dayana@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya hanya mahu dilepaskan dengan cara baik dan memulakan hidup baru serta mendoakan mereka berbahagia, bukan memanjangkan isu ini sehingga mahu membuka aib atau pekung sesiapa,” kata Maizawati Zainal, 33, isteri Akhil Hayy yang hangat dikaitkan dengan penyanyi Waheeda.
Maizawati yang dihubungi Harian Metro, semalam, berkata walaupun kemunculannya dalam media mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat, namun dia nekad melakukannya untuk mempertahankan haknya sebagai isteri.
“Saya tidak dapat menghubungi suami dan dia juga tidak menghubungi saya. Sekurang-kurangnya dengan pendedahan melalui media, saya dapat menyampaikan kenyataan untuk menamatkan kemelut rumah tangga kami,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mahu memanjangkan isu hubungan suaminya dengan Waheeda sebaliknya hanya mahu memaklumkan bahawa dia ‘merelakan’ hubungan mereka berdua.
“Saya tampil dengan satu tujuan iaitu untuk memaklumkan bahawa saya mengizinkan suami berkahwin dengan penyanyi itu.
“Saya tidak mahu bermusuh dengannya atau mengungkit apa-apa perkara yang sudah berlaku sebaliknya mahu suami melepaskan saya dengan cara baik dan teruskan hidup dengan penyanyi berkenaan kerana itu adalah jalan terbaik untuk kebahagiaan bersama,” katanya.
Maizawati yang kini menanti hari perbicaraan permohonan perceraiannya dengan Akhil Hayy menganggap tindakan Waheeda membuat kenyataan perkara yang membingungkan.
“Saya tidak faham apa lagi yang dia mahu.
“Dia tidak sepatutnya bermain api dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan seolah-olah saya cuba merosakkan kebahagiaan dia,” katanya.
Maizawati memfailkan perceraiannya dengan Akhil Hayy yang akan dibicara pada 2 Jun ini. Dia mengambil keputusan untuk berpisah selepas menahan sabar selama dua tahun mendengar gosip hubungan suaminya dengan Waheeda.
Isu hubungan Akhil Hayy dan Waheeda mula diperkatakan sejak timbul gosip mereka keluar bersama dan pernah dilihat menonton wayang.
Walaupun pedih mendengar cerita mengenai suaminya dengan wanita lain, Maizawati mampu bersabar dan tidak mempercayai gosip disebarkan kerana tiada pengakuan Akhil sehinggalah pada Februari lalu dia dikejutkan dengan permohonan izin Akhil untuk berkahwin dengan Waheeda.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090529072827/Article/index_html
No comments:
Post a Comment