Monday, May 18, 2009

‘Arwah hanya duduk dalam bilik’

KULIM: “Arwah lebih banyak mendiamkan diri dan hanya duduk dalam bilik, tetapi tidak menceritakan sebarang masalah yang dihadapinya sejak beberapa hari lalu.

“Malah, ketika saya hendak keluar pergi bekerja pagi tadi (semalam), saya lihat arwah masih tidur di biliknya, tetapi kemudian menerima berita dia mati dibunuh,”
kata Sopiah Talib, 40, ibu tiri Nurbahirah Ishak, 22, yang mati dibunuh dipercayai akibat cinta tiga segi di Taman Perak di sini, pagi semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia bekerja di pejabatnya apabila menerima panggilan kira-kira jam 10.30 pagi daripada seorang saudaranya yang memaklumkan kejadian menimpa anak tirinya itu lalu bergegas ke Hospital Kulim (HK).

Menurutnya, dia sempat menjenguk arwah yang tidur dalam bilik berikutan masih tidak bekerja ketika hendak keluar rumah.

Katanya, pada masa sama, empat anaknya yang lain tiada di rumah kerana pergi ke sekolah dan tempat kerja menyebabkan arwah tinggal berseorangan di rumah.

“Sebelum ini pun arwah tidak pernah menceritakan sebarang masalah dihadapi, malah keadaan arwah seperti biasa kecuali beberapa hari lalu lebih banyak mendiamkan diri.

“Saya amat terkejut selepas menerima berita mengenai kejadian itu dan saya tidak tahu kenapa bekas teman lelakinya sanggup bertindak kejam.


“Kejadian ini amat menyedihkan kami sekeluarga terutama arwah adalah seorang anak yang rajin serta pintar dan baru menamatkan pengajian di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dalam jurusan kejuruteraan elektrikal tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat HK, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sudah tidak mempunyai bapa yang meninggal dunia beberapa tahun lalu ditemui tidak sedarkan diri di atas katil dalam biliknya oleh beberapa jiran serta anggota polis yang memasuki rumah berkenaan selepas mendengar berlaku pergaduhan di rumah mangsa.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090518082906/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...