi yang membengkak.
- Kekejangan pada sendi yang berlanjutan selama satu jam pada awal pagi.
- Kesakitan pada sendi yang berlarutan.
- Kesukaran menggunakan atau menggerakkan sendi secara normal.
- Terasa panas dan merah pada sendi.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm
No comments:
Post a Comment